Diterbitkan pada 12 Ogos 2025, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi bantuan teknikal termasuk permohonan penurunan kandungan media sosial, sekatan laman sesawang, pembekalan maklumat profiling dan analisis forensik digital bagi mempercepat proses siasatan yang berkaitan dengan kesalahan penipuan dalam talian.

Menteri Komunikasi,YB Datuk Fahmi Fadzil berkata, dari 1 Januari 2024 hingga 1 Ogos 2025, penyedia perkhidmatan media sosial atas permohonan SKMM telah mengambil tindakan penurunan 112,734 kandungan penipuan dan menyekat tujuh laman sesawang berunsur penipuan.

Menurut beliau, tindakan itu diambil berdasarkan aduan yang diterima serta garis panduan komuniti yang telah ditetapkan oleh setiap platform, selaras dengan undang-undang tempatan.

“Selain itu, arahan larangan terhadap kandungan terlarang di dalam perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) yang meliputi kandungan pautan berbentuk permohonan maklumat peribadi dan nombor telefon untuk dihubungi telah dikuatkuasakan sejak 1 September 2024,” katanya dalam jawapan bertulis pertanyaan lisan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Kita mengambil langkah ini untuk melindungi pengguna dan seterusnya membendung jenayah penipuan melibatkan perkhidmatan SMS yang boleh diekploitasi oleh penjenayah dengan menyamar sebagai pelbagai pihak termasuk entiti awam dan swasta untuk memperdayakan orang ramai,” tambah beliau.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyatakan demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Beaufort, YB Dato’ Hajah Siti Aminah Aching yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan usaha Kementerian dalam mengatasi masalah penipuan siber di Malaysia dan jumlah laman web dan kandungan pengiklanan yang mempunyai unsur penipuan telah diturunkan oleh pihak Kementerian bagi tahun 2024-2025.

Selain itu, YB Datuk Fahmi turut menambah bahawa SKMM dengan kerjasama pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi telah menyekat 2.1 bilion panggilan yang meragukan dan berunsur penipuan, menyekat 2.1 bilion SMS yang tidak diminta dan menamatkan perkhidmatan bagi 184,289 talian termasuk talian mudah alih dan tetap yang menghantar SMS meragukan bagi tempoh 2022 sehingga 1 Ogos 2025.

Jelasnya, selaras dengan pindaan kepada Seksyen 233(1) Akta 588, kandungan palsu yang disebarkan dengan niat untuk melakukan penipuan kepada mana-mana orang merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali dan denda selanjutnya RM5,000 setiap hari kesalahan diteruskan, jika disabitkan kesalahan.

Katanya lagi, MCMC juga telah melancarkan Kempen Internet Selamat pada 21 Januari lalu untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan dalam talian bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah dalam talian dan seterusnya mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

Kempen tersebut, menurut beliau, akan dilaksanakan di 10,000 sekolah, institusi pengajian tinggi serta Institut Pendidikan Guru, melalui beberapa inisiatif libat urus dan kerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar di universiti awam seluruh negara.

“Bagi mewujudkan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna terutama kepada kanak-kanak, SKMM telah melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan, untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588 bermula 1 Januari 2025,” jelas beliau.

“Selain itu, bagi memperkukuhkan sistem dan proses penyedia perkhidmatan bagi mengurangkan kemudaratan dalam talian pada platform mereka, penyedia perkhidmatan disarankan untuk mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Media Sosial yang telah diterbitkan oleh MCMC pada 20 Disember 2024,” tegas beliau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi