Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKerjaya sebagai seorang Guru Besar pada era pendidikan moden bukan lagi suatu perjalanan mendatar yang hanya tertumpu pada pentadbiran sekolah, penyeliaan pengajaran guru, dan pemantauan kokurikulum. Sebaliknya, merupakan sebuah perjalanan yang penuh cabaran, tugas yang rencam, tekanan masa, dan tanggungjawab yang berlapis-lapis.
Dalam arus pendidikan yang berubah pantas, Guru Besar tidak lagi boleh beroperasi dalam satu ruang kerja yang statik, sebaliknya perlu bijak melaksanakan pelbagai tugas dalam satu masa atau dalam istilah semasa, multitasking (multitugas).
Namun begitu, kehebatan multitugas ini akan menjadi lebih bermakna apabila dipadukan dengan minat peribadi yang memperkayakan jiwa, antaranya termasuklah minat melukis, menulis, menjahit, memasak, menghias, menghasilkan bahan pengajaran dan mencipta inovasi. Gabungan unik ini bukan sahaja membentuk identiti seorang pemimpin pendidikan, malah turut memberikan nilai tambah kepada organisasi sekolah.
Multitugas bagi seorang Guru Besar bukan sekadar menyelesaikan banyak tugas, tetapi kemampuan menghubungkan pelbagai kemahiran untuk menghasilkan kepimpinan yang berkesan dan berjiwa seni. Rasulullah SAW sendiri menggambarkan bahawa manusia terbaik ialah mereka yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain. Dalam sebuah hadis, baginda bersabda:
Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain.
(Hadith Riwayat al-Tabarani).
Maka itu, seorang Guru Besar yang mampu menggabungkan minat peribadi dengan wawasan pendidikan sebenarnya sedang menyalurkan manfaat yang luas daripada pelbagai dimensi.
Multitugas merupakan asas kepimpinan seorang Guru Besar. Seorang Guru Besar perlu melaksanakan urusan pentadbiran harian seperti menyemak jadual waktu, menyediakan laporan, memantau prestasi guru dan murid, menyelia perjalanan sekolah, mengurus mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), membuat keputusan serta perbelanjaan kewangan secara berhikmah, menyelesaikan konflik dalaman dan pada masa yang sama mengurus hubungan dengan pihak luar melalui jalinanan dan jaringan. Situasi ini menuntut kecekapan dalam soal mengurus masa, emosi, tenaga dan strategi. Berbilang tugas bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan.
Namun begitu, multitugas yang benar-benar berkesan bukan sekadar menyelesaikan tugasan secara bertubi-tubi, tetapi menyusun prioriti dan mengekalkan momentum kerja. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW mengingatkan:
Sesungguhnya Allah mencintai seseorang yang apabila melakukan sesuatu, dia melakukannya dengan tekun (itqan).
(Hadis Riwayat al-Baihaqi).
Hadis ini memberikan garis panduan bahawa multitugas bukan alasan untuk bekerja secara sambil lewa, sebaliknya mendidik seseorang agar memberikan kesempurnaan pada setiap hasil kerja walaupun sedang melaksanakan pelbagai perkara dalam satu masa.
Guru Besar yang berkualiti tidak hanya berfungsi sebagai pentadbir, tetapi juga sebagai ejen perubahan yang mampu memberikan inspirasi. Multitugas yang digabungkan dengan minat seni, inovasi dan kreativiti menjadikan kepimpinan lebih hidup, segar dan berkesan.
Apabila seorang Guru Gesar melukis, minda berada dalam zon refleksi yang tenang. Dalam ketenangan itu, idea tidak dikejar, tetapi hadir dengan sendirinya. Seperti air jernih yang hanya memantulkan bayang apabila permukaannya tenang. Selagi hati bergelora dan fikiran bercelaru, kreativiti akan menjadi kabur dan cetek. Namun begitu, apabila ketenangan hadir, minda menjadi lapang dan daripada kelapangan itulah lahir idea yang tulen dan mendalam.
Bagi insan kreatif seperti pelukis, penulis, pendidik dan pemikir, ketenangan bukan pelarian dari dunia nyata, tetapi jalan untuk memahami dunia dengan lebih jujur. Dalam suasana tenang, seseorang tidak perlu berpura-pura. Emosi yang terpendam muncul perlahan-lahan tanpa paksaan. Daripada emosi yang jujur inilah lahir karya yang hidup, bukan sekadar indah pada rupa, tetapi menyentuh perasaan.
Allah SWT sendiri mengangkat nilai ketenangan dan tafakur yang hanya dapat dicapai melalui suasana sunyi yang bermakna. Firman Allah SWT:
Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal; (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk dan berbaring, serta mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi.
(Surah Ali ‘Imran, 3:190–191)

Ayat di atas menggambarkan bahawa pemikiran yang mendalam lahir daripada ketenangan, bukan daripada kebisingan. Tafakur tidak berlaku dalam hiruk-pikuk, tetapi dalam kesunyian yang menghubungkan akal, hati dan diri kita dengan Pencipta.
Ketenangan juga menjadi ruang penyembuhan emosi. Dalam kesibukan, manusia sering menutup luka dengan pelbagai aktiviti. Namun dalam ketenangan, luka itu dapat dilihat, difahami dan diterima. Ketenangan mengajar seseorang berdamai dengan dirinya sendiri. Daripada kedamaian inilah lahir kestabilan emosi dan kestabilan emosi merupakan asas kepada kreativiti yang matang.
Rasulullah SAW sendiri menonjolkan nilai ketenangan sebelum menerima wahyu. Baginda memilih Gua Hira’, tempat yang jauh dari kesibukan Makkah, untuk beruzlah dan bertafakur. Hal ini bukan suatu kebetulan, tetapi isyarat bahawa pencerahan besar lahir daripada ketenangan yang mendalam. Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan Dia mencintai kelembutan dalam setiap urusan.
(Hadis Riwayat Muslim)
Kelembutan ini termasuklah kelembutan suasana dan jiwa. Ketenangan melahirkan kelembutan dalam berfikir, merasa dan berkarya. Idea yang lahir daripada ketenangan kelazimannya lebih matang, tidak tergesa-gesa dan tidak dangkal.
Bagi seorang pelukis, ketenangan menjadikan tangannya lebih jujur. Garisan tidak lagi dilukis untuk memuaskan pandangan orang lain, tetapi untuk meluahkan rasa sendiri. Warna tidak dipilih kerana mengikut trend, tetapi berdasarkan getaran emosi. Maka itu, tidak hairanlah hasil lukisan yang lahir daripada ketenangan sering terasa lebih hidup, mantap dan berjiwa.
Ketenangan juga mengajar fokus. Tanpa gangguan, minda dapat menyelami sesuatu idea hingga ke dasarnya. Fokus inilah yang membezakan karya biasa dengan karya yang meninggalkan kesan, seperti sabda Rasulullah SAW:
Antara kebaikan Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya.
(Hadis Riwayat Tirmizi – Hasan Sahih)
Ketenangan membantu manusia meninggalkan perkara yang tidak perlu seperti kebisingan, perbandingan dan gangguan agar tenaga jiwa tertumpu kepada sesuatu yang benar-benar bermakna.
Oleh itu, ketenangan bukan suatu kekurangan, tetapi anugerah. Ketenangan merupakan ruang mencari idea, tempat menenangkan emosi dan jambatan antara hati dengan ilham. Dalam ketenangan, manusia bukan menjadi lemah, tetapi menjadi lebih jujur dan berani. Berani mendengar suara hati sendiri. Daripada keberanian itulah lahir kreativiti yang bukan sekadar indah, tetapi bermakna dan berjiwa.
Di situlah timbulnya idea baharu untuk sekolah seperti cara menghias sudut bacaan, mereka bentuk laluan pendidikan atau menghasilkan sudut antidadah dan lain-lain. Melukis juga membantu mengurangkan tekanan, menstabilkan emosi dan merangsang kreativiti yang menjadi aset penting dalam pengurusan krisis.
Pendekatan visual melalui aktiviti melukis turut memudahkan guru besar berkomunikasi dengan jelas kepada guru dan murid, contohnya melalui laman minda sihat sekolah atau ilustrasi bahan inovasi pembelajaran. Seni melukis menjadikan berbilang tugas lebih teratur kerana membantu otak menyusun maklumat secara visual.
Menulis puisi, pantun, gurindam, syair, seloka dan cerpen bukan sekadar hobi, tetapi suatu proses melentur minda dan jiwa. Penulisan kreatif mengajar seseorang memilih kata dengan berhati-hati, membina ayat secara tertib dan menyampaikan mesej secara halus, tetapi mendalam.
Bagi seorang Guru Besar, kemahiran ini amat penting dalam pelbagai tugasan penulisan ilmiah seperti ucapan rasmi, laporan, rumusan mesyuarat, kertas kerja, surat pekeliling dan dokumentasi program sekolah.

Dalam pentadbiran, pemimpin yang mampu menulis dengan baik dapat menyampaikan visi sekolah dengan lebih meyakinkan. Malah, penulisan puisi atau syair membantu membina sensitiviti terhadap perasaan guru dan murid. Keindahan bahasa dapat menjadi jambatan emosi yang memudahkan penyelesaian konflik dan meningkatkan motivasi staf. Menulis juga merupakan medium refleksi diri. Sabda Nabi SAW:
Renungkanlah dirimu sebelum kamu direnungkan.
Walaupun hadis ini bukan lafaz sahih, maksudnya selari dengan pengajaran Islam tentang muhasabah. Menulis diari harian, catatan pengalaman atau jurnal kepimpinan membantu seorang Guru Besar menilai kekuatan dan kelemahan diri.
Inovasi merupakan jiwa kepada pendidikan pada abad ke-21. Guru Besar yang gemar mencipta sesuatu yang baharu bukan sahaja menceriakan sekolah, malah mampu mengubah budaya kerja. Inovasi boleh berupa peralatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), kaedah pengajaran guru, teknik pembelajaran murid, sistem fail digital, sudut pembelajaran interaktif, bahan bantu mengajar, aplikasi mudah alih atau teknologi mesra guru.
Keupayaan multitugas memainkan peranan besar dalam mencipta inovasi. Proses inovasi memerlukan keberanian untuk mencuba, kesediaan untuk gagal, kemampuan untuk memperbaiki kelemahan dan semangat untuk meneroka. Pemimpin yang inovatif akan menggalakkan guru turut terlibat dalam penciptaan projek STEM, pertandingan reka cipta atau aktiviti lain di sekolah. Kefahaman melalui Reka Bentuk (KMR) sangat membantu murid menghasilkan idea baharu. Hadis Nabi SAW menyatakan:
Barang siapa yang menunjukkan jalan kebaikan, maka dia mendapat ganjaran seperti orang yang mengerjakannya.
(Riwayat Muslim)
Seorang Guru Besar yang memperkenalkan Kajian Tindakan, Amalan Baik dan inovasi memberikan ruang kepada guru lain untuk mengikuti jejak langkah kreatif tersebut, sekali gus memberikan manfaat berganda kepada semua.
Menjahit sering dianggap sebagai hobi tradisional, namun pada hakikatnya mempunyai nilai falsafah yang mendalam dan sangat penting bagi seorang pemimpin. Menjahit memerlukan ketelitian, kesabaran, ketepatan ukuran dan kemampuan melihat keseluruhan hasil sebelum memulakan kerja. Semua ini merupakan keperluan asas dalam berbilang tugas seorang guru besar.
Jika satu jahitan tersasar, pakaian boleh rosak; begitu juga jika satu keputusan dibuat secara tergesa-gesa, sekolah boleh terjejas. Menjahit melatih pemimpin agar berhati-hati dan tidak terburu-buru. Selain itu, sempat juga menghasilkan sarung kerusi perpustakaan, tirai susur gajah, scallop tangga dan pelbagai keperluan lain.
Dalam multitugas harian, seni menjahit membantu guru besar menyusun strategi secara sistematik seperti membina pelan tindakan, menilai risiko, memastikan setiap bahagian organisasi berfungsi dan memperkemas kelemahan kecil sebelum menjadi besar.

Memasak merupakan proses yang memerlukan kreativiti, kesabaran, keikhlasan dan kasih sayang. Guru Besar yang gemar memasak sebenarnya memiliki jiwa penyayang yang tinggi kerana memasak melibatkan pemberian tanpa mengharapkan balasan. Dalam banyak tradisi, memasak dianggap sebagai bentuk sedekah yang paling halus. Nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya yang paling baik di antara kalian adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada keluarganya.
Rasulullah SAW sendiri membantu menyediakan makanan di rumah. Dalam konteks sekolah, minat memasak boleh diterjemahkan dalam bentuk menyediakan jamuan staf sebagai tanda penghargaan, menyediakan menu sihat untuk projek kantin, memberikan idea kepada guru Sains dan Reka Bentuk Teknologi untuk eksperimen serta mengajar murid memasak sebagai aktiviti kemahiran hidup.

Memasak juga mengajar budaya kerja berpasukan. Di dapur, setiap peranan adalah penting. Ada yang mencencang, menumis, merasa dan menyusun hidangan. Nilai ini sama seperti dalam aspek pengurusan sekolah. Semua guru perlu dihargai berdasarkan peranan masing-masing. Antara usaha menghargai staf dan pekerja sekolah termasuklah memberikan ganjaran dalam bentuk hidangan masakan kepada mereka.
Walaupun tidak seberapa, niat menghargai mereka itulah yang paling penting. Saya pernah memasak nasi mandi (mandy)sebagai penghargaan kepada staf yang berjaya menaikkan nama sekolah dalam Audit Cemerlang 2024. Begitu juga apabila sekolah meraih tempat ketiga dalam pertandingan landskap anjuran Majlis Perbandaran Kuantan, saya menempah makanan berhidang khas untuk pekerja pembersihan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha mereka.
Menghias merupakan manifestasi kreativiti, ekspresi diri dan keinginan untuk menjadikan sesuatu ruang lebih ceria, menarik dan kondusif. Guru Besar yang minat menghias mampu membawa aura positif ke seluruh sekolah. Hiasan bukan sekadar untuk mencantikkan ruang, tetapi turut mewujudkan persekitaran pembelajaran yang merangsang fokus murid serta meningkatkan keyakinan masyarakat untuk menghantar anak belajar di sekolah tersebut.
Sekolah yang dihias dengan baik memberikan isyarat kepada warga sekolah bahawa pemimpin mereka menghargai kecantikan, kebersihan dan ketertiban. Hasil kreativiti menghias boleh diterjemahkan melalui dekorasi pejabat sekolah, sudut bacaan berkonsep mesra alam, bilik guru yang lebih harmoni, laluan pendidikan bertemakan sejarah atau sains, mural seni visual hasil karya guru dan murid, laman minda sihat yang kondusif dan terapeutik, laluan antidadah, sudut hijau yang ceria serta taman Taman yang dihiasi pelbagai spesies orkid.
Guru Besar yang multitugas bukan sekadar pemimpin, tetapi inspirasi bergerak yang menjadi model dan rangsangan kepada pengikutnya.
Aktiviti menanam pokok hiasan melambangkan usaha menyuburkan bukan sahaja landskap fizikal sekolah, malah nilai dan sahsiah warga sekolah. Sekolah yang dihiasi kehijauan pokok dan bunga mewujudkan suasana pembelajaran yang tenang, nyaman dan kondusif. Kajian juga menunjukkan bahawa persekitaran hijau mampu mengurangkan tekanan emosi serta meningkatkan tumpuan murid dalam pembelajaran. Hal ini selari dengan tuntutan Islam yang menganjurkan keseimbangan dan keharmonian dalam kehidupan.
Maka itu, tindakan guru besar menanam pokok hiasan di sekolah merupakan manifestasi tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi yang mempraktikkan nilai kelestarian dalam kehidupan seharian.
Di sebalik kesibukan mengurus mesyuarat, fail, data dan pelbagai keperluan sistem pendidikan, guru besar yang turun ke lapangan untuk menanam pokok menunjukkan contoh kepimpinan melalui teladan. Murid dan guru dapat melihat secara langsung bahawa menjaga alam sekitar bukan sekadar slogan, tetapi amalan yang perlu diterjemahkan melalui tindakan. Secara tidak langsung, murid dididik tentang nilai kesabaran, disiplin dan tanggungjawab kerana pokok yang ditanam memerlukan masa, penjagaan dan komitmen untuk membesar dengan baik.
Rasulullah SAW turut memberikan penekanan besar terhadap amalan menanam dan menjaga tumbuhan. Baginda SAW bersabda:
Tidaklah seorang Muslim menanam suatu tanaman atau menabur benih, lalu dimakan daripadanya oleh burung, manusia atau binatang, melainkan ia menjadi sedekah baginya.
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini memperlihatkan bahawa aktiviti menanam pokok merupakan amalan yang bernilai ibadah dan mendatangkan ganjaran berterusan. Dalam konteks kepimpinan sekolah, Guru Besar yang menanam pokok bukan sahaja memperindah kawasan sekolah, tetapi juga mengumpul pahala serta menyemai budaya kebaikan yang memberikan manfaat kepada ramai.
Selain itu, landskap sekolah yang indah turut membentuk imej positif institusi pendidikan pada mata ibu bapa dan masyarakat setempat. Sekolah yang bersih, hijau dan terurus mencerminkan pengurusan yang berkesan serta kepimpinan yang prihatin. Hal ini, sekali gus menggalakkan pelibatan komuniti dalam program sekolah seperti gotong-royong, projek landskap dan aktiviti kelestarian alam sekitar.
Seorang Guru Besar yang multitugas dapat dilihat apabila aktiviti menanam pokok hiasan disepadukan dengan elemen pendidikan. Pokok tersebut boleh dijadikan bahan pembelajaran dalam mata pelajaran Sains, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni Visual. Murid bukan sahaja belajar secara teori, malah melalui pengalaman sebenar yang lebih bermakna dan berkesan.
Guru Besar yang gemar menanam pokok hiasan di sekolah mencerminkan kepimpinan holistik yang berteraskan nilai, teladan dan keseimbangan. Hal ini membuktikan bahawa dalam kesibukan tugas harian, seorang pemimpin pendidikan masih mampu menyemai keindahan, ketenangan dan nilai murni dalam persekitaran sekolah. Seperti pokok yang ditanam dengan penuh kesabaran, usaha pada hari ini akan terus memberikan manfaat dan teduhan kepada generasi akan datang di dunia dan akhirat.
Kesimpulannya, multitugas seorang Guru Besar perlu difahami sebagai satu bentuk kepimpinan MADANI yang menyeluruh, seimbang dan berteraskan nilai. Keupayaan menggalas pelbagai peranan secara serentak sebagai pentadbir, pemimpin instruksional, pembimbing emosi dan insan kreatif menuntut kebijaksanaan yang berpaksikan kemampanan agar setiap tindakan tidak mengorbankan kesejahteraan diri, warga sekolah dan masa hadapan organisasi pendidikan.
Kepimpinan yang lestari hanya dapat dibina apabila keseimbangan antara tugas, jiwa dan nilai sentiasa dipelihara. Dalam melaksanakan tanggungjawab secara multitugas, guru besar perlu menjunjung kesejahteraan warga sekolah dengan mewujudkan persekitaran kerja yang tenang, empati dan menyokong perkembangan potensi individu. Keseimbangan emosi pemimpin menjadi teladan kepada guru dan murid bahawa kejayaan bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi turut melibatkan kesihatan mental, keharmonian hubungan dan rasa dihargai.
Prinsip daya cipta pula terserlah apabila guru besar mengintegrasikan kreativiti dalam kepimpinan melalui inovasi pedagogi, penyelesaian masalah yang fleksibel serta penerokaan bakat seni dan kemahiran insaniah. Kreativiti ini bukan sekadar hobi peribadi, tetapi pemangkin budaya sekolah yang progresif, berfikiran terbuka dan berani mencuba pendekatan baharu demi kemenjadian murid.
Multitugas yang berkesan juga menuntut tahap hormat yang tinggi terhadap masa, keupayaan dan peranan setiap warga sekolah. Seorang Guru Besar yang menghormati keupayaan pasukannya tidak memusatkan semua tugas kepada diri sendiri, sebaliknya mengamalkan kepimpinan kolaboratif dan memperkasakan orang lain. Dalam ruang inilah lahir rasa saling percaya dan komitmen bersama.
Seterusnya, kepimpinan multitugas perlu dilaksanakan dengan keyakinan, iaitu keberanian membuat keputusan berlandaskan ilmu, pengalaman dan pertimbangan nilai. Keyakinan ini tidak hadir secara angkuh, tetapi dibina melalui refleksi diri, muhasabah dan kesediaan belajar secara berterusan. Guru Besar yang yakin akan peranannya mampu memimpin dengan tenang walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.