Oleh Syaza Wardina
1 November 2021, 12:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Molek – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan pihak sekolah menjalankan pemeriksaan terhadap sijil digital vaksinasi guru bermula pada hari ini. Menurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, hal ini bagi mengelakkan guru yang masih enggan divaksin (selain faktor kesihatan) melakukan penipuan.

Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menyantuni murid ketika mengadakan lawatan di SK Ayer Molek, Melaka.

Beliau berkata, “Mulai hari ini, pihak sekolah akan memeriksa sijil vaksinasi bagi memastikan hanya guru yang sudah menerima dos lengkap vaksin yang datang mengajar. Kita tidak mahu ada kes tertentu apabila guru mengatakan bahawa mereka sudah divaksin, tetapi sebenarnya tidak.”

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, YB Datuk Dr. Radzi berkata, langkah ini sejajar dengan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam sebelum 1 November 2021.

“Oleh itu, KPM akan memastikan pihak sekolah menyemak sijil digital vaksinasi setiap guru bagi memastikan data terkini yang ada, iaitu pada 1 November, bagi guru yang enggan menerima vaksin merupakan data yang tepat. Hal ini membolehkan sebarang tindakan yang diambil selepas ini dilaksanakan berlandaskan data yang tepat,” katanya.

KPM akan meninjau pengoperasian sekolah dari semasa ke semasa bagi memastikan sekolah mematuhi aspek keselamatan yang telah digariskan oleh KPM.

Tambah YB Datuk Dr. Radzi, KPM amat tegas dalam soal vaksinasi dalam kalangan guru kerana hal ini mengambil kira aspek ekosistem pendidikan negara. Beliau berkata, “Kita perlu faham bahawa guru ini sentiasa bersama-sama murid. Selain melibatkan murid, hal ini turut melibatkan ibu bapa. Jadi, mereka perlu bersama-sama mewujudkan persekitaran persekolahan yang selamat dan meyakinkan.”

 

Amat penting untuk guru memastikan bahawa diri mereka menerima vaksin.

Katanya lagi, “Hingga hari ini, data menunjukkan sudah ada pengurangan dalam bilangan guru yang enggan mendapatkan vaksin. Akan tetapi, walaupun bilangan guru yang tidak mengambil vaksin ini tidak banyak, namun kesannya begitu besar terhadap kelancaran perjalanan sektor pendidikan negara.”

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, Melaka pada pagi tadi. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.