Diterbitkan pada 17 Jun 2026, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah pada 622 Masihi bukan sekadar kisah perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Peristiwa ini merupakan sebuah catatan sejarah yang mengubah ketamadunan manusia, khususnya umat Islam. Peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW menyentuh sebuah kisah tentang keberanian, pengorbanan, kebijaksanaan kepimpinan dan yang paling utama ialah, pembinaan sebuah masyarakat yang berpaksikan iman, keadilan dan kemanusiaan sejati.

Peristiwa Hijrah menjadi titik perubahan besar dalam sejarah ketamadunan Islam yang menandakan satu peralihan daripada fasa tekanan dan penindasan di Mekah kepada fasa pembinaan masyarakat yang lebih teratur di Madinah. Umat Islam yang terdahulu hidup dalam ancaman akhirnya memiliki ruang untuk mengembangkan dakwah, mengatur kehidupan sosial dan membina sebuah komuniti yang mempunyai tujuan dan nilai kebersamaan.

Dalam konteks Malaysia pada hari ini, peristiwa hijrah membawa naratif yang jauh lebih besar daripada sekadar catatan sejarah ketamadunan Islam. Hijrah merupakan sebuah manifestasi keberanian yang tuntas, pengorbanan yang tidak berbelah bahagi, kebijaksanaan kepimpinan dan yang paling utama ialah asas pembinaan sebuah masyarakat MADANI yang dipasak dengan nilai iman, keadilan sosial dan sifat manusiawi.

Implikasi Hijrah terhadap Sejarah Ketamadunan

Peristiwa Hijrah mempunyai makna yang signifikan dalam sejarah ketamadunan Islam. kerana bukan sekadar merakamkan perjalanan Rasulullah SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah, tetapi memperlihatkan gambaran sebuah umat yang kecil, tertindas dan diuji akhirnya menjadi masyarakat yang kuat, tersusun dan berprinsip.

Antara implikasi utama adalah seperti yang berikut:

1. Membuka Lembaran Baharu dalam Perkembangan Islam

Peristiwa Hijrah mewujudkan rangka kerja sosial dan politik yang lebih terbuka dan tersusun, menekankan keadilan, kebajikan masyarakat, dan akauntabiliti moral. Umat Islam dapat membina kehidupan beragama dengan lebih aman, mengukuhkan hubungan sesama masyarakat dan menyusun penyebaran dakwah secara lebih berkesan.

2. Memperkukuh Kepimpinan Rasulullah SAW

Hijrah turut memperlihatkan kebijaksanaan Rasulullah SAW sebagai pemimpin yang bijak dan berpandangan jauh. Kepimpinan Baginda di Madinah menjadi contoh bahawa pemimpin yang benar-benar berwibawa ialah pemimpin yang memimpin rakyatnya kepada keadilan, keamanan dan kesejahteraan.

3. Pemantapan Jati Diri Muslim

Golongan Muhajirin sanggup meninggalkan tanah air, keluarga dan harta mereka demi mempertahankan iman. Pengorbanan ini bukan kecil nilainya. Ia membuktikan bahawa keimanan yang sejati menuntut kesediaan untuk berkorban, bukan sekadar diucapkan dengan lisan. Dari sinilah lahirnya umat yang memiliki prinsip, keberanian dan daya tahan yang tinggi.

4. Pengukuhan Perpaduan dan Persaudaraan Ummah

Penyatuan antara golongan Muhajirin dan Ansar melangkaui batas keturunan dan kepentingan peribadi.  Ikatan persaudaraan ini bukan sekadar bersifat simbolik, tetapi diterjemahkan melalui bantuan, perlindungan, sokongan, kasih sayang dan pengorbanan yang nyata. Inilah asas perpaduan ummah yang sangat indah untuk direnungi.

5. Meletakkan Asas Pembinaan Negara Islam di Madinah

Hijrah menjadi titik penting kepada pembentukan sebuah masyarakat bertamadun yang berpandukan nilai Islam. Di Madinah, Rasulullah SAW membina kehidupan masyarakat yang berasaskan keadilan, amanah, disiplin sosial dan tanggungjawab bersama.

Membina Kerangka Kehidupan Masyarakat Majmuk

Madinah dihuni oleh masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang. Menyedari hakikat tersebut, Rasulullah SAW membina pendekatan hidup bersama yang berasaskan keadilan, perjanjian dan tanggungjawab bersama. Hal ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan keharmonian serta menghargai kepentingan hidup secara harmoni dalam kepelbagaian masyarakat.

Perancangan Rasulullah SAW sangat teliti, yakni memilih sahabat yang dipercayai, menentukan masa yang sesuai dan mengambil laluan yang strategik. Namun begitu, dalam setiap perancangan itu, baginda tetap meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT. Inilah pengajaran besar bahawa usaha yang bersungguh-sungguh perlu disertai dengan keyakinan kepada pertolongan Ilahi.

Kepimpinan Rasulullah SAW sebagai Model Sepanjang Zaman

Kejayaan peristiwa Hijrah menyerlahkan sisi Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pemimpin bijaksana dan berpandangan jauh yang tiada tolok bandingnya. Setiap inci perancangan dan pergerakannya dirancang dengan rapi dan berstrategi. pemimpin Kepimpinan baginda yang pelbagai aspek ini memainkan peranan penting dalam pengembangan dan pemantapan negara Islam. Antara perancangan rapi Baginda adalah:

  • Membina Pakatan: Baginda menghantar wakil ke Madinah untuk membina Pakatan dan persefahaman dengan golongan Ansar bagi memastikan wujudnya asas penerimaan yang kukuh.
  • Pemilihan Sahabat: Baginda tidak bergerak bersendirian, sebaliknya memilih sahabat paling setia dan dipercayai iaitu Abu Bakar as-Siddiq, sebagai teman seperjalanan.
  • Taktikal dan Navigasi: Membuat perancangan rapi dari sudut pergerakan dan laluan untuk mengelirukan pasukan pemburu Quraisy.

Refleksi kepada Masyarakat Majmuk

Nilai perpaduan yang mekar dalam sejarah Madinah membawa mesej kemanusiaan yang amat dekat dengan realiti masyarakat pelbagai budaya di Malaysia kini. Kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam menyatupadukan pelbagai kaum dan agama membuktikan bahawa perbezaan bukanlah satu kelemahan, sebaliknya merupakan satu rahmat yang besar buat negara jika ditunjangi oleh prinsip yang adil dan saksama.

Dalam mendepani landskap Malaysia yang memiliki kepelbagaian etnik, bangsa dan agama. Umat Islam sewajarnya tampil sebagai penggerak utama dalam menyuburkan nilai-nilai ihsan, toleransi, rahmah dan kasih sayang. Selari dengan tuntutan agama Islam yang mengutamakan kedamaian dan keharmonian sejagat. Pada hakikatnya, tanpa perpaduan dan keharmonian, kestabilan negara pasti akan sukar dicapai.

Hijrah yang Berterusan

Peristiwa Hijrah menitipkan satu falsafah kehidupan yang sangat indah kerana mengajar umat Islam tentang keberanian, kesabaran, pengorbanan, strategi, tawakal dan kepentingan membina masyarakat yang bersatu. Dalam konteks negara ini yang terdiri daripada berbilang kaum ini, semangat hijrah perlu diterjemahkan melalui usaha memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian serta membina masyarakat sosial yang adil dan berakhlak. Uamt Islam perlu menjadi contoh dalam menyuburkan kedamaian dan menolak kebencian.

Perubahan tidak akan berlaku tanpa keberanian untuk keluar dari zon selesa dalam usaha untuk memperbaik diri. Setiap kemajuan yang ingin dikecap memerlukan pengorbanan dan masyarakat juga perlu membuang sikap mementingkan diri dan menjadi individu yang lebih bertanggungjawab.

Dalam pada kita berusaha untuk memajukan bangsa dan negara, kita seharusnya memastikan paksi pergantungan kita tetap teguh kepada Allah SWT disebabkan pada akhirnya, segala yang berlaku pastinya terjadi dengan pertolongan dan izin-Nya.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi