Diterbitkan pada 15 Disember 2025, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menghadiri majlis Old Frees Association Kuala Lumpur and Selangor Anniversary Dinner (OFAKLS) 2025 bersempena dengan ulang tahun Penang Free School (PFS) ke-209 serta penubuhan persatuan tersebut yang ke-66, di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini.

Keberangkatan baginda bersama-sama Raja Puan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid disambut oleh Presiden OFAKLS, Encik Ivan Ooi Jieun Vei.

Penang Free School mempunyai hubungan istimewa dengan Institusi Diraja Perlis kerana tiga generasi diraja Jamalullail pernah menuntut di sekolah berkenaan, iaitu DYMM Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Waris kedua negeri Perlis iaitu DYAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail pula pernah mengikuti program pertukaran pelajar di sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara itu.

Dalam ucapan alu-aluan, Presiden OFAKLS, Encik Ivan Ooi berkata bahawa majlis tersebut bukan sahaja meraikan ulang tahun sekolah dan persatuan berkenaan, malah menjadi simbolik penghargaan terhadap warisan bersama, pencapaian bekas pelajar, serta ikatan silaturrahim erat yang menghubungkan generasi Old Frees dengan Penang Free School.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan istimewa yang menampilkan penyanyi tersohor, Datuk Jamal Abdillah, dan persembahan muzik yang julung kalinya oleh Pancaragam Penang Free School.

Keunikan majlis turut terserlah menerusi penyajian hidangan kurma daging Perlis yang membawa sentuhan warisan kulinari negeri tersebut.

Mengakhiri majlis, turut berlangsung Pelancaran Kiraan Detik Sambutan Ulang Tahun ke-210 Penang Free School oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai tanda bermulanya persiapan menuju detik bersejarah sekolah tersohor itu.

Majlis berprestij ini turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad serta barisan tetamu jemputan.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek turut hadir bagi memeriahkan majlis dalam suasana penuh tertib dan kemesraan bersama-sama DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail  dan  Raja Puan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi