Diterbitkan pada 29 Jun 2026, 09:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan berkompromi dan bakal mengambil tindakan penyingkiran ke atas enam orang pelajar Tingkatan 5 di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor sekiranya mereka terbukti bersalah membuli seorang pelajar junior.

Pengerusi MARA, YBhg. Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa kesal dan kecewa berikutan kejadian tersebut, yang hanya terbongkar selepas ibu bapa mangsa memuat naik satu hantaran mendedahkan perkara itu dalam media sosial.

Menurut beliau, mangsa dilaporkan telah memohon untuk berhenti daripada meneruskan pengajian di MRSM berkenaan berikutan tidak lagi mampu menanggung penderitaan akibat dibuli.

Susulan pendedahan itu, ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis dan kesemua enam orang suspek telah ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

Bertindak tegas atas insiden tersebut, YBhg. Dr. Asyraf Wajdi mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA dan pihak pentadbiran maktab berkenaan untuk mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) secara serta-merta dalam tempoh 24 jam.

“Walau apa-apa juga alasan yang diberikan, perbuatan membuli atau mengambil tindakan sendiri atas alasan mahu ‘mendisiplinkan’ pelajar junior sama sekali tidak boleh diterima dan tidak akan dikompromi.”

“Saya ingin mengulangi pendirian yang telah berkali-kali saya tegaskan kepada seluruh warga MRSM, iaitu ‘You Touch, You Go‘. Sesiapa yang terbukti melakukan perbuatan buli, tiada lagi tempat untuk mereka di MRSM,” tegas beliau menerusi satu kenyataan dalam laman media sosial rasmi miliknya.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru seluruh pelajar MRSM agar tidak gentar untuk melaporkan sebarang insiden jenayah buli kepada guru, warden mahupun pihak pentadbiran, berbanding dengan memilih jalan untuk keluar daripada institusi pendidikan tersebut.

Beliau juga menitipkan amaran keras kepada pihak pengurusan dan warga maktab bahawa MARA sama sekali tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba menyembunyikan atau melindungi insiden jenayah tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi