Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLangkawi – Suasana penuh emosi menyelubungi padang apabila pasukan Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad (SKPA) mencipta sejarah tersendiri dengan merangkul kejuaraan dalam Kejohanan Sofbol Majlis Sukan-Sukan Daerah (MSSD) Langkawi 2026.
Kejayaan manis ini bukan hadir dengan mudah. Di sebalik senyuman kemenangan, tersimpan kisah perjuangan 15 orang pemain muda berusia 10 hingga 12 tahun yang telah berlatih tanpa henti selama dua bulan.
Dalam tempoh itu, mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk kekurangan peralatan latihan yang hampir mematahkan semangat mereka. Namun begitu, semangat juang yang tinggi dan sokongan padu daripada barisan lima jurulatih menjadi nadi kekuatan pasukan ini.
Jurulatih pasukan, Aifah Syamimi Che Ramlan, tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya ketika ditemui.
“Saya tidak menyangka pasukan dari SKPA ini dapat mengalahkan sekolah lain dalam kejohanan tahun ini. Sebelum ini mereka menghadapi pelbagai masalah semasa latihan berikutan kekurangan peralatan, tetapi mereka tidak pernah
mengalah,” katanya dengan nada sebak.
Perjalanan SKPA ke pentas akhir bukanlah mudah. Mereka terpaksa melalui tiga perlawanan sengit sebelum layak bertemu pasukan kuat dari Sekolah Kebangsaan Kedawang pada peringkat akhir.
Perlawanan akhir tersebut benar-benar mendebarkan apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata dalam aksi yang penuh dramatik. Sorakan penyokong bergema di segenap penjuru padang, menambah tekanan kepada para pemain cilik ini.
Akhirnya, SKPA berjaya mencipta detik kemenangan yang tidak akan dilupakan apabila menewaskan lawan dengan keputusan tipis tujuh berbalas enam.
Sebaik-baik sahaja wisel penamat ditiup, para pemain SKPA tidak dapat menahan air mata kegembiraan. Mereka berpelukan sesama sendiri, seolah-olah segala penat lelah, kekecewaan dan pengorbanan selama ini terlerai dalam satu detik bersejarah.
Kemenangan ini bukan sekadar trofi, tetapi simbol kekuatan semangat, ketabahan dan kepercayaan bahawa usaha tidak pernah mengkhianati hasil.
SK Penghulu Ahmad kini berdiri megah sebagai juara, membawa pulang bukan sahaja kemenangan, tetapi juga inspirasi kepada seluruh warga sekolah dan komuniti setempat.