Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 2 Jun 2025, 17:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Buku Kisah Kelawar: Penghuni Gua, sebuah penerbitan yang menghimpunkan maklumat unik dan menyeluruh tentang kepelbagaian spesies kelawar yang mendiami gua-gua di negara ini.

Majlis Pelancaran Buku Kisah Kelawar: Penghuni Gua diadakan sebagai inisiatif meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kelawar dalam ekosistem, terutamanya dalam proses pendebungaan tumbuhan dan kawalan populasi serangga perosak.

Majlis ini turut diserikan dengan sesi bual bicara khas oleh Puan Nelawati Ngadul, Pegawai Kanan Akademi DBP selaku moderator dan dua orang ahli panel, iaitu YBrs. Dr. Nur Atiqah Abdul Rahman serta Pelukis Buku Kisah Kelawar: Penghuni Gua, Puan Nurul Faziana Kamal bagi membincangkan topik mengenai keistimewaan spesies kelawar yang terkandung dalam buku tersebut.

Dalam sesi tersebut, Dr. Nur Atiqah menekankan bahawa kelawar merupakan satu-satunya mamalia yang mampu terbang secara aktif, sekali gus menjadikannya unik dalam dunia haiwan yang jarang-jarang diterokai.

“Kelawar dikelaskan dalam haiwan mamalia kerana mempunyai organ yang penting, iaitu kalenjar susu yang dapat melahirkan dan menyusukan anaknya”.

“Kelawar juga merupakan haiwan mamalia yang mampu terbang secara aktif pada waktu malam untuk mencari makanan,” jelas beliau ketika membicarakan buku Kisah Kelawar: Penghuni Gua di reruai DBP, Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada sabtu lalu.

Menurut beliau, berdasarkan kajian, Malaysia mempunyai sebanyak 143 spesies kelawar yang terdapat di dalam gua dan beliau hanya memilih empat spesies kelawar yang kerap terdapat di dalam gua tersebut.

Jelas beliau,

Kebiasaannya kami sebagai pengkaji mudah menemui spesies keempat-empat ini di dalam gua dalam mengenal pasti kelawar yang memakan serangga dan kelawar yang bersarang di madu bunga.

Malah, cetusan idea untuk menerbitkan buku Kisah Kelawar: Penghuni Gua telah diinspirasikan oleh Dr. Nur Atiqah, Dr. Nurul’ Ain Elias dan Puan Nurul Faziana Kamal sejak penularan pandemik COVID-19.

Pada ketika itu, kelawar dikatakan sering dijadikan sebagai “kambing hitam” dan dipersalahkan secara langsung sebagai punca utama penyebaran virus, walaupun pada hakikatnya tiada bukti saintifik kukuh yang menyokong dakwaan tersebut.

“Penerbitan buku ini bertujuan untuk menangkis tanggapan yang tidak berasas itu dengan mengetengahkan fakta saintifik sebenar, di samping memperkenalkan kelawar sebagai mamalia penting yang menyumbang kepada keseimbangan ekosistem”, jelas beliau.

Penulis Buku Kisah Kelawar: Penghuni Gua YBrs. Dr. Nur Atiqah semasa membicarakan fakta yang menarik tentang kelawar.

Sementara itu, menurut Puan Fazarina, pelukis buku tersebut, setiap potret yang dihasilkan bukan sekadar untuk menghias halaman, namun dirancang dengan teliti bagi menyampaikan maklumat saintifik dalam bentuk yang lebih mesra dan mudah difahami oleh kanak-kanak.

“Saya ingin memastikan bahawa setiap gambar yang dilukis mampu memberikan jiwa kepada kelawar, agar pembaca terutamanya golongan muda dapat mengenali kelawar dengan rasa ingin tahu dan kasih, bukannya takut atau jijik,” tegas beliau.

Tambah beliau, lukisan-lukisan tersebut diinspirasikan daripada pemerhatian lapangan dan rujukan foto sebenar spesies kelawar di Malaysia, agar dapat memaparkan ciri morfologi yang tepat serta suasana habitat gua yang realistik.

Yang menariknya, kata beliau, elemen yang paling mencabar, namun penting dalam penghasilan ilustrasi buku ini termasuklah dalam menterjemahkan bahagian hidung kelawar yang menjadi ciri utama dalam mengenal pasti spesies tertentu.

“Saya berusaha untuk menghasilkan imej hidung kelawar dengan tepat dan terperinci seperti yang telah dirancang oleh Dr. Nur Atiqah dan Dr. Nurul’ Ain Elias,” tambah beliau lagi.

Sepanjang penghasilan buku tersebut, beliau juga menggunakan rujukan foto lapangan serta hasil perbincangan bersama-sama dengan Dr. Nur Atiqah bagi memastikan lukisan tersebut menyerlahkan ciri sebenar secara visual kelawar.

Dalam aspek pemilihan warna pula, Puan Fazarina menjelaskan bahawa beliau memilih palet warna yang hampir menyerupai warna asli kelawar, terutamanya rona semula jadi seperti coklat gelap, kelabu, hitam, serta kemerahan lembut yang lazim kelihatan pada spesies kelawar .

Pelukis Buku Kisah Kelawar: Penghuni Gua, Puan Fazarina berkongsi pengalaman beliau dalam menghasilkan gambar dan imej kelawar yang realistik dalam buku tersebut.

Buku Kisah Kelawar: Penghuni Gua bukan sekadar sebuah buku dokumentasi hidupan liar, malah merupakan karya pendidikan yang bertujuan untuk membina semula kefahaman masyarakat terhadap kelawar sebagai haiwan yang sering disalah anggap kerana spesies mamalia itu memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan ekosistem.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah YBhg. SN Datuk Dr. Zurinah binti Hassan, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Dr. Rosmani binti Omar, Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Puan Hajah Noriyani Yusoff, ketua-ketua editor dan ketua-ketua bahagian DBP  serta para pengunjung PBAKL 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi