Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Semangat kebangsaan dan cinta akan negara sewajarnya dijiwai oleh setiap lapisan masyarakat di Malaysia. Bagi menyemai semangat ini, UiTM Cawangan Perlis hari ini telah menganjurkan Majlis Penutup Bulan Kebangsaan yang merupakan acara kemuncak bersempena dengan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi tahun 2022.
Terdapat pelbagai program dan aktiviti menarik yang berunsurkan patriotik telah dijalankan sejak Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan diadakan pada 10 Ogos yang lepas. Antara program dan aktiviti tersebut termasuklah Coretan Kemerdekaan, Baca untuk Merdeka, Pertandingan Sudut Kemerdekaan, Kuiz Kemerdekaan, Seni Anak Merdeka, Pertandingan Inovasi Busana Kemerdekaan, Hari Refleksi Kemerdekaan dan HEA Explore Race UiTM Merdeka. Program tersebut dianjurkan oleh beberapa bahagian seperti Pejabat Rektor, Perpustakaan Dato Jaafar Hassan, Unit Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Akademik serta Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri Masyarakat Alumni & Keusahawanan, UiTM Cawangan Perlis.
Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dalam ucapannya berkata bahawa beliau amat gembira dengan sinergi serta semangat yang ditunjukkan oleh keluarga UiTM Cawangan Perlis yang telah bersama-sama menjayakan serta memeriahkan setiap aktiviti yang telah djalankan sepanjang bulan sambutan. “Inilah kebersamaan kita sebagai keluarga yang besar di kampus keramat ini”, ujarnya
Program sebegini dilihat bukan sahaja menaikkan semangat patriotisme dalam diri setiap warga kampus, malahan pada sama yang sama dapat mempupuk semangat cinta akan UiTM serta rakan-rakan sekerja. Sebelum mengakhiri ucapan, beliau berkata:
Saya berharap agar semangat sebegini terus mekar diterapkan dalam kehidupan seharian kita agar warga UiTM Perlis dapat berganding bahu dalam menjayakan visi dan misi kampus.
Majlis ini turut dihadiri oleh barisan jawatankuasa eksekutif kampus, pensyarah-pensyarah dan staf sokongan UiTM.