Diterbitkan pada 1 Mei 2026, 19:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Bersempena dengan sambutan Hari Pekerja 2026 yang mengangkat tema “Pekerja MADANI Kesuma Bangsa”, kisah dedikasi seorang staf makmal Orang Kurang Upaya (OKU) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah membuka ruang wacana tentang kepentingan persekitaran kerja inklusif dalam sektor profesional.

Empunya kisah tersebut ialah Penolong Pegawai Sains Kanan, Tc. Noriah Hassan yang memulakan kerjaya dalam bidang makmal sejurus menamatkan pengajian Diploma Sains di UiTM Cawangan Perlis.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau kini memikul tanggungjawab yang besar dalam pengendalian operasi makmal pengajaran dan penyelidikan, pengurusan keselamatan, serta tadbir urus makmal.

Sebagai individu Orang Kurang Upaya (OKU) dalam pendengaran, beliau mengakui bahawa bidang makmal amat bersesuaian dengan kemahiran teknikal dan pemerhatian visualnya.

Menurut beliau, prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan bertulis membolehkan beliau melaksanakan tugas dengan teratur tanpa terlalu bergantung kepada komunikasi lisan.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan wujud cabaran tersendiri, terutamanya melibatkan sistem amaran berasaskan bunyi dan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) yang menyukarkan pembacaan gerak bibir.

“Dalam situasi kecemasan, komunikasi yang terlalu pantas dan bergantung kepada arahan lisan boleh menjejaskan kefahaman saya, sekali gus memberikan tekanan dari sudut keselamatan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai sokongan daripada pihak institusi, beliau memuji langkah penyediaan maklumat dalam bentuk visual dan bertulis serta susun atur makmal yang bersistematik kerana dapat membantu efisien pekerjaan beliau.

Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan agar sistem amaran visual dan latihan kesedaran diberikan kepada rakan sekerja bagi memperkukuh budaya kerja yang inklusif.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap jurang antara dasar sedia ada dengan realiti pelaksanaan di Malaysia.

Walaupun Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) telah lama digubal, namun penguatkuasannya dilihat masih belum menyeluruh merentas di seluruh organisasi.

“Inklusiviti seharusnya dianggap sebagai tanggungjawab kolektif, bukan sekadar untuk memenuhi syarat minimum perudangan,” ujarnya.

Pengalaman sebagai pekerja OKU telah mengasah daya tahan dan motivasi diri yang luar biasa dalam diri beliau. Setiap rintangan dijadikan peluang untuk membuktikan kemampuan diri  dan sokongan daripada rakan sekerja serta pihak universiti menjadi nadi utama untuk terus berbakti dalam bidang profesional.

 

Kecemerlangan dan komitmen berterusan yang dipamerkan oleh Puan Noriah Hassan menjadi asas kukuh yang melayakkan beliau meraih anugerah pengiktirafan pada peringkat universiti.

Bersempena dengan sambutan Hari Pekerjaan 2026, beliau berharap agar dasar berkaitan kebajikan dan peluang kerjaya OKU diperkasakan melalui pelaksanaan yang lebih agresif, termasuklah pemberian insentif kepada majikan, penyediaan kemudahan aksesibiliti, serta peluang pembangunan kerjaya yang setara.

“Golongan OKU seperti kami tidak seharusnya terhad kepada pekerjaan pada peringkat tertentu sahaja, sebaliknya perlu diberikan ruang dan peluang yang sama untuk berkembang, termasuk dalam aspek kepimpinan,” jelasnya lagi.

Sebagai pesanan terakhir kepada masyarakat dan majikan, beliau memohon agar persepsi terhadap golongan OKU diubah secara menyeluruh.

“Kami bukan beban, sebaliknya merupakan aset yang mampu memberikan sumbangan signifikan sekiranya diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya,”tambahnya lagi.

Perkara ini selari dengan aspirasi tema “Pekerja MADANI Kesuma Bangsa” yang mementingkan pembinaan ekosistem kerja yang adil dan inlusif demi kemajuan negara.

Kredit Foto: Puan Noriah Hassan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi