Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLabuan – Sejajar dengan hasrat kerajaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited untuk memastikan seluruh warga sekolah mengambil vaksin bagi mewujudkan kelompok komuniti sekolah yang selamat dan sihat.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusuf Mohamad, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang melibatkan murid sekolah rendah di pulau bebas cukai ini hampir selesai apabila 68 peratus murid telah menerima suntikan dos kedua.
Dalam tinjauan di Sekolah Kebangsaan Sungai Lada pada hari ini menjelang pembukaan semula sesi persekolahan, ibu bapa turut memberikan galakan yang positif kepada anak-anak mereka untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.
“Kita sepatutnya tidak membiarkan anak-anak kita tanpa divaksin, jika tidak kita gagal menjalankan tugas mencapai imuniti kelompok dalam keluarga,” demikian menurut seorang ibu kepada murid di Sekolah Kebangsaan Sungai Lada ketika diwawancara oleh e-Dewan Masyarakat.
Saya berasa susah hati bagi ibu bapa yang menolak vaksin kerana anak-anak akan bersekolah dan bertemu dengan kawan-kawan mereka.
“Kita perlu berhadapan dengan COVID-19, kita perlu terima cabaran dan usaha yang terbaik untuk memutuskan rantaian wabak ini,” kata Jamilah Abdul Majid, ibu kepada murid tahun enam.
Sebagai seorang penjaga, Noorlihan Abdul Alip turut menzahirkan rasa syukur kerana anaknya sudah menerima vaksin berikutan inisiatif kerajaan dalam pencegahan penularan COVID-19 dalam kalangan warga sekolah.
Syukur kerana anak saya sudah menerima vaksin, hal ini sangat penting untuk kesihatan mereka, terutamanya menjelang pembukaan sekolah.
“Dengan penerimaan suntikan vaksin ini, kami berasa lebih terjamin dengan keselamatan anak-anak semasa berada di sekolah nanti, tambah lagi anak-anak saya sudah tidak sabar untuk pergi ke sekolah bersemuka dengan kawan-kawan dan gurunya,” kongsinya.
Sementara itu, seorang lagi ibu murid tahun enam, Ismahwizah Isnin turut berpendapat bahawa beliau amat berharap supaya ibu bapa memainkan peranan dalam menyokong usaha PICK sebagai langkah persediaan untuk pembukaan sekolah secara bersemuka, di samping memastikan kesihatan seluruh warga sekolah, terutamanya anak-anak mereka berada dalam kelompok yang selamat dan sihat.