Diterbitkan pada 24 Februari 2026, 23:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Masyarakat Islam saban tahun teruja untuk meraikan kedatangan bulan Ramadan. Kepelbagaian bangsa dan budaya masyarakat seluruh dunia menjadikan sambutan bulan ini berbeza antara satu negara dengan negara yang lain. Di Kaherah, seluruh bandar akan diterangi dengan lampu lantera berwarna-warni dan unik yang dikenali sebagai fanous pada bulan Ramadan kerana masyarakat di sana percaya dengan nilai rohani yang terdapat pada lampu tersebut.

Namun begitu, di Sarajevo, Bosnia Herzegovina pula kebiasaannya dimeriahkan dengan tembakan meriam sebelum menunggu waktu berbuka puasa. Tradisi memasak dan mengedarkan bubur lambuk pula sinonim dengan bulan Ramadan di negara kita. Masyarakat tanpa mengira kaum teruja untuk menikmati kelazatan hidangan ini. Tanpa bubur lambuk, kemeriahan suasana Ramadan sedikit suram sebagaimana ketika negara kita dilanda pandemik, COVID-19 pada tahun 2020.

Bubur lambuk merupakan antara hidangan tradisi bulan Ramadan yang bukan sahaja digemari oleh orang Melayu Islam tetapi juga pelbagai kaum lain di negara kita. Bubur Lambuk dikatakan wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15, iaitu apabila Parameswara ataupun nama baginda selepas memeluk agama Islam, Sultan Iskandar Shah, menerima kunjungan Maharaja Hun Jen dari Kemboja yang mahukan sejenis makanan yang mudah untuk ditelan tetapi sedap dan berkhasiat. Ada sumber pula menyebut bubur lambuk mula dihidangkan di Malaysia, di kawasan Kampung Baru, Kuala Lumpur oleh Said Bank pada tahun 1950-an. Walau bagaimanapun, masih tiada lagi sumber yang tepat berkaitan dengan sejarah hidangan yang hanya muncul sekali dalam setahun apabila tibanya bulan Ramadan.

Islam tidak pernah menyenaraikan hidangan yang perlu disediakan sebaik tibanya bulan Ramadan kerana kepelbagaian kaum dan budaya yang terdapat dalam klangan umatnya. Namun begitu, Rasulullah SAW menganjurkan agar memperbanyak kuah atau kandungan air dalam makanannya agar kuantitinya menjadi banyak dan boleh dinikmati oleh sejumlah besar manusia sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Apabila kamu membeli daging atau memasak makanan di atas periuk, maka perbanyakan kuahnya dan berikanlah makanan itu untuk tetanggamu.” (Hadis Riwayat Tirmizi). Mungkin atas faktor inilah sedikit sebanyak yang menyebabkan bubur lambuk menjadi pilhan hidangan untuk disediakan pada bulan Ramadan di Malaysia. Hal ini kerana bubur lambuk disediakan dengan memperbanyak kuah atau air dan isinya ialah nasi yang direbus sehingga kembang dan hancur yang membolehkan hidangan ini dapat dimakan oleh ramai orang.

Bubur lambuk juga telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2015. Makanan ini berasaskan beras putih yang dimasak dengan santan, daging serta beberapa jenis bahan rempah seperti halba, kulit kayu manis, bunga cengkih, jintan putih, buah pelaga dan bunga lawang. Beberapa jenis daun seperti daun pandan, daun sup, daun bawang juga ditambah bagi menambahkan lagi rasa dan aroma, serta bawang goreng ditabur sebagai pelengkap hidangan. Bubur lambuk mempunyai signifikan dengan masyarakat Malaysia terutamanya orang Islam, dan biasanya dimasak secara gotong royong pada bulan Ramadan dan diagih-agihkan kepada masyarakat setempat sebagai hidangan berbuka puasa. Walaupun secara asasnya, hidangan bubur lambuk adalah sama tetapi sebenarnya terdapat juga bahan yang berbeza dalam penyediaannya mengikut kawasan.

Sebagai contoh, bubur lambuk di Kedah lebih dikenali sebagai kanji, bahan yang digunakan lebih kurang sama, tetapi tidak menggunakan rempah dan dihidang dengan telur, isi ayam yang dicarik, serta kekacang. Di Sarawak pula, terdapat bubur pedas yang merupakan makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak yang lazimnya didapati pada bulan Ramadan sama seperti bubur lambuk di Semenanjung Malaysia. Bubur pedas biasanya mengandungi banyak rempah dan sayur-sayuran seperti cendawan hitam atau cendawan Cina, cendawan butang, tauhu kering, sayur midin, putik jagung, umbut nanas, kacang panjang, daun kunyit, daun sengkel dan terus yang dihiris halus. Penyediaan bubur pedas ini agak rumit kerana bahan yang diperlukan untuk memasaknya melebihi 30 bahan, termasuklah bumbu dan juga bahan lain. Proses memasak bubur pedas ini juga memerlukan kesabaran bagi mendapatkan keenakan bubur pedas yang asli. Bubur lambuk di kawasan sekitar Lembah Klang pula dikenali sebagai bubur lambuk berempah yang mempunyai rasa lemak daripada santan dan manis daging bersama-sama dengan daun sup dan bawang goreng.

Sementara itu, di Johor, bubur lambuknya hampir sama dengan bubur lambuk Lembah Klang tetapi sedikit berempah dengan penambahan sedikit rempah beriani, sup bunjut dan rempah kurma sebagai bahan masakannya. Bubur lambuk di Pantai Timur pula berbeza sedikit rasanya berbanding dengan negeri lain kerana isi ikan digunakan sebagai bahan memasak, selain menggunakan pelbagai ulam-ulaman seperti pucuk ubi, daun cekur manis, pucuk paku, kangkung, daun kadok dan daun kesom. Walaupun mempunyai persamaan, namun terdapat perbezaan antara ketiga-tiga bubur lambuk di negeri tersebut. Bubur lambuk di Kelantan menggunakan ikan kering, manakala di Pahang pula menggunakan sotong dan udang sebagai bahan masakan. Bubur lambuk Terengganu pula kebiasaannya dimakan bersama-sama dengan ikan bilis goreng, keropok, budu dan air limau nipis.

Antara semua bubur lambuk di Malaysia, sudah tentulah bubur lambuk Kampung Baru merupakan bubur tradisi yang paling terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia. Bubur ini yang terkenal sejak era 50-an merupakan antara hidangan bulan Ramadan yang dinantikan oleh warga kota. Bubur ini yang diedarkan secara percuma juga mempunyai rasa yang sedap dan masih mengekalkan resepi tradisi sejak lebih 100 tahun dahulu. Setiap hari, sebanyak 15 periuk bubur lambuk akan dimasak di Masjid Jamek Kampung Baru dan diedarkan kepada orang ramai secara percuma selepas solat Asar. Ada yang sanggup datang dari jauh hanya untuk mengambil juadah tradisi ini. Bahkan semasa COVID-19 melanda negara pada tahun 2020, banyak individu yang merindui hidangan bubur lambuk ini. Bubur lambuk ini juga menjadi pilihan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dalam program Ikhlas BERNAS Bubur Lambuk Antarabangsa untuk diperkenalkan sebagai makanan tradisional kepada pelancong asing di Pasar Seni Kuala Lumpur pada tahun 2019.

Bubur lambuk bukan sahaja menjadi juadah tradisi bila tibanya bulan Ramadan, tetapi menjadi lambang perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia kerana penyediaan bubur ini dilakukan secara bergotong-royong di masjid, di surau dan di dewan orang ramai. Proses memasak bubur lambuk ini mengambil masa yang lama, bermula dari penyediaan bahan hingga proses memasaknya. Membolehkan masyarakat duduk bersama-sama dan bertukar-tukar cerita antara satu sama lain. Setelah selesai, mereka juga akan membungkus dan mengagihkan hidangan tradisi bulan Ramadan ini kepada masyarakat setempat secara percuma. Penyediaan bubur lambuk secara gotong-royong atau rewang ini bukan sahaja memudahkan perjalanan sesuatu program atau majlis, tetapi mampu mengukuhkan silaturahim dan mengeratkan perpaduan dalam kalangan penduduk.

Selain proses penyediaan bubur lambuk yang memerlukan kebersamaan dalam kalangan masyarakat, kepelbagaian gabungan bahan dalam hidangan tersebut juga membolehkan bubur lambuk diangkat sebagai simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang turut menyatakan juadah bubur lambuk harus diangkat sebagai simbol perpaduan dan nilai kebersamaan yang dapat dilihat dengan signifikan melalui penggabungan pelbagai ramuan seperti beras, bawang, rempah, daging dan sebagainya yang akhirnya memberikan cita rasa yang sedap.

Sejak tahun 2023, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) turut menganjurkan Program Gerak RAHMAH 2023: Jom Masak Bubur Lambuk bagi memperkasakan, mempertingkat dan mempergiat aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan dalam Komuniti Rukun Tetangga (KRT) seterusnya menyokong aspirasi kerajaan untuk membangunkan Komuniti RAHMAH. Program ini telah melibatkan 3000 KRT dengan penyertaan lebih 60 000 ahli di seluruh negara dan sebanyak 300 000 bekas bubur lambuk telah diagihkan kepada komuniti setempat pada tahun 2023. Pada tahun 2024, sebanyak 600 000 bekas bubur lambuk diedarkan di seluruh negara oleh KRT.

Kesimpulannya, tradisi memasak bubur lambuk sepanjang bulan Ramadan menjadi tradisi yang perlu dipertahankan kerana memberikan manfaat kepada masyarakat Malaysia. Hidangan tradisi yang berkhasiat kerana boleh membantu sistem pencernaan ini turut menjadi simbol perpaduan dan simbol cita rasa yang mewakili kemajmukan keluarga Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana resipinya mengikut kesesuaian selera penduduk di kawasan masing-masing. Proses penyediaan dan pengagihan bubur lambuk kepada masyarakat juga mengakrabkan hubungan antara penduduk dalam komuniti setempat. Bubur lambuk yang menjadi hidangan tradisi zaman-berzaman ini mempunyai nostalgianya sendiri dalam memori rakyat Malaysia sehinggakan pihak Kementerian Perpaduan Negara memilih untuk mengangkat hidangan ini sebagai antara simbol perpaduan masyarakat kita.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi