Diterbitkan pada 28 Oktober 2025, 18:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Rakan KKM yang julung-julung kali diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal memulakan pelaksanaannya di Hospital Cyberjaya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif baharu itu akan melibatkan perkhidmatan Ortopedik dan Perubatan Dalaman di hospital berkenaan.

“Pihak Rakan KKM optimis bahawa pelaksanaan dan arah tuju pengoperasian program ini akan menjadi lebih jelas sebaik sahaja semua keperluan perundangan, teknikal dan operasi dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ahli Parlimen Bayan Baru, YB Tuan Sim Tze Tzin menerusi jawapan bertulis pada Isnin mengenai kekangan yang dihadapi oleh kementerian untuk melaksanakan Rakan KKM setakat ini, selain permulaan dan prosedur pelaksanaannya.

Dr. Dzulkefly menjelaskan bahawa inisiatif tersebut bertujuan mengekalkan kakitangan KKM, termasuk pakar perubatan yang terlibat dengan imbuhan tambahan, di samping menjana pendapatan tambahan KKM bagi tujuan membaik pulih kemudahan kesihatan.

Menurut beliau, Rakan KKM merupakan sebuah inisiatif transformasi sistem kesihatan yang menawarkan pilihan perkhidmatan kesihatan dan prosedur elektif (bukan kecemasan) berbayar pada kadar yang berpatutan kepada pesakit.

Mengulas lanjut tentang cabaran utama dalam pelaksanaan inisiatif ini, beliau memaklumkan bahawa pihaknya perlu meneliti dan mematuhi Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Ujar beliau, pematuhannya turut melibatkan peruntukan undang-undang yang ketat dan kompleks, khususnya berkaitan dengan pengurusan aset kerajaan serta amalan tadbir urus sektor awam.

“Antara cabaran lain termasuklah keperluan menyelaras proses pelesenan dan dokumen perjanjian kontrak antara Rakan KKM Sdn. Bhd. (RKSB) dengan pihak KKM,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi