Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam sidang Dewan Rakyat memaklumkan bahawa sebanyak 7,051 bekas banduan yang kini digelar “prospek”, iaitu (banduan parol) telah diserap untuk bekerja di syarikat swasta di negara ini.Menteri Dalam Negeri, YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara ini merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Penjara Malaysia dengan 789 syarikat yang bertujuan untuk membuka peluang pekerjaan sebagai peluang kedua kepada prospek sebahagian daripada usaha pemulihan dalam komuniti setempat menerusi pekerjaan sebenar di luar tembok penjara.
Katanya, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Corporate Smart Internship oleh Penjara Malaysia bersama syarikat swasta di dalam negara.
“Daripada 7,051 prospek ini, kita yakin dapat tambah sehingga 8,500 prospek dalam masa terdekat kerana syarikat Guthrie telah bersetuju untuk mengambil lagi sebanyak 644 orang.”
“Guthrie bukan sahaja mengambil mereka bekerja, tetapi turut melatih dan mengeluarkan sijil menuai serta membayar upah, manakala syarikat Shopee pula akan menerima sebanyak 350 orang (banduan parol),” kata beliau di Parlimen pada Isnin.
Saifuddin berkata demikian sebagai menjawab soalan pertanyaan lisan YB V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang meminta KDN menyatakan tentang keberkesanan program banduan parol termasuk peluang pekerjaan bagi banduan dari tahun 2024 hingga Jun 2025.
Tambah beliau, penjara bukan lagi menjadi tempat menghukum banduan semata-mata, sebaliknya turut berfungsi sebagai pusat latihan kemahiran ketika mengulas lanjut tentang cabaran persepsi masyarakat dan majikan terhadap bekas banduan di negara ini.
“Kita melatih mereka (banduan parol) menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di 35 pusat latihan yang dikendalikan oleh Jabatan Penjara Malaysia.”
“Mereka bukan keluar kosong tetapi membawa bersama kemahiran dan sijil dan bagi tahun 2024 sahaja, dan kini sebanyak 19,361 prospek telah berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) serta sijil kompetensi dalam bidang pembinaan,” ujar beliau.
“Bagi menggalakkan pengambilan (banduan parol) oleh majikan, kerajaan juga menyediakan insentif pengecualian cukai dan insentif khas di bawah Program Daya Kerja 3.0 PERKESO, iaitu sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan bagi setiap prospek yang diambil bekerja,” jelas beliau lagi.