Diterbitkan pada 27 Jun 2026, 10:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail terus memperkukuh pembangunan generasi muda negara apabila berkenan menerima sembah taklimat yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Malaysia, YBhg. Mejar Jeneral Datuk Marzuki Haji Mokhtar, yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Latihan), YBhg. Brigedier Jeneral Samad Igom.

Sesi tersebut menjadi platform penting bagi pihak JLKN untuk mempersembahkan perkembangan berkaitan pelaksanaan program latihan khidmat negara yang terkini serta membincangkan pelbagai perkara yang berkaitan dengan pembangunan modal insan, kepimpinan belia dan pembentukan jati diri generasi muda negara.

Pelbagai titah sumbang saran dikongsikan oleh DYTM Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia.

Pertemuan berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuh agenda pembangunan belia melalui program-program yang berteraskan disiplin, patriotisme dan semangat kenegaraan.

DYTM Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menerima sembah taklimat yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Malaysia, YBhg. Mejar Jeneral Datuk Marzuki Haji Mokhtar.

Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0) telah dibuka semula bermula dari Januari 2025 dan telah dilaksanakan di dua buah kem Askar Wataniah (AW), iaitu di Kem 515 AW, Kuala Lumpur dan Kem 505 AW, Pekan Pahang.

Selain itu, terdapat juga di kem Malbatt Village, Port Dickson, Negeri Sembilan yang telah digunakan secara sementara untuk melatih peserta PLKN Siri 2 tahun 2026 yang lalu.

Sementara itu, bagi peserta untuk siri 3 tahun 2026, sebuah lagi kem akan dibuka di utara tanah air, iaitu Kem Rejimen 504 AW, Bukit Keteri, Perlis. Tempoh latihan PLKN 3.0 siri 3/2026 adalah bermula dari 11 Julai 2026 sehingga 24 Ogos 2026, iaitu selama 45 hari.

Kredit Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi