Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLandskap budaya kontemporari Malaysia kini menunjukkan generasi Z muncul sebagai generasi yang paling jelas mencerminkan peralihan zaman, bermula daripada dunia analog kepada dunia digital yang sepenuhnya bersepadu, pantas dan sentiasa terhubung.
Bagi generasi ini, media sosial bukan sekadar medium komunikasi atau hiburan, sebaliknya telah berkembang menjadi ruang utama pembentukan identiti, ekspresi kreatif dan wadah perjuangan sosial.
Berbeza dengan generasi terdahulu yang memisahkan antara kehidupan sebenar dengan kehidupan dalam talian, generasi Z membesar dalam realiti digital yang menyatu dengan kehidupan harian mereka. Identiti digital mereka tidak boleh dipisahkan daripada cara mereka menulis, berkarya, berbahas dan menyuarakan aktivisme.
Dalam konteks ini, media sosial berfungsi sebagai ruang sastera baharu yang tidak formal, pantas, bervisual dan dipengaruhi oleh algoritma.
Artikel ini meneliti trend media sosial membentuk identiti digital generasi Z di Malaysia, khususnya dalam aspek kreativiti sastera dan aktivisme digital, serta cabaran yang mengiringi kebebasan tersebut.
Mengenali Generasi Z: Generasi Pribumi Digital
Generasi Z merujuk individu yang dilahirkan antara tahun 1997 hingga tahun 2012. Menjelang tahun 2026, mereka berada dalam lingkungan usia 14 tahun hingga 29 tahun, iaitu fasa kritikal pembentukan jati diri, nilai dan orientasi hidup.
Di Malaysia, generasi Z mewakili hampir 29 peratus daripada populasi dan memainkan peranan penting sebagai pemacu transformasi digital, budaya dan ekonomi.
Generasi Z sering digelar sebagai warga natif digital (digital natives) atau pribumi digital kerana mereka membesar dalam persekitaran yang telah sedia terhubung dengan Internet, telefon pintar dan media sosial. Teknologi bukan lagi alat tambahan, sebaliknya menjadi lanjutan diri (extension of self).
Kajian tempatan turut mengkategorikan generasi Z sebagai generasi “4E”:
Selain itu, generasi Z turut dikenali sebagai generasi yang pragmatik dan kritikal. Mereka lebih realistik terhadap kerjaya masa hadapan, menekankan keseimbangan kerja dan kehidupan, serta mempunyai keupayaan tinggi untuk menapis semua maklumat.
Sikap sinis terhadap berita palsu dan autoriti tradisional menjadikan mereka generasi yang banyak bertanya, mencabar dan menilai semula naratif yang sedia ada.
Media Sosial sebagai Ruang Pembentukan Identiti
Dalam era digital 2025–2026, media sosial berfungsi sebagai “ruang tamu” utama kepada generasi Z. Di sinilah mereka membina persona, menguji idea dan mencari pengesahan sosial. Identiti digital tidak lagi bersifat pasif, tetapi dibentuk secara aktif melalui kandungan yang dihasilkan, iaitu teks, visual, audio dan gabungannya.
Platform seperti TikTok, Facebook, Instagram, X dan Xiaohongshu bukan sahaja mempengaruhi apaapa yang mereka lihat, tetapi turut menentukan bagaimana mereka berkarya. Algoritma memainkan peranan besar dalam membentuk gaya ekspresi yang ringkas, cepat, emosional dan mudah dikongsi. Dalam konteks kesusasteraan, perkara ini menandakan peralihan besar daripada bentuk tradisional kepada bentuk ekspresi mikro dan visual.
Evolusi Kreativiti: Daripada Teks kepada Visual Dinamik
Satu daripada perubahan yang paling ketara terhadap cara generasi Z berkarya ialah peralihan daripada teks yang panjang kepada kandungan berbentuk ringkas dan bersifat hibrid.
Sastera Mikro dan Visual
Puisi, cerpen dan refleksi kini muncul dalam bentuk kapsyen Instagram dan Facebook, video TikTok berdurasi 30 saat hingga 60 saat, atau Instagram Stories yang bersifat sementara. Estetika visual, iaitu tipografi, muzik latar, ekspresi wajah menjadi sebahagian daripada makna teks itu sendiri.
Bahasa yang digunakan pula lebih cair dan inklusif. Slanga digital seperti slay, no cap atau healing diserap ke dalam karya sebagai penanda solidariti generasi. Walaupun sering dianggap tidak formal, penggunaan bahasa ini mencerminkan usaha generasi Z mencipta identiti sastera mereka sendiri dan bebas daripada konvensi lama.
Kreativiti yang Didorong Algoritma
Berbeza dengan penulis tradisional yang menulis untuk pembaca tetap, penulis generasi Z menulis untuk algoritma. Mereka memahami konsep sosial search engine optimization (SEO), iaitu pemilihan kata kunci, waktu siaran dan struktur naratif yang mampu “menangkap” perhatian audiens dalam beberapa saat pertama.
Fenomena ini melahirkan karya yang lebih eksperimental tetapi berisiko menjadi terlalu bergantung pada trend semasa. Namun begitu, bagi generasi Z, penyesuaian ini dianggap sebagai strategi kelangsungan kreatif dalam ekosistem digital yang kompetitif.
Kolaborasi Digital
Ciri seperti duet dan stitch (merakam video bersama-sama dengan video asal secara paparan bersebelahan) dalam TikTok membuka ruang kolaborasi kreatif tanpa sempadan geografi. Puisi boleh disambung oleh orang lain, monolog boleh diberi respons visual, dan naratif boleh berkembang secara kolektif. Bentuk penulisan ini menandakan peralihan daripada konsep pengarang tunggal kepada penciptaan bersama (collective authorship).
Aktivisme Digital
Selain kreativiti, media sosial turut membentuk cara generasi Z menyuarakan aktivisme. Jika generasi terdahulu mengaitkan aktivisme dengan demonstrasi fizikal, generasi Z kini melihat media sosial sebagai medan utama perjuangan.
Kesedaran Isu Kemanusiaan
Remaja Malaysia amnya menunjukkan pelibatan yang tinggi dalam isu kemanusiaan global dan tempatan, termasuk isu Palestin, alam sekitar dan keadilan sosial. Tindakan seperti berminat, berkongsi atau memboikot jenama dianggap sebagai bentuk sokongan politik dan moral.
Fenomena consumer activism atau boikot berasaskan nilai membuktikan bahawa generasi Z melihat kuasa ekonomi sebagai alat perubahan. Keputusan pembelian tidak lagi neutral, sebaliknya sarat dengan makna etika.
Aktivisme Berasaskan Sentimen
Trend 2026 menunjukkan bahawa wacana awam belia semakin dipacu oleh emosi dan persepsi yang tersebar secara pantas melalui algoritma. Naratif yang menyentuh empati, kemarahan atau solidariti lebih mudah mendapat perhatian berbanding dengan hujah rasional yang panjang. Walaupun pendekatan ini berkesan dari segi jangkauan, namu tetap mengundang risiko penyederhanaan isu kompleks dan penyebaran maklumat separa benar.
Pempengaruh sebagai Pemangkin
Generasi Z kini juga lebih mudah mempercayai pempengaruh media sosial kerana menganggapnya sebagai individu yang tulen dan boleh dikaitkan dengan diri mereka. Pempengaruh bukan lagi sekadar selebriti, tetapi bertindak sebagai pendidik tidak rasmi dan pemimpin pendapat dalam sesuatu isu sosial. Kredibiliti pempengaruh sering dinilai melalui gabungan citra luaran seperti rupa paras dan fesyen, serta nilai dalaman yang dizahirkan melalui kejujuran, konsistensi pendirian, keberanian bersuara dan jumlah pengikut.
Cabaran Identiti dan Kawalan Digital
Di sebalik potensi besar media sosial sebagai ruang ekspresi dan pembentukan identiti, generasi Z turut berdepan dengan cabaran serius yang melibatkan tekanan psikologi, kawalan algoritma, serta batasan perundangan yang semakin ketat bagi membentuk semula sempadan identiti digital mereka.
Tekanan Imej Sempurna dan Kesihatan Mental
Budaya perbandingan berterusan dan keperluan mengekalkan imej dalam talian yang ideal boleh menjejaskan kesihatan mental. Kebimbangan, keletihan digital dan ketagihan media sosial menjadi isu yang semakin ketara dalam kalangan remaja.
Kawalan dan Perundangan Digital
Pengenalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang mengehadkan penggunaan media sosial bagi remaja bawah 16 tahun mulai Julai 2026 mencerminkan usaha negara melindungi golongan muda. Namun begitu, kawalan ini turut menimbulkan persoalan tentang kebebasan berekspresi dan akses kepada ruang kreatif digital.
Bentuk Karya yang Sinonim dengan Generasi Z
Secara umumnya, generasi Z lebih sinonim dengan karya yang bersifat ringkas, ekspresif dan segera. Mereka cenderung menghasilkan penulisan yang berfungsi sebagai respons pantas terhadap emosi, peristiwa semasa atau pengalaman peribadi.
Bentuk karya seperti puisi bebas pendek, catatan refleksi, monolog visual, serta esei mikro menjadi pilihan kerana selari dengan rentak kehidupan digital yang pantas. Bentuk karya generasi Z juga cenderung bersifat berpecah (fragmented) dan tidak linear, sebaliknya bergerak bebas mengikut emosi, visual dan aliran algoritma media sosial.
Hal ini bukan tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan usaha mereka mencari bentuk baharu untuk menyampaikan makna dalam ruang digital yang terhad. Dalam konteks ini, media sosial berperanan sebagai tapak uji kreativiti. Karya yang mendapat respons segera akan diolah semula, diperbaik atau dikembangkan. Proses ini menjadikan penulisan generasi Z lebih organik dan bersifat dialogik, serta sentiasa berubah mengikut maklum balas audiens.
Keupayaan Generasi Z Menjiwai Karya Sastera
Persoalan yang sering timbul adalah mengenai penerimaan generasi Z terhadap karya sastera. Hakikatnya, generasi Z memiliki kelebihan emosi dan kesedaran sosial yang tinggi, namun sering berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan ketekunan dan kesabaran terhadap proses kreatif yang bersifat jangka panjang.
Pada satu sisi, generasi Z memperlihatkan kepekaan tinggi terhadap isu identiti, ketidakadilan, trauma kolektif dan keresahan zaman, iaitu suatu kepekaan yang menjadi asas penting terhadap sastera yang bernilai. Keberanian mereka menulis tentang kegagalan, kesunyian, tekanan mental dan konflik dalaman menandakan peralihan daripada budaya diam kepada keterbukaan terhadap pengalaman manusiawi yang kompleks.
Namun begitu, pada sisi lain, budaya kepantasan dan kepuasan segera dalam media sosial boleh menjadi menghalang kepada penghayatan yang mendalam. Proses membaca teks yang panjang, meneliti lapisan makna dan mengasah gaya bahasa memerlukan disiplin yang sering bertentangan dengan logik algoritma.
Oleh itu, cabaran sebenar bukanlah kekurangan bakat atau sensitiviti, tetapi keupayaan untuk melambatkan diri, iaitu memberikan ruang kepada renungan, sunyi dan pembacaan yang mendalam. Jiwa sastera sememangnya wujud dalam kalangan generasi Z, tetapi perlu dipupuk agar tidak tenggelam dalam kebisingan digital.
Membentuk Generasi Z sebagai Penulis dan Sasterawan yang Mantap
Bagi melahirkan generasi Z sebagai penulis dan sasterawan yang sebenar dan berdaya tahan, pendekatan yang lebih inklusif dan kontekstual perlu diterapkan.
Yang pertama, dunia sastera tidak boleh menolak medium digital, sebaliknya harus memanfaatkannya sebagai pintu masuk. Media sosial boleh menjadi ruang awal eksperimen sebelum karya dikembangkan kepada bentuk yang lebih mantap.
Yang kedua, generasi Z perlu didedahkan kepada tradisi sastera secara berperingkat dan relevan. Pembacaan karya klasik dan kontemporari harus dihubungkan dengan isu semasa agar mereka melihat kesinambungan, bukan jurang, antara sastera lama dengan sastera baharu.
Yang ketiga, latihan penulisan perlu menekankan keseimbangan antara ekspresi spontan dengan disiplin teknikal. Generasi Z harus digalakkan untuk menulis secara konsisten, menyunting karya sendiri dan menerima kritikan yang membina, bukan sekadar mengejar keterlihatan (visibility).
Akhirnya, peranan institusi, majalah sastera dan editor penting untuk membimbing suara anak muda ini. Dengan bimbingan yang tepat, generasi Z berpotensi menjadi generasi penulis yang bukan sahaja mahir dalam teknologi, tetapi juga kaya pemikiran dan mendalam jiwa kemanusiaannya.
Secara keseluruhannya, media sosial bagi generasi Z bukan sekadar alat komunikasi, tetapi sebuah ekosistem yang membentuk jati diri, daya cipta dan kesedaran sosial secara serentak. Dalam ruang digital yang cair dan pantas ini, remaja Malaysia muncul sebagai pencipta kandungan yang kritis, eksperimental dan berani menanggapi isu semasa melalui bahasa, serta medium zaman mereka sendiri.
Namun begitu, kebebasan ini hadir bersama-sama dengan tanggungjawab. Di sebalik tekanan algoritma, tuntutan keterlihatan, serta kawalan perundangan yang semakin ketat, generasi Z berhadapan dengan keperluan untuk menyeimbangkan ekspresi segera dengan penghayatan mendalam. Di sinilah cabaran sebenar sastera generasi baharu. Bukan sekadar untuk didengar, tetapi untuk difahami dan diendapkan.
Bagi dunia kesusasteraan tanah air, kehadiran generasi Z tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman terhadap tradisi, sebaliknya sebagai peluang untuk menilai semula bentuk, bahasa dan ruang sastera itu sendiri. Jika dibimbing dan dirangkul dengan terbuka, generasi ini berpotensi melahirkan sastera yang bukan sahaja relevan dengan zamannya, tetapi juga kekal sebagai cermin nurani masyarakat.