Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKUALA LUMPUR-Sejak tengah hari semalam, fasiliti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negara terus dibuka sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan menerima mangsa-mangsa banjir di kawasan terbabit.
Menurut YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan, warga KPM juga tidak terkecuali turun ke lapangan bagi membantu mangsa-mangsa yang dipindahkan selain memastikan kelancaran operasi PPS di sekolah.
Berdasarkan situasi semasa, beliau telah mengarahkan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN-PPD) supaya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan dengan pengurusan bencana, khususnya dalam usaha memudahkan penggunaan fasiliti KPM sebagai PPS.
Dalam laman sosial Facebook milik beliau, YB Menteri Kanan Pendidikan turut mendoakan agar usaha membantu rakyat yang terjejas akibat banjir dipermudahkan. “Saya akan pastikan semua fasiliti KPM dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu mangsa yang terlibat, iaitu sebelum atau selepas banjir,” ujar beliau.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga KPM atas segala khidmat yang diberikan.