Diterbitkan pada 22 Jun 2026, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada hari ini, genaplah usia penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ke-70 tahun. Dalam konteks insan, usia yang dipanjangkan oleh Tuhan selama 70 tahun bukan satu angka yang singkat atau dengan erti kata lain, bukan usia yang muda. Begitulah kewujudan DBP yang telah matang dalam mendepani pelbagai cabaran, rintangan dan dugaan yang dilalui sepanjang tempoh tersebut.

Bagi tempoh lima tahun akan datang, DBP akan meraikan Sambutan Jubli Intan apabila menginjak usia 75 tahun penubuhannya kelak. Pada awal penubuhannya, DBP berfungsi berdasarkan sumber kuasa daripada dua aktanya, selain Perlembagaan Persekutuan. Dua akta yang dimaksudkan ialah Akta 213 (Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, 1959 (Disemak 1978) dan Akta A930 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sebagai institusi yang menjadi tonggak kepada nadi pembinaan, pengembangan dan penerbitan bahasa Melayu, DBP telah melalui pelbagai episod suka dan duka yang kadangkala turut menggugat kesabaran warganya. Namun begitu, DBP kekal menjadi institusi bahasa terunggul biarpun dicabar dari segi emosi akibat sesetengah rakyat yang tidak mengendahkan penggunaan bahasa kebangsaan.Setiap nakhoda yang pernah mengemudi DBP juga tidak terlepas daripada rintangan yang mendatang sejak penubuhannya selama tujuh dekad. Biarpun cabaran tersebut hadir dengan isu yang berbeza, DBP terus menongkah arus dan setiap masalah yang dihadapi dapat ditangani dengan sebaik-baiknya berkat keazaman dan iltizam tinggi oleh warganya.

Biarpun diasak dengan pelbagai cabaran, DBP telah melaksanakan kesemua fungsinya hingga hari ini dengan sebaik-baiknya. Tidak dinafikan, masih terdapat sebilangan masyarakat yang masih kurang faham tentang fungsi sebenar DBP. Mereka menganggap DBP sebagai “polis bahasa” yang boleh melakukan apa-apa sahaja dengan menghukum pihak yang tidak menghormati bahasa Melayu. Perlu diingatkan bahawa, sejak kewujudannya DBP tidak mempunyai fungsi dalam aspek penguatkuasaan undang-undang untuk mendakwa kesalahan bahasa masyarakat, tetapi menjalankan fungsi pemantauan dan teguran secara konsisten melalui Bahagian Penguatkuasaan yang merupakan antara Bahagian yang menjalankan satu daripada fungsi DBP. Susulan itu, sambutan masyarakat pelbagai kaum dilihat semakin memberangsangkan khususnya dalam aspek pembentukan laras bahasa disebabkan mereka menjadikan bahagian ini sebagai rujukan dalam membetulkan penggunaan bahasa yang baik dan betul pada papan tanda atau iklan.

Sejak kewujudan DBP, segelintir pakar bahasa pernah membangkitkan isu bahawa DBP sudah kehilangan taringnya. Apakah kayu ukur yang dipakai untuk mewajarkan kritikan tersebut? Sebenarnya, DBP tidak pernah kehilangan taringnya. Sehingga kini, jenama DBP terus unggul sebagai badan penerbitan yang dipercayai, lebih-lebih lagi ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur saban tahun, DBP antara institusi yang meraih jualan tertinggi menerusi produk penerbitannya. DBP telah berjaya melonjakkan dirinya setaraf dengan badan penerbitan lain, yakni “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah” terutamanya dalam bidang penerbitan buku dan majalah serta bahan interaktif digital. Malah DBP turut beradaptasi dengan teknologi terkini seiring dengan peredaran zaman. Kemunculan pelantar digital seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Portal Kamus Dewan Perdana dan JendelaDBP kini turut diakses oleh berjuta-juta pelawat dari pelbagai negara.

Suatu ketika dahulu, Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang mengibaratkan DBP sebagai “Nama dari Suatu sejarah” dan “Api dari Suatu Zaman”. Sejarah itulah yang membuktikan kewujudannya selama 70 tahun ini, iaitu bermula pada 22 Jun 1956 apabila Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Bukit Timbalan Johor Bahru meluluskan resolusi penubuhan DBP. Selama 70 tahun itu jugalah nama yang bersejarah itu telah menyala sebagai “Api dari Suatu Zaman”, sekali gus menjadi obor perjuangan mendaulatkan bahasa dan sastera di negara kita.

Bagi segenap lapisan masyarakat di negara ini, DBP dikaitkan dengan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Namun begitu, masih ada yang tidak memahami fungsi utama DBP. Dalam konteks pemikiran sempit, terdapat andaian segelintir pihak melihat DBP hanya sebagai penerbit dan pembekal buku teks di sekolah kerajaan. Pandangan ini amat tidak wajar memandangkan DBP berfungsi melebihi daripada apa-apa yang dijangkakan. DBP perlu dinilai dengan pandangan positif daripada pelbagai dimensi terutamanya dari segi sejarah, budaya, sosial dan politik yang turut menjadi identiti DBP dan negara.

Sejak melewati era digital, seperti institusi kerajaan yang lain, DBP tidak terlepas daripada pandangan negatif segelintir pihak sehingga ada yang menganggap kewujudannya sudah tidak relevan. Walau bagaimanapun, sebagai warga DBP perkara yang diperkatakan itu wajar dijadikan sebagai panduan dan cabaran untuk DBP terus kekal bertahan untuk seribu tahun akan datang.

Sejujurnya, memang perlu diakui bahawa tanggapan pelbagai pihak terhadap DBP merupakan ragam daripada pelbagai pihak yang akan sentiasa berlaku dari semasa ke semasa. Persoalannya, laut manakah yang tidak pernah bergelora? Dalam kehidupan, kita tidak boleh menggarapkan pujian semata-mata daripada orang ramai. Kritikan yang dilemparkan sama ada positif atau negatif dilalui dengan berlapang dada, namun perlu disusuli dengan tindakan yang pantas dan berkesan. Hal ini merupakan lumrah kehidupan yang tidak boleh dikesampingkan.

Dalam konteks semasa, kewujudan DBP selama 70 tahun ini sewajarnya dinilai dan secara adil. Setelah berusia lebih setengah abad, tentunya pelbagai kejayaan sudah dicapai oleh DBP. Akan tetapi, disebabkan harapan yang diletakkan terhadap agensi ini melebihi jangkauan, sudah tentu pelbagai kejayaan yang dicapainya sepanjang 70 tahun kewujudannya dianggap masih belum mencukupi. Inilah cabaran terbesar yang terletak di pundak warga DBP pada era digital ini. Oleh hal yang demikian, setiap pihak perlu bermuhasabah dan melihat segala permasalahan yang berlaku secara jujur dan konsisten demi mencapai matlamat yang diharapkan pada masa akan datang.

Menyedari hakikat ini, muhasabah itu perlu bermula dalam kalangan warga DBP sendiri, selain perubahan bersasar pada peringkat organisasi. Pada masa yang sama, masyarakat pula tidak wajar berterusan terutamanya pelayar media sosial dengan sewenang-wenangnya menempelak DBP secara membuta tuli kerana mereka juga perlu menilai DBP secara adil dan saksama agar hasil yang diperoleh kelak menjadikan DBP terus relevan mengikut kehendak negara dan peredaran zaman. Sesungguhnya, muhasabah dari dalam oleh kakitangan DBP, khususnya dalam menilai pencapaian diri terutamanya sumbangan masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab kepada organisasi amatlah dituntut. Setiap warga DBP dituntut mengamalkan budaya kerja yang ikhlas, jujur dan cekap demi memperkukuh integriti diri dan organisasi sejajar dengan hasrat kerajaan yang menekankan soal integriti dalam sektor awam agar sistem penyampaian yang dijanjikan meraih kejayaan yang memberangsangkan dan cemerlang.

Tidak dinafikan bahawa DBP memiliki kakitangan yang sentiasa mengutamakan kualiti kerja, kualiti perkhidmatan dan kualiti produk yang masing-masing yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Namun begitu, setiap kakitangan DBP perlu melakukan muhasabah dan kemajuan diri kerana kita memikul amanah berat daripada rakyat dan kerajaan. DBP bukan sebuah nama yang calang-calang. Oleh sebab itu, kepada siapakah lagi yang kita perlu berharap untuk menjulang bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi?

Selain itu, DBP juga perlu menilai kembali kekuatan, kelemahan, peluang dan persaingan pada masa ini dan akan datang dalam usaha mengatasi pelbagai masalah demi peningkatan keberkesanan dan produktiviti kerjanya. DBP perlu melakukan tindakan ini kerana dalam usianya yang sudah mencecah 70 tahun, DBP berada dalam situasi berbeza, berbanding dengan awal kewujudannya dan setiap dekad yang dilaluinya. Kini, zaman aman telah berubah dan masyarakat berhadapan dengan realiti yang berbeza. Sehubungan dengan itu, persepsi dan pandangan masyarakat terhadap DBP wajar diamati dan disedari walau terdapat kritikan yang kurang menyenangkan. Inilah antara realiti yang patut disedari oleh warganya seiring dengan peredaran zaman.

Menerusi kesedaran tersebut, diyakini DBP mampu menyusun strategi dengan lebih berkesan dan bijaksana dengan mengubah strategi berbekalkan pendekatan baharu, tetapi matlamat dan prinsip sejak awal penubuhannya tidak boleh dikompromikan. Selain itu, kewujudan DBP perlu dilihat secara lebih kreatif dan inovatif oleh masyarakat umum. Kewujudan DBP mestilah disusuli dengan mengambil kira peranannya bukan sebagai badan kerajaan semata-mata, tetapi sebagai badan perjuangan utama negara bangsa, agama dan gedung ilmu.

DBP juga tidak boleh disamakan dengan badan kerajaan yang lain kerana DBP lahir atas dasar sebagai badan perjuangan yang diwujudkan semasa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga di Johor Bahru pada tahun 1956, sebagai kemuncak perjuangan pada waktu itu. DBP juga sebagai badan perjuangan turut menuntut pelbagai perkara yang berkaitan dengan pengisian dalam usaha mencapai sebuah negara bangsa dan diwujudkan mengikuti acuan kita. DBP juga tidak hanya berfungsi sebagai badan ilmu yang berkaitan dengan kebahasaan dan kesusasteraan semata-mata, kerana secara tidak langsung DBP turut mengutamakan ilmu utama yang lain dalam soal hasil penerbitannya.

Demikianlah sepanjang kewujudannya, DBP telah membuktikan kemampuannya dan berada dalam kelasnya yang tersendiri biarpun diasak dari pelbagai sudut. Masyarakat tidak boleh melupakan pelbagai jasa dan bakti yang telah disumbangkan DBP terutamanya dalam pelbagai lapangan bidang khususnya pendidikan. Nostalgia selama tujuh dekad itu perlu sebagai panduan, namun jangan biarkan diri warganya terus bernostalgia tanpa bertindak dengan lebih cekap kerana DBP kini perlu bergerak pantas selaras dengan peredaran zaman.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi