Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kota Samarahan – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), siri penjelajahan Kembara MADANI Bahasa dan Sastera diteruskan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), hari ini, menerusi inisiatif pemasangan papan tanda pantun di kampus berkenaan.
Inisiatif yang mengintegrasikan elemen sastera dalam landskap kampus itu bertujuan menyemarakkan budaya ilmu, serta memupuk kecintaan terhadap warisan sastera tradisional dalam kalangan mahasiswa.

Pemasangan papan tanda yang memaparkan keindahan seni pantun Melayu itu secara tidak langsung menjadikan persekitaran akademik universiti sebagai wadah interaktif untuk mendekatkan generasi muda dengan identiti, serta nilai luhur bangsa.
Majlis simbolik pemasangan papan tanda tersebut disempurnakan bersama oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari dan Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) UNIMAS, YBrs. Dr. Dilah Tuah.

Sejurus selepas kelangsungan majlis perasmian tersebut, delegasi DBP turut dibawa melawat ke sekitar kawasan FPBK bagi meninjau perkembangan ekosistem akademik, serta prasarana pendidikan yang menyokong kelestarian pengajian bahasa dan komunikasi di universiti berkenaan.
Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, YBrs. Puan Norhasmanalinda Mustapa; serta Koordinator Pascasiswazah UNIMAS, YBrs. Dr. Vimala Govindaraju.