Diterbitkan pada 16 Mac 2021, 13:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pesakit kegagalan fungsi buah pinggang di Malaysia dijangka mencecah 106 ribu orang menjelang tahun 2040. Menurut kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Dr. Noor Hisham Abdullah, sebanyak 30 peratus daripada jumlah itu merupakan golongan muda berusia bawah 45 tahun. Hal ini sudah pasti akan mendatangkan impak negatif kepada sosioekonomi negara.

“Sebahagian besar pesakit buah pinggang dikesan ketika buah pinggang mereka 90 peratus rosak” – Noor Hisham.

“Hingga hari ini terdapat kira-kira 40 ribu orang pesakit kegagalan fungsi buah pinggang yang sedang mendapatkan rawatan dialisis di seluruh negara. Kajian mendapati bahawa kira-kira 8000 orang pesakit baharu disahkan pada tahun 2018 dan trend ini meningkat pada saban tahun. Jika hal ini berterusan, maka jumlah pesakit yang perlu dialisis akan mencecah 106 ribu pada tahun 2040,” katanya ketika merasmikan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 secara maya, pada 13 Mac 2021.

Sementara itu, sebanyak 61 peratus pesakit baharu yang memerlukan rawatan dialisis menghidap diabetes. Enam belas peratus pula menghidap tekanan darah tinggi yang berpunca daripada tabiat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

Oleh itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggiatkan kempen penjagaan buah pinggang oleh Perkhidmatan Nefrologi KKM, Persatuan Nefrologi Malaysia dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah saringan ujian berkala penyakit buah pinggang dan penglibatan orang awam sebagai Duta Ginjal.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi