Diterbitkan pada 20 Jun 2026, 19:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Butterworth — Pasukan TV3 dinobatkan sebagai johan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026, sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penyertaan pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang berlangsung di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena, di sini, hari ini.

Pengumuman kemenangan tersebut dibuat pada majlis kemuncak HAWANA 2026 yang menghimpunkan pengamal media dari seluruh negara bagi meraikan sumbangan dan peranan mereka dalam memperkukuh ekosistem kewartawanan negara.

Pasukan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pula muncul sebagai naib johan dan membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Pasukan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Sebelum ini, pemenang tempat ketiga dan keempat Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 telah diumumkan pada pertandingan yang berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM1,000, manakala Berita Harian meraih tempat keempat dan menerima wang tunai RM500.

Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 dianjurkan hasil kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan BERNAMA dalam usaha memartabatkan warisan budaya bangsa, serta memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pengamal media.

Pasukan TV3 bergambar bersama-sama dengan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar, Pengarah DBP Wilayah Utara, YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus.
Pasukan BERNAMA bergambar bersama-sama dengan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar, Pengarah DBP Wilayah Utara, YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus.

Pertandingan tersebut menyaksikan penyertaan lapan pasukan yang mewakili agensi media dan institusi berkaitan dengannya, iaitu BERNAMA, RTM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Astro Awani, Berita Harian, TV3, Sinar Harian dan Media Selangor.

Penganjuran program itu membuktikan bahawa pengamal media bukan sahaja berperanan sebagai penyampai maklumat, malah turut menjadi pendukung kelestarian bahasa, sastera dan budaya kebangsaan.

Tema HAWANA 2026, “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” menekankan kepentingan penyampaian maklumat secara jujur, tepat dan bertanggungjawab bagi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap industri media.

Selain itu, pertandingan tersebut menjadi wahana yang berkesan untuk mengangkat keindahan bahasa Melayu dalam suasana santai dan kompetitif, sekali gus mendekatkan pengamal media dengan khazanah sastera lisan tempatan.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi