Diterbitkan pada 20 Jun 2026, 20:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Butterworth – “Pengamal media perlu terus memainkan peranan sebagai penyampai maklumat yang beretika dan berintegriti dalam mendepani cabaran era digital, serta kecerdasan buatan (AI),” ujar Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kebebasan media perlu sentiasa diseimbangkan dengan tanggungjawab, nilai dan etika bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah benar, tepat dan dapat memperkukuh sistem demokrasi negara.

Berucap ketika merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena, di sini, hari ini, beliau berkata perbahasan mengenai kebebasan media dan penyampaian maklumat bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah dibincangkan sejak zaman Yunani purba, termasuk melalui perbicaraan ahli falsafah Socrates.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena.

Menurut beliau, isu kebebasan sentiasa berkait rapat dengan hak individu, keselamatan negara, serta cara maklumat disampaikan kepada rakyat sehingga mempengaruhi sesuatu keputusan.

“Dalam kerangka Malaysia MADANI, saya sentiasa menegaskan bahawa walaupun negara memberikan tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, pendigitalan, peralihan tenaga dan AI, aspek nilai dan etika tidak boleh diketepikan,” katanya.

Beliau berkata, nilai dan etika menjadi penentu sama ada sesuatu maklumat itu sahih atau palsu, benar atau batil, serta membawa kebaikan atau sebaliknya.

Sehubungan dengan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh pengamal media yang terus melaksanakan tanggungjawab menyampaikan maklumat kepada masyarakat dalam persekitaran yang semakin mencabar.

Pada majlis tersebut, YAB Dato’ Seri Anwar turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Tabung Kasih HAWANA 2026 bagi meneruskan bantuan kebajikan kepada pengamal media.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 773 orang pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada tabung berkenaan dengan jumlah bantuan keseluruhan sebanyak RM2.26 juta.

Selain itu, kerajaan bersetuju untuk meneruskan Dana Inovasi Media yang diperkenalkan tahun lalu bagi membantu organisasi media melaksanakan inovasi dan transformasi digital.

Menurut beliau, sebanyak 72 buah syarikat media telah menerima pembiayaan berjumlah RM24.57 juta menerusi Dana Inovasi Media bagi fasa satu hingga fasa lima.

“Kerajaan akan terus memastikan dana ini disediakan bagi membantu organisasi media memperkukuh operasi, serta menyesuaikan diri dengan perubahan landskap industri media yang semakin mencabar,” katanya.

Majlis kemuncak dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow dan Pengerusi BERNAMA, YBhg. Datuk Seri Wong Chun Wai.

Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Anwar turut menyentuh agenda reformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan dan menegaskan bahawa perubahan perlu dilakukan secara berperingkat, serta berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata, usaha membanteras rasuah dan memperkukuh tadbir urus tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa menghormati proses perundangan, serta hak setiap individu.

Perdana Menteri turut mengimbas beberapa peristiwa sejarah dunia, termasuk Revolusi Perancis dan perubahan politik di Eropah Timur bagi menunjukkan bahawa perubahan yang tidak diurus dengan baik berpotensi menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, pengalaman negara berkenaan membuktikan bahawa slogan reformasi semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disertai dengan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Bagi saya, keutamaan ialah pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Kita perlu belajar daripada pengalaman lalu supaya perubahan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, YAB Dato’ Seri Anwar turut berkongsi hasil lawatan kerja beliau ke Rusia dan Turkmenistan yang disifatkan membawa perkembangan positif kepada sektor tenaga negara.

Beliau berkata, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah menyatakan persetujuan untuk mewujudkan perjanjian jangka masa panjang bagi menjamin bekalan tenaga kepada Malaysia.

Selain itu, Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow turut menyatakan persetujuan negara itu untuk menyerahkan pengurusan beberapa telaga gas utama kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Menurut beliau, perkembangan tersebut merupakan pencapaian penting yang mampu menjamin bekalan tenaga jangka masa panjang negara, serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri tenaga global.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi