Diterbitkan pada 7 Ogos 2025, 19:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) terus memperkasakan Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (ATEPM) sebagai platform tertinggi dalam memberikan pengiktirafan kepada golongan belia berkemahiran tinggi di negara ini.

Menurut Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim berkata, sejak program ini diperkenalkan pada tahun 1997, pertandingan terbabit telah berjaya menarik permohonan sebanyak 7,028 peserta dalam pelbagai sektor seperti kerjasama dengan syarikat Teknologi Pembuatan dan Kejuruteraan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Teknologi Pembinaan dan Bangunan, Pengangkutan dan Logistik, Perkhidmatan Sosial dan Peribadi serta Seni Kreatif dan Fesyen.

“Bagi melaksanakan pertandingan peringkat kebangsaan dan juga persiapan peserta ke pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa, sebanyak RM19.5 juta telah diperuntukkan bagi tempoh 2023 hingga 2025.”

“Mengikut pecahan, peruntukan Tabung Amanah JPK adalah sebanyak RM14.4 juta, peruntukan pengurusan berjumlah RM468,866.22 dan peruntukan pembangunan RM2 juta serta peruntukan pengurusan daripada rakan strategik, iaitu Kementerian Kerja Raya (KKR) sebanyak RM2.6 juta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Tambah beliau, pemenang utama Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri akan menerima trofi khas, sijil pengikitirafan dan hadiah wang tunai, serta berpeluang  mewakili negara sehingga ke peringkat dunia.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa Malaysia telah mencatatkan kejayaan yang membanggakan di pertandingan Worldskills Lyon, dengan meraih satu pingat gangsa dan empat Medallion for Excellence menerusi penyertaan 15 peserta dalam 14 bidang kemahiran.

“Prestasi ini membuktikan keberkesanan program pembangunan bakat yang diasaskan melalui pertandingan Anugerah Tangan Emas,” jelas beliau lagi. Beliau menyifatkan, sebagai langkah ke hadapan, JPK sedang merangka strategi baharu yang merangkumi laluan pantas kepada pensijilan tahap tinggi, penempatan dalam industri strategik, serta pembangunan kerjaya sebagai jurulatih dan mentor kemahiran.

“Usaha ini akan disokong melalui tambahan peruntukan perolehan peralatan, pembangunan bakat dan personel pertandingan dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM2 juta pada tahun 2025 bagi persiapan ke WorldSkills Shanghai 2026, selaras dengan sasaran negara melahirkan tenaga mahir bertaraf dunia,” jelasnya lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi