28 Mei 2021, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Isu berkaitan dengan vaksin pada hari ini mendapat perhatian banyak pihak. Pelbagai maklumat tersebar menerusi media sosial sehingga kadangkala tidak diketahui sumbernya, sama ada benar atau tidak, sahih atau rekaan. Hal ini sedikit banyak mencetuskan kegusaran dalam kalangan penerima vaksin apatah lagi perkara ini merupakan antara norma baharu dan kebiasaan baharu dalam masyarakat.

Bagi memberikan gambaran dan keadaan sebenar serta apa-apa yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas menerima vaksin, mari kita ikuti pengalaman yang dikongsikan oleh Dr. Sofia Hayati Yusoff, yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau yang baru sahaja mendapatkan dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini bersama-sama enam orang ahli keluarganya mengakui bukan satu keputusan yang mudah untuk berbuat demikian. Apatah lagi sejak belakangan ini bertebaran berita mengenai impak negatif vaksin bagi orang yang telah menerimanya. Tegasnya, ilmu yang benar dan persediaan perlu dititikberatkan sebelum menerima vaksin.

Perkara paling utama sebelum melangkah ke PPV adalah bersedia dari segi mental dan fizikal. Persediaan mental dilakukan dengan membaca artikel berkaitan dengan vaksin COVID-19 menerusi jurnal perubatan terutamanya mengenai vaksin yang bakal diterima, iaitu AstraZeneca. Tanamkan keyakinan dalam diri bahawa apa-apa yang bakal dilakukan ini merupakan satu keperluan terdesak dan amat dituntut oleh agama. Anggap ini usaha kecil demi mencapai imuniti kelompok (herd immunity).

Dari segi persediaan fizikal pula, bermula dari tarikh mendaftar vaksin, Dr. Sofia Hayati mula mengambil madu asli dan habbatus sauda sebagai usaha meningkatkan sistem imun dalam badannya yang juga bertujuan mengelakkan kesan sampingan yang teruk selepas mengambil vaksin. Hasilnya, dia dan suami tidak mengalami sebarang alahan atau kesan sampingan lain selepas 48 jam menerima vaksin berbanding dengan anak-anaknya yang kesemuanya mengalami demam kerana mungkin tidak mengambil madu dengan konsisten. Pesannya, makanlah apa-apa sahaja yang dirasakan sesuai untuk badan demi meningkatkan imun yang terdiri daripada pelbagai sumber seperti buah-buahan dan makanan sunah kerana mungkin perkara itu sedikit banyak membantu dalam menguatkan imunisasi badan kita sekali gus sebagai satu daripada usaha mengelakkan kesan sampingan teruk selepas menerima vaksin.

Selain itu, Dr Sofia Hayati turut berkongsikan persediaan khas yang diperlukan untuk mereka yang berpenyakit atau pesakit yang mengambil ubat secara konsisten.  Memandangkan dirinya merupakan pesakit tetap di Institut Jantung Negara (IJN) dan mengambil dua jenis ubat dalam sehari, penting baginya untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar. Justeru, maklumat pravaksinasi yang tersedia dalam aplikasi MySejahtera jangan sesekali diabaikan untuk mengetahui apa-apa tindakan selanjutnya berkenaan dengan keadaan kesihatan penerima vaksin. Melalui aplikasi tersebut, Dr. Sofia mengetahui bahawa perlu baginya menelefon Klinik Kardiologi IJN dan mendapatkan khidmat nasihat untuk vaksin jenis AstraZeneca. Kemudian, pihak IJN telah mengeluarkan surat kebenaran vaksin dan surat itu hendaklah dibawa ke PPV bersama-sama nama ubat yang dimakan sebagai persediaan jika ditanya oleh doktor di sana.

Antara persediaan lain yang penting juga sebelum ke PPV adalah memastikan dan menyemak dengan betul tarikh dan masa proses vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera. Pastikan juga anda menyemak nama stesen agar tidak berlaku kekeliruan ketika tiba di PPV. Nasihatnya juga, semakan perlu dilakukan seberapa kerap yang mungkin dan perlu dilakukan pada setiap hari hinggalah tiba pada tarikh sebenar kerana ada kemungkinan masa akan ditukar. Pengalamannya sendiri, sepatutnya masa bagi gilirannya adalah pada jam 9.30 pagi telah ditukar ke 5.30 petang.

Peserta juga dituntut tiba antara 15 hingga 30 minit lebih awal di PPV. Jangan datang terlalu awal dan jangan sama sekali lewat kerana akan memberikan kesan kepada lebih banyak orang. Buat kajian sedikit tentang tempat letak kenderaan pelawat di premis PPV yang berkaitan kerana hal ini sangat membantu memudahkan urusan kita. Namun begitu, dinasihatkan untuk peserta menggunakan kenderaan awam seperti LRT jika PPV anda berdekatan dengan kemudahan awam, seperti di WTCKL.

Selain kad pengenalan, benda paling penting yang perlu dibawa ke PPV ialah pen. Jika tidak membawa pen, hal yang demikian akan menyusahkan banyak pihak kerana kita diperlukan mengisi beberapa borang sebelum proses vaksinasi bermula. Di samping itu, telefon bimbit yang dibawa juga perlu dipastikan baterinya penuh semasa tiba di PPV. Penggunaan telefon bimbit juga boleh dikatakan kerap kerana perlu mengimbas banyak kod QR semasa berada di sana.

Ketika berada di PPV, terdapat beberapa titik semak yang perlu diikuti seperti di WTCKL, setiap tingkat akan diletakkan titik semak bagi memudahkan para penerima vaksin menuju laluan yang betul. Akan tetapi, jangan risau, terdapat juga beberapa pegawai bertugas yang akan memberikan informasi serta tunjuk arah jika pengunjung mengalami kekeliruan. Tempoh yang diambil untuk proses vaksinasi hanyalah antara 30 hingga 45 minit sahaja bagi setiap orang kerana semua kru yang terlibat sangat profesional dan masing-masing tahu mengenai tugasan mereka. Jadi, buat anggaran masa dengan sebaik-baiknya jika sudah sampai giliran anda.

Selepas divaksinasi, sila awasi keadaan kesihatan dalam tempoh 48 jam. Jika mengalami ketidakselesaan badan, demam, atau sakit-sakit badan, hanya dibenarkan untuk mengambil parasetamol seperti Panadol sahaja. Sebarang jenis ubat tahan sakit lain tidak dibenarkan sama sekali selain parasetamol sahaja. Jika berlarutan, dapatkan nasihat doktor di klinik berdekatan kerana keadaan badan setiap daripada kita berlainan, jadi kesannya juga mungkin berbeza-beza.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.