23 Oktober 2024, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Peruntukan sebanyak RM50 juta bagi memperkukuh kerjasama dengan penggiat bahasa dilihat sebagai langkah penting dalam usaha mempergiat aktiviti bahasa dan kesusasteraan khususnya dalam kalangan generasi muda, jelas Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyambut baik dan menghargai usaha kerajaan untuk terus mempertahankan dan mengangkat darjat bahasa dan sastera, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu.

YBrs. Dr. Hazami mengulas tentang Belanjawan 2025 yang merangkumi pelbagai inisiatif adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk memupuk daya tahan negara.

Dr. Hazami berkata, sebagai badan berautoriti dalam hal kebahasaan, DBP percaya bahawa belanjawan ini menetapkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan serta meraikan persamaan nilai merentas bahasa, bangsa dan agama yang relevan sepanjang zaman.

Beliau menyatakan bahawa inisiatif ini mendukung matlamat strategik Dewan Bahasa dan Pustaka yang termaktub dalam Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka 2021–2025, iaitu mengindustrikan dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu.

Perkara ini termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan penterjemahan karya agung tempatan dan antarabangsa, penganjuran teater, serta pemeliharaan bahasa kaum minoriti, seperti bahasa etnik Siam di Malaysia.

Menurut beliau, DBP bersama-sama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Yayasan Karyawan (YK) telah melaksanakan Aktiviti Terjemahan dan Terbitan Karya Agung serta Aktiviti Menyebarluaskan Karya Agung dan Karya Sasterawan Negara, menerusi mandat di bawah Inisiatif Belanjawan 2023.

Ujar beliau,

Usaha menterjemah karya-karya besar negara ke dalam bahasa dunia dan karya agung dunia ke dalam bahasa kebangsaan merupakan satu perkara yang amat digalakkan sejak awal pentadbiran YAB Perdana Menteri dalam meraikan percambahan pemikiran kreatif dan kritis.

Tambahnya,

Semoga dengan adanya inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan, aktiviti bahasa dan kesusasteraan akan sentiasa segar dan menjadi wahana penting dalam mendidik masyarakat MADANI.

Demikian jelas Ketua Pengarah DBP semasa berlangsungnya sidang media yang diadakan di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP, petang ini.

Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata,

DBP sentiasa komited sebagai peneraju dan penggerak utama dalam mengembangkan kekayaan khazanah ilmu dan persuratan Melayu, khususnya pelibatan generasi muda.

“DBP juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa memberikan sokongan kepada DBP, serta para penggiat bahasa yang mampu menjadikan aktiviti bahasa dan kesusasteraan kekal relevan sepanjang zaman.

Sebelum itu, pada 30 Ogos 2024, DBP telah menghantar Cadangan Inisiatif Belanjawan 2025 kepada Kementerian Kewangan yang turut melibatkan cadangan permohonan daripada ITBM dan YK.

Mengambil semangat yang telah terjalin, DBP bersama-sama ITBM dan YK meneruskan pelaksanaan Inisiatif Belanjawan bagi tahun 2024 melalui Ikhtiar 11, iaitu Memperkukuh Perpaduan dan Keselamatan, Perkara Ketiga (b) – Sukan dan Budaya Wahana Perpaduan (Budaya, Bahasa dan Kesusasteraan).”

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.