Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Sebanyak 80 orang mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Program Mahasiswa Negara (PMN)@USM 2026 Siri 1 yang berlangsung pada 20 hingga 21 Jun 2026 di Dewan Utama Desasiswa, Kompleks Restu.
Pelaksanaan program ini bertujuan untuk memperkukuh jati diri, semangat patriotisme, kepimpinan serta nilai perpaduan dalam kalangan mahasiswa selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda pembangunan modal insan negara.
Program anjuran Majlis Penggawa dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berfikiran kritis, berkepimpinan tinggi dan mampu menjadi agen perubahan dalam masyarakat.
Bagi memupuk ukhuwah dalam kalangan peserta, program dimulakan dengan sesi suai kenal dan pembahagian kumpulan yang terdiri daripada peserta pelbagai negeri, kaum dan bidang pengajian dalam suasana pembelajaran yang kondusif.
Sepanjang dua hari program berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai modul berimpak tinggi. Satu daripadanya ialah Modul Bicara Malaysia MADANI yang membincangkan peranan generasi muda dalam mendepani cabaran semasa dengan berteraskan nilai kemampanan, integriti dan tanggungjawab sosial.

Seterusnya, peserta berpeluang menyertai Sembang Santai Pengurusan Universiti: Sesi Interaktif Bersama-sama dengan Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar (PPP) USM, YBrs .Prof. Dr. Azizah Omar. Sesi ini mengupas pelbagai isu berkaitan dengan pembangunan sahsiah, kebajikan dan peluang memperkasakan potensi diri.
Selain itu, peserta didedahkan dengan Modul Interaktif Kenegaraan untuk menguji kefahaman mahasiswa terhadap sejarah negara, perlembagaan persekutuan dan prinsip rukun negara demi memelihara keharmonian kaum.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dato’ Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa keseimbangan antara kecemerlangan akademik dengan kemahiran insaniah, semangat kenegaraan dan nilai kepimpinan adalah sangat penting bagi melahirkan graduan yang berwibawa.

Majlis ini turut menyaksikan dua orang peserta dinobatkan sebagai penerima anugerah khas, iaitu Muhammad Nazarul Alif Sabri(Peserta Lelaki Terbaik) dan Adlina Syakirah Mohd Zuki(Peserta Perempuan Terbaik).
Menurut Penggawa Desasiswa Restu, Dr. Lim Chee Ann, program ini menjadi platform penting untuk melahirkan graduan yang holistik, berkepimpinan serta berupaya menyumbang kepada penyelesaian isu masyarakat.
“Universiti bukan sahaja melahirkan graduan yang cemerlang dalam bidang akademik, malah individu yang mampu memimpin, bekerjasama dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara. Program ini juga menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan potensi diri secara menyeluruh,” katanya.