Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Putrajaya – Selepas melalui tempoh yang cukup panjang, akhirnya majlis bersejarah untuk meraikan tokoh pendidik dan para guru diadakan secara bersemuka pada hari ini bertempat di Hotel Everly, Putrajaya. Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru 2021 bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan itu disempurnakan oleh YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan.
Dalam ucapan awalnya, YB Menteri Kanan Pendidikan menceritakan pengalaman getir yang dialami oleh golongan pendidik semasa detik awal untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran apabila berdepan dengan pandemik COVID-19 sehingga menyebabkan negara terpaksa mengadakan sekatan pergerakan pada Mac tahun 2020.
“Dalam keadaan yang begitu getir dengan peranan besar pendidik, iaitu dari Perlis hingga ke Sabah, kami mengadakan perbincangan bersama-sama di Kementerian berkaitan dengan perkara yang boleh dilaksanakan supaya dapat meneruskan sesi pengajian para pelajar,” demikian ucapan YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin sebelum sesi penyampaian Anugerah Hari Guru 2021 bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021 kepada tokoh pendidik dan para guru yang meraih pencapaian cemerlang dalam bidang masing-masing.
Ujar beliau, tidak ada sesiapa pun yang dapat menjangkakan pendekatan yang sesuai untuk mengatasi kemelut dan cabaran yang dihadapi oleh golongan pendidik pada ketika itu. Setiap perkara dibincangkan secara terperinci pada setiap peringkat dengan melibatkan semua warga di sektor pendidikan sehingga proses pengajaran dan pembelajaran itu tetap diteruskan walaupun dalam situasi sekolah yang terpaksa ditutup.
“Kekangan utama yang dihadapi ialah melibatkan capaian Internet di bandar dan kawasan luar bandar,” ujar YB Menteri Kanan Pendidikan. Jelas beliau, selain daripada isu penggunaan peranti yang tidak mencukupi, beliau memuji tindakan guru yang sentiasa beriltizam dengan berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif demi menjayakan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) biarpun pada mulanya mereka berasa agak janggal dengan situasi tersebut.
“Dalam situasi yang mencabar, banyak perkara baharu telah diperkemas, iaitu dalam konteks pengurusan sektor pendidikan, kaedah yang digunakan amat dinamik,” ujar beliau. Beliau turut menyatakan bahawa pihak kementerian tidak pernah berubah fikiran seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak kerana apa-apa yang berlaku melibatkan pengadaptasian tindakan berdasarkan situasi semasa. Oleh sebab itu, guru amat memahami pendekatan yang dilaksanakan oleh kementerian dengan mengambil kira kekangan sedia ada.
Pada masa yang sama, beliau turut menceritakan tempoh getir yang dialami oleh warga pendididik berikutan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpaksa ditangguhkan sebanyak tiga kali. “Dalam setiap kesusahan itu, ada kesenangannya, iaitu pada akhirnya banyak kebaikan yang dapat dilaksanakan dalam tempoh getir,” ujar beliau. Akibat peperiksaan yang terpaksa ditangguhkan sebanyak tiga kali, pada mulanya banyak golongan yang skeptikal terhadap langkah yang diusahakan oleh kementerian, namun pada akhirnya peperiksaan itu berjaya diadakan.
“Dalam pelaksanaan SPM 2021, buat pertama kalinya proses pengiraan markah dilakukan secara dalam talian disebabkan pergerakan yang terhad. Dengan kerjasama Lembaga Peperiksaan Malaysia, pemeriksaan jawapan dan markah pelajar dilakukan secara dalam talian dan akhirnya sebanyak lima juta skrip jawapan berjaya disempurnakan,” dedah beliau disusuli dengan tepukan gemuruh daripada hadirin.
YB Menteri Kanan Pendidikan turut menyentuh akan peranan guru yang disifatkan antara kumpulan yang paling terkesan dalam tempoh pandemik. Beliau mendedahkan ada dalam kalangan guru yang terpaksa “berunding” dengan pelajar demi memastikan proses PdPR dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam tempoh tersebut.
Tidak ketinggalan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi turut menyentuh aspek pendigitalan dalam sektor pendidikan yang tidak dapat dielakkan selaras dengan tuntutan pada masa ini. “Apa-apa yang berlaku dalam tempoh dua tahun ini, suka atau tidak proses digitalisasi dalam sektor pendidikan tidak dapat dielakkan. Apa-apa yang dirangka dalam proses pengajaran dan pembelajaran perlu dilalui kerana dunia pada hari ini berubah pada kadar yang jauh lebih cepat,” tegas beliau.
Beliau menyifatkan pendekatan baharu dan ilmu yang dibincangkan pada masa ini begitu meluas, selain terlalu banyak maklumat yang dapat diperoleh. Tambah beliau, “Kita perlu memperkasakan diri dengan mengambil kira keadaan dan perubahan semasa. Keilmuan yang bergerak pesat seiring dengan perkembangan teknologi yang begitu pantas, para guru disarankan supaya lebih bersedia untuk menerima ilmu baharu kerana ilmu itu tiada penghujungnya,” demikian saran YB Menteri Kanan Pendidikan dalam ucapannya petang tadi.
“Kita perlu beradaptasi dalam dunia pendidikan yang bersifat dinamik. Guru-guru perlu bergerak dengan kepantasan ilmu dan teknologi. Proses pendigitalan bukanlah mata pelajaran baharu. Hal ini merupakan satu penerapan konsep yang merangkumi nilai-nilai penting dalam kehidupan,” ujar beliau sebelum mengakhiri majlis dengan menyampaikan anugerah kepada tokoh pendidik dan guru-guru yang diiktiraf sebagai cemerlang bagi kategori Anugerah Khas, Anugerah Ikon, Anugerah Khas Pendidikan, Anugerah Guru Cemerlang, serta Anugerah Guru Inovatif.