Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 29 Mei 2026, 20:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berangkat merasmikan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada pukul 11.30 pagi sejurus penyempurnaan Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 di Pentas Utama.

Sebanyak empat judul buku terbitan DBP telah dilancarkan, iaitu Malaysia Madani: Perspektif Sosiobudaya yang ditulis oleh YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman, Salahuddin Ayub: Budak Suci di Lembah Siasah hasil tulisan YBrs. Dr. Muhaimin Sulam, Asraf: Raja Bahasa Tanpa Mahkota karya YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan, dan Abdullah Hassan: Demi Memandaikan Bangsa hasil nukilan YBrs. Profesor Dr. Salinah Ja’afar.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan tetamu kenamaan bergambar bersama-sama dengan penulis dan tokoh bahasa, YBhg. Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan.

Majlis pelancaran buku ini diadakan untuk memperkenalkan dan menyebarluaskan karya baharu DBP yang bermutu tinggi yang mengangkat pemikiran tentang kenegaraan, bahasa, budaya, perpaduan dan perjuangan tokoh negara dalam usaha membina negara bangsa.

Di samping itu, majlis ini juga bertujuan untuk menghargai sumbangan besar tokoh negara seperti mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam bidang sosiopolitik serta Allahyarham Asraf dan Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan dalam bidang pendidikan dan kebahasaan.

Semasa berkunjung ke reruai DBP, Perdana Menteri yang diiringi oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zamry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Wong; Pengerusi Pengelola PBAKL 2026, YBrs. Encik Mohd Khair Ngadiron; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dan tetamu kenamaan berkesempatan melawat pameran manuskrip dan buku nadir yang dipamerkan di reruai tersebut.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa meneliti manuskrip yang dipamerkan di reruai DBP.

 

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama-sama dengan tetamu kenamaan semasa berkunjung ke reruai DBP.

Keempat-empat buah buku yang dilancarkan dalam majlis ini boleh didapati di reruai DBP di WTCKL sepanjang berlangsungnya PBAKL 2026, kedai buku DBP, pelantar jualan secara dalam talian (DBPNiaga) dan kedai buku terpilih di Malaysia.

DBP mengalu-alukan orang ramai untuk mendapatkan karya ini sebagai tanda sokongan kepada usaha DBP dalam menerbitkan buku yang bermutu tinggi untuk bacaan dan rujukan masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi