Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan institusi yang bertanggungjawab membangunkan, mempromosikan dan memelihara bahasa serta kesusasteraan Melayu di Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 1956, DBP memainkan peranan penting dalam memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Sepanjang tujuh dekad penubuhannya, DBP telah berkembang daripada sebuah agensi perancangan bahasa kepada institusi terulung dalam pembangunan bahasa, kesusasteraan dan budaya intelektual negara.

Pada peringkat awal, DBP menumpukan usaha kepada penyeragaman tatabahasa, ejaan dan istilah bahasa Melayu, di samping menerbitkan kamus, buku teks, buku rujukan dan pelbagai bahan pendidikan bagi menyokong sistem pendidikan negara pascakemerdekaan. Seiring dengan pembangunan negara, peranannya turut berkembang sebagai penerbit dan penggerak utama kesusasteraan Melayu melalui penerbitan karya kreatif dan ilmiah, penganjuran pelbagai program bahasa dan kesusasteraan Melayu, serta pembinaan generasi penulis.
Pada masa yang sama, masyarakat juga berharap DBP terus memperkukuh budaya membaca, khususnya dalam kalangan generasi muda. Melahirkan penulis yang berbakat sahaja tidak memadai tanpa wujudnya masyarakat yang menghargai karya dan penulisan dalam bahasa Melayu. Oleh itu, usaha memperluas program galakan membaca, memperkenalkan karya sastera kepada khalayak yang lebih luas, serta memanfaatkan platform digital bagi mendekatkan masyarakat dengan buku wajar terus diperkasakan. Sastera yang hidup bukan hanya diukur melalui jumlah karya yang diterbitkan, tetapi juga melalui sejauh mana karya tersebut dibaca, dibincangkan dan memberi kesan kepada pemikiran masyarakat.
DBP juga memperkukuh penyelidikan dalam bidang linguistik, leksikografi dan terminologi bagi memastikan bahasa Melayu terus berfungsi sebagai bahasa ilmu dalam pelbagai bidang, termasuk sains, teknologi, undang-undang dan pendidikan tinggi. Misalnya, baru-baru ini, DBP menawarkan dana penyelidikan berjumlah RM350,000. Dana ini meliputi pelbagai bidang tumpuan, antaranya bahasa dan sastera Melayu yang menekankan usaha memperkaya warisan intelektual serta memperkukuh dasar bahasa; sains, perubatan dan Alam Melayu bagi menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam penulisan saintifik; pengurusan dan pemasaran untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam sektor ekonomi; serta media baharu dan komunikasi yang memberi tumpuan kepada penyelidikan berimpak tinggi selaras dengan perkembangan teknologi digital masa kini. Pada era digital, DBP terus menyesuaikan peranannya melalui pendigitalan penerbitan, peluasan sumber bahasa dalam talian, serta pemanfaatan platform digital agar bahasa Melayu kekal relevan, dinamik, dan mampu memenuhi keperluan abad ke-21.
Tujuh puluh tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat. Dalam jangka masa itu, sebuah institusi menyaksikan beberapa generasi lahir, membesar dan pergi. Demikian juga halnya dengan DBP. Selama tujuh dekad, institusi ini bukan sekadar menjadi badan yang mengurus hal ehwal bahasa, malah menjadi benteng yang mempertahankan martabat bahasa Melayu, menyuburkan dunia persuratan dan memperkukuh identiti bangsa. Andai hari ini masyarakat dapat membaca dan menikmati ribuan judul buku ilmiah dan kreatif dalam bahasa Melayu, menggunakan istilah yang seragam dalam pelbagai bidang ilmu, serta menyaksikan lahirnya Sasterawan Negara dan penulis muda yang terus berkarya, semua itu tidak terpisah daripada sumbangan besar DBP. Peranan tersebut sering kali tidak disedari kerana hasilnya telah sebati dalam kehidupan masyarakat.
Ulang tahun ke-70 DBP bukan sekadar medan untuk mengenang jasa lalu, tetapi titik mula untuk menentukan arah masa depan bahasa dan sastera Melayu. Cabaran yang mendatang jauh berbeza daripada tujuh dekad lalu, namun matlamatnya tetap sama, iaitu memastikan bahasa Melayu terus menjadi bahasa ilmu, bahasa budaya, bahasa perpaduan dan bahasa yang membina tamadun. DBP telah menyediakan asas yang kukuh. Kini, harapan masyarakat ialah agar institusi ini terus memimpin pembaharuan, sementara seluruh rakyat berganding bahu mempertahankan bahasa dan sastera sebagai warisan yang hidup. Selagi bahasa Melayu terus diyakini dan sastera terus dihargai, selagi itulah perjuangan yang dimulakan tujuh puluh tahun lalu akan terus berdenyut dalam jiwa bangsa.
Prof Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan TeknologiUniversiti Teknologi Malaysia.