Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memartabatkan keadilan pendidikan dan menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai inisiatif baharu yang merangkumi kebajikan murid, pemerkasaan komuniti serta pengukuhan bahasa. Demikian inti pati ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam majlis Amanat Tahun Baharu yang diadakan di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan pagi tadi.
Dalam usaha meringankan beban keluarga, satu inisiatif besar melibatkan pengedaran satu juta buku tulis yang diperbuat daripada kertas kitar semula akan dilaksanakan.
Menurut beliau, sumbangan ini disasarkan khusus kepada murid kategori B40 di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. “Melalui kerjasama antara Perbadanan Kota Buku dengan 27 syarikat korporat, setiap murid yang terpilih bakal menerima 10 buah buku tulis,” ujar beliau.
Selain itu, KPM turut memberi tumpuan kepada pendidikan awal dan murid berkeperluan pendidikan khas. Program “Mini Kota Buku Cilik” akan diperkenalkan untuk murid prasekolah, manakala penggunaan Peranti Braille akan disediakan bagi membantu meningkatkan minat membaca murid berkeperluan pendidikan khas bagi kategori orang kurang upaya (OKU) penglihatan.
“Melangkah kejap lebih jauh, Mini Kota Buku Cilik diperkenalkan bagi menyemai cinta membaca sejak usia awal, selari dengan kurikulum baharu prasekolah 2026. Mini Kota Buku Cilik ini akan ada di beberapa prasekolah sebagai satu simbol untuk terus menarik minat murid membaca, khususnya untuk sesi membaca bersama yang dilaksanakan secara pakat dengan ibu bapa kita,” tambah beliau.
Dalam menjayakan inisiatif tersebut, beliau berkata, Perbadanan Kota Buku (PKB) sebagai agensi pelaksana akan bekerjasama dengan bahagian-bahagian kurikulum, Bahagian Pendidikan Khas untuk memastikan bahawa agenda ini dapat diteruskan.
YB Fadhlina turut menjelaskan tentang inisiatif bookcapital.my yang akan menghimpunkan dan menjadi pusat sehenti ekosistem penting perbukuan negara. “Di situlah berkumpulnya semua ekosistem perbukuan; penulis, ilustrator, penterjemah, pencetak dan penjual yang akan dihimpunkan dalam bookcapital.my sebagai pusat sehenti ekosistem,” ujar beliau.
Menurut beliau, bagi memupuk budaya membaca, kepimpinan melalui teladan ditekankan dengan mewujudkan kelab membaca khusus, iaitu Kelab Membaca Madani yang menyasarkan penglibatan aktif pelajar universiti serta Kelab PM (Perempuan Membaca) yang diwujudkan khas bagi menggalakkan kaum wanita memperkasakan diri melalui pembacaan.
“Sebagai galakan, antara naskhah yang dicadangkan untuk bacaan ialah karya-karya berkaitan dengan tokoh pemikir alam Melayu,” ujar beliau.
Dalam usaha memperkayakan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) memperkenalkan Hadiah Tokoh Penterjemah Negara bernilai RM30,000 serta beberapa kategori lain bagi menggalakkan penterjemahan karya ilmu ke bahasa kebangsaan.
Pada masa yang sama, ITBM turut memfokuskan kepada pengukuhan penguasaan bahasa ketiga di sekolah-sekolah. Inisiatif ini merangkumi sokongan terhadap pembelajaran bahasa Mandarin, Tamil, Perancis, Korea dan Arab bagi meningkatkan daya saing murid pada peringkat global.