Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Datuk Haji Ruji bin Ubi, akan terus menyokong usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta DBP/Akta 213 (Pindaan dan Peluasan 1995).
Perkara tersebut dinyatakan oleh beliau dalam pertemuan dengan pihak DBP menerusi Kunjungan Hormat DBP kepada KSU KPM pada pagi ini, bertempat di KPM.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBrs. Tuan Haji Md. Johari bin Hasan, yang mengetuai delegasi kunjungan tersebut, pertemuan yang diadakan pada pukul 10.30 pagi itu adalah untuk berkongsikan beberapa perkara penting berkaitan dengan DBP, antaranya termasuklah sumber kuasa DBP, fungsi DBP, keanggotaan Ahli Lembaga Pengelola DBP, perjawatan DBP, serta kegiatan yang dilaksanakan oleh DBP yang selaras dengan objektif penubuhannya.
YBrs. Tuan Haji Md. Johari turut menjelaskan bahawa DBP komited dalam melaksanakan kegiatan bahasa, sastera dan penerbitan dalam usaha memperjuangkan bahasa Melayu agar terus kekal relevan dalam konteks pembangunan tamadun bangsa dan negara.
Dalam menyusun fungsi sebagai badan yang berautoriti dalam hal kebahasaan, DBP merancang dan melaksanakan program berdasarkan Pelan Strategik DBP 2021-2025, iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi; Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara; dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu.
Selain itu, DBP ujarnya turut melaksanakan pelbagai program yang berimpak tinggi melibatkan hubungan antarabangsa, termasuklah Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM); Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA); dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).
Dalam memastikan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan, YBrs. Tuan Haji Md. Johari menjelaskan bahawa DBP sentiasa memastikan segala urusan yang dilaksanakan mengambil kira Pelan Antirasuah DBP 2021–2025, Dasar Pengurusan Konflik Kepentingan dan Pensijilan MS ISO 9001:2015.
Menyedari akan kepentingan bahasa kebangsaan sebagai penyatuan bangsa, YBhg. Datuk Haji Ruji menasihati DBP agar terus menjadi suri teladan dalam perjuangan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara ini.
Ujar beliau,
Kita harus yakin dan terus yakin dengan kewibawaan bahasa Melayu dalam memacu pembinaan negara bangsa.
“Setiap pengiklanan seperti menerusi poster atau papan tanda haruslah dipantau dari semasa ke semasa dengan tujuan untuk merakam, mengawasi, mengenal pasti, menegur dan memberikan ulasan serta mengambil tindakan untuk membetulkan kesilapan bahasa dengan kadar yang segera.
Yang turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin; Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. M Azahari Edin; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Puan Norhasmanalinda Mustapa.
Kunjungan hormat yang membincangkan beberapa agenda penting DBP ini diharapkan dapat membuka pelbagai ruang kerjasama antara DBP dengan KPM, selain tanda ramah mesra kepada YBhg. Datuk Haji Ruji yang baru dilantik sebagai KSU KPM berkuat kuasa pada 5 September lalu.