Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) menegaskan pendirian untuk tidak melindungi mana-mana warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dalam salah guna kuasa, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bahawa tindakan drastik sedang diambil bagi memerangi isu tersebut secara menyeluruh, bermula daripada peringkat tertinggi hingga ke peringkat bawahan.
“Kementerian Pertahanan tidak akan melindungi sesiapa. Mereka akan kehilangan kehormatan sebagai seorang pahlawan jika didapati bersalah,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Penerangan Menteri Pertahanan mengenai isu terkini berkaitan dengan rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, YB Dato’ Mohamed Khaled memberitahu beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada minggu lalu.
Langkah itu bagi memberikan jaminan bahawa kementeriannya berdiri teguh bersama-sama dengan SPRM dan membuka ruang seluas-luasnya untuk siasatan dijalankan secara bebas, telus dan berkesan.
Menyentuh mengenai mekanisme pengadilan, YB Dato’ Mohamed Khaled menjelaskan bahawa terdapat pemisahan bidang kuasa berdasarkan jenis kesalahan, iaitu Pertuduhan Jenayah yang diserahkan sepenuhnya kepada sistem keadilan negara (mahkamah sibil) untuk diputuskan secara adil serta Salah Laku Moral dan Pentadbiran, iaitu kes yang membabitkan budaya hedonisme dan pelanggaran disiplin yang akan diadili oleh Mahkamah Tentera.
Tambahnya, usaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap ATM kini menjadi keutamaan terpenting Kerajaan MADANI.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa pendakwaan semata-mata tidak mencukupi untuk menjamin kementerian tersebut bebas sepenuhnya daripada anasir negatif.
“Tindakan mengenal pasti dan mendakwa mereka yang terbabit jauh daripada mencukupi. Usaha ini tidak sama sekali akan menjadikan kementerian ini suci dan bersih (secara automatik, tanpa usaha berterusan),” ujarnya lagi.