Diterbitkan pada 16 Disember 2025, 18:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pembentangan Belanjawan Tahun 2026 oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Negara pada 2 Disember 2025 dan sebelumnya di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2025 menandai babak permulaan pengisian RMK-13 yang menyasarkan tempoh tahun 2026-2023 sebagai takah kesinambungan pelaksanaan Ekonomi MADANI yang telah diperkenalkan semasa Kajian Separuh Penggal RMK-12. Maka itu, Belanjawan Tahun 2026 mesti ditautkan secara jelas dengan Tumpuan RMK-13 yang berpaksikan tiga teras kerangka Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai dan memperkukuh tatakelola yang baik, dengan penstrukturan semula ekonomi yang berlandaskan teknologi dan pembentukan sistem sosial yang utuh sebagai dua unsur penting.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Pelancaran Ekonomi MADANI pada tahun 2023.

Upaya menaikkan siling berkaitan erat dengan strategi mempercepat perubahan struktur ekonomi, khasnya ekonomi yang berasaskan penciptaan nilai, dengan aspirasi menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi pada tahun 2023 dan antara 30 ekonomi terbesar dunia sesudah 10 tahun pelaksanaan Ekonomi MADANI. Prakarsa atau inisiatif menaikkan lantai pula menekankan peningkatan darjat hidup rakyat ke arah kehidupan yang wajar. Sementara itu, pemantapan tatakelola yang baik menumpukan perhatian kepada pengukuhan integriti dan akauntabiliti atau pertanggungjawaban serta peningkatan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

Sesuai dengan fakta bahawa Belanjawan Tahun 2026 merupakan ambang permulaan RMK-13, pada hemat saya wajar kita memberikan tanggapan dan ulasan tentang kerangka falsafah dan pemikiran yang membingkai pelan rancangan ekonomi negara kita supaya jelas pada semua pihak, terutama pihak pelaksana, tentang asas-asas yang melatari Ekonomi MADANI, dengan RMK-13 merupakan terjemahan dalam bentuk pelaksanaannya. Belanjawan tahunan bukan semata-mata soal yang berkaitan dengan kewangan kerana kewangan hanya wasilah untuk suatu matlamat pembangunan yang unggul.

Belanjawan dengan makna yang luas dan hakiki bukan semata-mata isu matlamat kewangan (financial goal) melainkan terkait rapat dengan matlamat holistik yang merangkumi seluruh sisi kehidupan bernegara seperti sosiobudaya, pendidikan, kebudayaan, undang-undang, perpaduan dan kelestarian alam sekitar. Dua perkara asas yang secara langsung berkaitan dengan tujuan memberikan tanggapan dan ulasan itu ialah konsep MADANI itu sendiri dan matlamat hakiki perencanaan ekonomi negara.

Konsep madani yang diasaskan oleh Rasulullah SAW di Madinah, kota yang untuk kali pertamanya menjelmakan corak kehidupan bertamadun yang holistik kerana berlangsungnya paduan kerohanian dan kehidupan duniawi, ilmu dan pemikiran sebagai teras dan keterangkuman atau inklusiviti masyarakat berbilang keturunan, perlu senantiasa dijadikan asas dalam pengisian dasar dan program ekonomi negara. Demikianlah, amat besar harapan kita bahawa Belanjawan Tahun 2026 dapat menjelmakan rencana pembentukan masyarakat yang maju dalam keseluruhan aspek kehidupan seperti pemikiran, kerohanian, akhlak, dan kebendaan yang kesimpulannya  merujuk masyarakat yang bertamadun (maju dan mampan pembangunan fizikalnya dan aspek kerohaniannya).

Isu Tatakelola dalam Bidang Sosial, Politik, Pendidikan, Kebudayaan dan Alam Sekitar

Segala bentuk kebobrokan sosial, politik, pendidikan, kebudayaan, alam sekitar atau gejala ke arah kebobrokan yang kian mencemaskan itu tidak wajar dibiarkan terus-menerus berlaku, atau jika berlaku, pada tahap yang amat minimum, jika tidak mungkin sifar. Masalah sosioekonomi seputar perpaduan, kemakmuran bersama, kesenjangan atau jurang antara negeri, antara bandar dengan luar bandar, antara kelompok strata sosial kelas elit dengan marhaen, isu integriti, tatakelola dan rasuah, sebagai contoh, masih menjadi hambatan kepada terbinanya negara yang adil dan saksama serta bersendikan akhlak. Maka Belanjawan Tahun 2026 yang bertemakan “Belanjawan Rakyat”, dengan memperuntukkan perbelanjaan awam sebanyak RM470 bilion, termasuk RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion bagi perbelanjaan pembangunan mestilah senantiasa dipertalikan pelaksanaannya dengan ikhtiar menangani isu-isu tersebut dengan berkesan.

Masalah dalam ranah pendidikan seperti ketidakseimbangan penguasaan ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah masih menjadi hambatan kepada pembentukan modal insan yang berketerampilan dalam ehwal kemajuan duniawi dan pada masa yang sama teguh akhlaknya. Dikotomi ilmu duniawi yang terangkum dalam fardu kifayah mestilah dipaut dengan ilmu ukhrawi supaya dapat dilahirkan teknokrat, birokrat dan profesional yang tinggi tahap keterampilannya dan sekali gus terjaga akhlaknya untuk mengelakkan membarahnya salah guna kuasa, rasuah, ketirisan, serta kemuflisan integriti. Demikian juga, masih wujud ketidakseimbangan penguasaan kemahiran kognitif, afektif dan psikomotor dalam kalangan pelajar seperti yang tergambar pada penguasaan yang tidak seimbang antara akademik dengan kemahiran insaniah, antaranya melibatkan kemahiran berkomunikasi yang berkesan dan beradab. Tahap kemenjadian pelajar yang kurang bersepadu antara jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) dengan tahap akhlak dan disiplin (yang terjelma dalam kes nasional seperti kes buli yang mengakibatkan kematian), misalnya, masih terus menjadi putaran ganas atau menurut ungkapan di Indonesia “lingkaran setan” (vicious circle).

Selanjutnya, dikotomi yang tajam dalam aliran bidang ilmu dan penyempitan penguasaan ilmu yang merentas bidang masih ketara berlaku. Pengkhususan disiplin ilmu penting tetapi tidak wajar sampai menyempitkan pemikiran pelajar dan lepasan institusi pendidikan menjadi jumud. Yang dalam aliran STEM sebahagiannya tidak peka kepada soal bahasa, sastera, budaya dan sejarah, sementara yang dalam aliran sains kemanusiaan dan sosial rabun atau buta dalam isu sains dan teknologi. Maka itu, penekanan kepada penghayatan bahasa, sastera, budaya, sejarah dan warisan perlu menjadi komponen teras di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), tanpa mengira aliran disiplin pilihan pelajar. Dalam kesempatan reformasi Pendidikan 2.0 dan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (2025-2035) digerakkan, seyogialah isu-isu itu diberi perhatian dan tumpuan utama, di sisi kita melengkapkan pelajar dengan ilmu dan kemahiran.

Dalam ranah politik, kita menyaksikan bukan sahaja polemik malahan konfrontasi dan sentimen politik yang amat tajam antara sejumlah pendukung parti-parti politik dan kem-kem dalam parti politik sehingga merugikan negara dalam konteks hilangnya tumpuan dan perhatian kepada penggemblengan tenaga dan fikiran untuk membangunkan negara yang madani, yang menekankan soal adab, ilmu, nilai dan penyelesaian masalah secara rasional. Sehubungan dengan itu, fenomena politik wang (yang sebenarnya tidak lain daripada rasuah) perlu diatasi dengan sungguh-sungguh, antaranya dengan pelaksanaan kawalan dana politik untuk pilihan raya dan juga pemilihan dalam parti.

Dunia politik negara memerlukan anjakan daripada amalan politik sekular yang bersandarkan fahaman Barat, iaitu “upaya memperoleh kuasa dan mempertahankan kuasa” kepada falsafah politik yang bermatlamat menyejahterakan masyarakat dengan kaedah yang diredai oleh Tuhan, selaras dengan ayat Quran al-Karim, ayat 15 surah Saba’, “Baldatun tayyibtun warabbun ghafur”, (Negeri yang baik dan diampuni Tuhan); baik dengan pengertian makmur dan harmonis dan senantiasa dalam keredaan Tuhan. Rakaman sejarah tentang wujudnya kerajaan Saba’ yang bertahan selama ratusan tahun sebagai negara yang kaya, makmur dan pada waktu yang sama patuh taat kepada Tuhan itu patut dijadikan iktibar. Enam ciri ketinggian tamadun Saba’ sewajarnya menjadi teladan untuk pembangunan Malaysia MADANI, iaitu:

  1. Kemajuan negara yang berasaskan ketakwaan tulen kepada Allah.
  2. Keutamaan kepada pembinaan sosial yang berasaskan ilmu dan keimanan.
  3. Kekuatan ekonomi berasaskan tauhid yang menjadi asbab keberkatan.
  4. Kekuatan pasukan keamanan negara dan kesetiaan yang tinggi kepada negara.
  5. Penguasaan teknologi yang tinggi untuk maslahat kehidupan.
  6. Pengutamaan kebajikan kepada rakyat.

Tidaklah salah usaha memperoleh dan mempertahankan kuasa selama usaha itu berlandaskan matlamat menyejahterakan masyarakat dan membentuk keadilan sosial. Kemelut politik yang berterusan pasti secara langsung menjejaskan ikhtiar melaksanakan program-program yang direncanakan berdasarkan belanjawan tahunan.

Dalam bidang kebudayaan pula, meskipun Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) telah digubal pada tahun 1971 dan ditambah baik melalui Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) pada tahun 2021, kita masih menyaksikan kekaburan dalam pembentukan jati diri bangsa Malaysia meskipun negara telah merdeka hampir tujuh dasawarsa. Peruntukan yang cukup diperlukan untuk pengisian Dasar Kebudayaan Negara, dengan menginsafi besarnya makna kebudayaan sebagai keseluruhan cara hidup masyarakat dan betapa besarnya peranan kebudayaan dalam pembentukan jati diri, patriotisme dan penghargaan kepada warisan bangsa dan negara. Pelibatan saya sedikit banyaknya dalam bidang seni budaya dan pemugaran warisan di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menunjukkan keperluan ditingkatkan peruntukan kewangan bagi bidang kebudayaan. Sementelahan pula pada tahun 2026, negara akan meraikan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan peristiwa itu merupakan kesempatan yang amat baik untuk kita mengangkat kebudayaan negara pada peringkat antarabangsa.

Dalam soal pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, negara kita masih berhadapan dengan masalah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam hal pengurusan sumber alam, keseimbangan ekosistem, perlindungan kesihatan manusia dan hak kehidupan haiwan. Antara kejadian yang baharu pada bulan Oktober 2025 termasuklah kes penjualan tanah di sekitar Zoo Negara menjadi kawasan komersial  yang memberikan kesan buruk kepada kelestarian dan keseimbangan alam. Tahap kelahapan dan kerakusan sejumlah manusia di negara ini yang diburukkan oleh kurang tegasnya penguatkuasaan pihak berkuasa mengakibatkan isu alam sekitar sukar diatasi. Ujian banjir yang melanda  beberapa buah negeri dari waktu ke waktu sebahagiannya disebabkan peremehan akan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Maka sewajarnya peruntukan RM2 bilion pada tahun 2026 untuk projek tebatan banjir dilaksanakan dengan cekap dan berkesan dan jika ada keperluan ditimbangkan peningkatan peruntukan itu.

Dalam pada negara dilanda banjir, isu bekalan air pula menjadi masalah negara. Isu pembelian air bersih dari Singapura (yang sumber mentahnya ialah air dari negeri Johor) perlu ditangani segera setelah sekian lama menjadi isu yang ruwet. Berkaitan dengan itu, kerajaan perlu mula mengusahakan pemanfaatan sumber air di bawah tanah yang setakat ini, menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), hanya menyumbang sebanyak 2.3% berbanding dengan 81.2% sumber air di permukaan bumi dan 16.5% daripada empangan. Demi mencapai transformasi dan keterjaminan air negara dan menangani isu perubahan iklim, kerajaan perlu mula mengangkat teknologi pemetaan 4D dan Aquifer Pin Point yang telah berjaya dilaksanakan di negara Jepun. Isu pemanfaatan sumber alam yang terpendam, iaitu air di bawah tanah telah turut disentuh oleh beberapa orang YB Senator dalam ucapan perbahasan di Dewan Negara sebelum ini.

Seterusnya, isu-isu yang menyentuh sejumlah isu yang tercantum dalam TUMPUAN tertentu RMK-13 agar dapat digerakkan dengan intensif dalam pengisian Belanjawan Tahun 2026.. Yang pertama ialah Tumpuan 3, iaitu Menyeimbangkan Kemajuan Ekonomi antara Wilayah dan Mengukuhkan Pembangunan Luar Bandar. Objektif yang berbunyi “Pembangunan yang lebih seimbang antara wilayah dan kemajuan ekonomi luar bandar yang lebih terangkum bagi memastikan tiada kawasan yang tertinggal dalam arus pembangunan negara” jelas memenuhi aspirasi dan idealisme negara yang adil dan saksama kepada semua. Pada masa yang sama, suara tidak puas hati yang mewakili wilayah Sabah dan Sarawak terus-menerus bergema di Parlimen, termasuk di Dewan Negara, tentang pemenuhan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Walaupun tampak adanya usaha kerajaan Persekutuan memenuhinya secara bertahap, isu kesenjangan antara dua wilayah itu dengan negeri-negeri di Tanah Melayu masih belum beres.

Ketidakseimbangan antara Negeri

Selain itu, ketidakseimbangan antara negeri-negeri di Tanah Melayu atau Semenanjung Malaysia dalam pembangunan masih menjadi isu yang nyata. Istilah negeri termaju, mundur dan termiskin, misalnya, perlu beransur-ansur disirnakan, bermula dengan pelaksanaan program pengisian Belanjawan Tahun 2026. Isu yang berkaitan dengan hak negeri dalam hal sumbangan wajib dan hak negeri seperti royalti minyak tampaknya terus-menerus menjadi isu yang ditimbulkan dalam hubungan antara negeri tertentu dengan kerajaan Persekutuan. Demikian juga kesenjangan antara kawasan bandar dengan luar bandar, antara golongan elit dengan golongan marhaen, dan antara kaum masih menjadi mimpi sedih.

Isu seterusnya yang ingin saya kemukakan ialah berkaitan dengan pengisian Belanjawan Tahun 2026 bagi Tumpuan 5 dalam RMK-13: Memastikan Perkhidmatan Telus, Tangkas dan Tuntas. Tumpuan ini merupakan aku janji untuk memperkukuh integriti dan akauntabiliti, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memantapkan pengurusan fiskal. Dalam usaha memenuhi jangkaan yang cukup tinggi, seperti negara berada pada kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), kedudukan 12 teratas dalam IMD World Competitiveness Yearbook dan mengurangkan defisit fiskal di bawah 3% kepada KDNK, pengisian program Belanjawan Tahun 2026 hendaklah membuka babak yang meyakinkan.

Kesungguhan dalam Memerangi Rasuah

Dalam kes rasuah, amat diperlukan kesungguhan memerangi rasuah kerana berdasarkan Laporan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, dua tahun berturut-turut pada tahun 2023 dan 2024 Malaysia berada pada kedudukan ke-57 dengan skor 50 mata dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Kerugian KDNK antara 2019-2023 akibat rasuah pula bersamaan dengan peruntukan Kerajaan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) selama 28 tahun. Pada skala makroekonomi, kesan buruk rasuah di Malaysia sangatlah besar, yang memuncak dengan kerugian luar biasa berjumlah RM277 bilion dalam nilai keluaran ekonomi dalam tempoh antara 2019 hingga 2023. Sebagai perbandingan, jumlah ini menyamai 28 tahun peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau hampir menyamai KDNK Johor dan Pulau Pinang sekali gus. Menangani rasuah sangat penting bagi menjaga kemakmuran negara dan membina masyarakat yang adil, saksama dan berakhlak mulia. Maka itu, aspek tatakelola yang baik, integriti dan antirasuah bukan sahaja mesti dilaksanakan bahkan seperti dalam ungkapan undang-undang “mesti dilihat sebagai dilaksanakan”. Tidak wajar ada pengecualian atas sebab apa-apa pun. Saya ingin menyarankan agar, di samping menambah baik semua inisiatif yang diperkenalkan, kerajaan, melalui SPRM perlu mengkaji dan menerapkan strategi negara-negara yang rendah kadar jenayah rasuahnya di dunia, seperti Denmark, New Zealand, Finland, Sweden dan Singapura. Negara-negara ini secara konsisten menduduki tangga teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), yang mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di seluruh dunia.

Selain itu, dalam konteks reformasi institusi, cadangan penambahbaikan SPRM yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah SPRM atas pelantikan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang terkandung dalam Laporan tahunan kepada YAB Perdana Menteri hendaklah mula digerakkan pada tahun 2026. Antaranya termasuklah penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR), pengisian jawatan dan peningkatan peruntukan kewangan, dan insentif potongan cukai bagi pelibatan lebih luas sektor swasta dalam gerakan pembanterasan rasuah.

Komitmen Penjawat Awam

Dalam kes kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, rekayasa melonjakkan komitmen dan amanah penjawat awam perlu digerakkan dengan terancang dan tegas agar isu kerenah birokrasi dan kelemahan sistem penyampaian perkhidmatan tidak terus berkumandang menjadi lagu yang membosankan sejak puluhan tahun silam. Kegagalan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu yang diperkenalkan pada tahun 1970 hendaklah dijadikan iktibar agar rencana pembangunan yang baik dan berwawasan luhur memerlukan susulan sistem penyampaian dan komitmen tulus lagi jujur pada pihak penjawat awam dan pelaksana dasar negara.

Warisan Negara

Berkaitan dengan pemuliharaan warisan negara, pelaksanaan Belanjawan Tahun 2026 perlu dijadikan permulaan inisiatif Arkib Negara Malaysia agar menggerakkan usaha penubuhan Arkib Diraja, khasnya Arkib Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan penubuhan Arkib Diraja pada peringkat negeri yang diketuai oleh raja dengan daya usaha cawangan Arkib Negara peringkat negeri, dengan pertimbangan bahawa sistem pemerintahan negara kita ialah pemerintahan Raja Berperlembagaan; banyak dokumen dan artifak yang berkaitan tersebar di sana sini untuk disatukan di bawah Akta Arkib Negara Malaysia.

Selain itu, antara isu yang perlu saya ulang ialah pentingnya kajian dan penerbitan daripada kewujudan puluhan ribu manuskrip Melayu lama dijadikan agenda negara dengan peruntukan yang cukup bagi tiga program utama, iaitu:

  1. Program pelatihan penyelidik muda manuskrip Melayu lama, terutama penguasaan Jawi klasik;
  2. Program kajian manuskrip Melayu lama dengan berasaskan kaedah filologi yang meliputi ilmu watan dalam bidang keagamaan, ketatanegaraan, historiografi, undang-undang, perubatan, teknologi dan susastera;
  3. Penerbitan pelbagai bentuk terbitan bercetak dan elektronik daripada manuskrip Melayu lama.

Status yang ada kini memperlihatkan rentak yang amat perlahan dengan sekitar 200 terbitan daripada manuskrip Melayu lama berbanding dengan lebih 20 ribu teks yang ada. Di Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia sendiri, daripada lebih 5,000 koleksi yang ada, baru sekitar 20 teks yang dikaji (berdasarkan jawapan Menteri Perpaduan kepada soalan saya di Dewan Negara sebelum ini). Kerajaan perlu memperuntukkan dana khas untuk menjadikan program mengangkat manuskrip Melayu lama yang mewakili sejumlah ilmu watan sebagai agenda negara.

Dalam rincian Belanjawan Tahun 2026 Kementerian Perpaduan, saya tidak melihat adanya peruntukan untuk melaksanakan program mengangkat warisan negara dalam hal manuskrip Melayu lama itu. Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu di Perpustakaan Negara Malaysia mestilah melakukan anjakan daripada sekadar pusat repositori manuskrip Melayu lama menjadi pusat penyelidikan yang aktif bagi mengerjakan manuskrip Melayu lama yang puluhan ribu jumlahnya itu, dengan penyelarasan bersama-sama dengan agensi lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Yayasan Karyawan Malaysia dan institusi pendidikan tinggi.

Isu Bahasa Kebangsaan

Satu daripada isu lain yang ingin terus saya ulang termasuklah soal kemampanan bahasa negara, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk jati diri dan perpaduan, sebagai bahasa rasmi penggerak jentera pentadbiran negara, sebagai bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa segala ranah kehidupan bertamadun negara masih menjadi persoalan. Audit Bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh DBP sebelum ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu sesudah 68 tahun merdeka masih belum betul-betul mampan sebagai bahasa negara. Nilai bahasa Melayu sebagai bahasa negara disebut di beberapa tempat dalam Buku Dasar Perpaduan Negara tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk memenuhi “bangsa dan negara impian yang bersatu padu”, menurut ungkapan Prof. Ulung Datuk Dr. Samsul Amri Baharuddin.

Selain itu, isu teks sahih yang berdasarkan teks dalam bahasa Melayu pun belum diselesaikan sehingga menimbulkan implikasi kepada tafsiran yang bermasalah di mahkamah. Demikian juga kerajaan masih tampak belum cukup segera mengatasi dualisme dalam aliran persekolahan seperti dalam isu DLP dan jurang penguasaan bahasa Melayu antara murid sekolah kebangsaan dengan murid sekolah jenis kebangsaan disebabkan sukatan pelajaran dan buku teks Bahasa Melayu yang berbeza dan belum tampaknya usaha, meskipun secara beransur-ansur, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ilmu di sekolah jenis kebangsaan.

Diplomasi Budaya

Di bawah inisiatif Memperkukuh Diplomasi Berkesan dan Imej Malaysia di Arena Antarabangsa, saya telah mengajukan soalan kepada kerajaan mengenai langkah yang telah diambil sejak pengisytiharan Dasar Diplomatik Budaya pada bulan Disember 2021, yang tujuannya untuk mengangkat unsur-unsur kebudayaan negara sebagai satu daripada bentuk diplomatik lunak (soft diplomacy).

Negara jiran kita, Indonesia sejak puluhan tahun telah menggerakkan program diplomasi budaya melalui kedutaan besarnya di negara-negara utama dunia, khasnya melalui atase pendidikan dan kebudayaan dan hasilnya kini menyerlah dengan kebudayaan Indonesia mendapat sambutan dalam pengajian ilmiah dan program sosiobudaya sedunia melebihi pencapaian negara kita. Dalam konteks promosi bahasa nasionalnya pula, kejayaan dicapai apabila pada tahun 2024 UNESCO mengiktiraf bahasa Indonesia sebagai satu daripada bahasa rasmi persidangan badan dunia itu. Sebagai orang yang dua kali diberi amanah oleh kerajaan sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di RRC, saya perlu mengulang sambutan positif negara berkenaan kepada bahasa dan tamadun negara kita kini terdapat 17 buah IPT di negara itu yang menawarkan kursus ijazah, diploma dan kursus khas bahasa Melayu yang sekali gus mendatangkan pulangan ekonomi, di samping mengangkat tamadun negara pada peringkat antarabangsa.

Akhir sekali, pengisian dan pelaksanaan Belanjawan 2026 mestilah disasarkan pada Tumpuan 9 RMK-13: Mencapai Keadilan Sosial dan Kesaksamaan Peluang. Semua strategi dan inisiatif yang dilaksanakan mestilah memenuhi gagasan keadilan sosial dan kemakmuran bersama dengan golongan sasar meliputi semua warganegara. Hal itu sebenarnya menepati semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang sering kali disalah anggap oleh sesetengah pihak kerana dikatakan hanya memberikan perhatian kepada sesuatu kaum, khasnya orang Melayu dan Bumiputera. Perkara 153 itu dengan jelas menyebut “tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi serta menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak (Bumiputera), dan pada masa yang sama menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.”

Kita sudah demikian lama terbelenggu dalam kemelut untuk mencapai kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Belanjawan Tahun 2026 mudah-mudahan menjadi titik tolak untuk menggapai impian tersebut.

Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan, Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi