Diterbitkan pada 7 Julai 2026, 18:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ekosistem budaya membaca boleh diperkukuhkan menerusi kolaborasi berterusan antara kerajaan dengan pihak industri. Usaha yang murni ini bukan sahaja akan memajukan dunia penerbitan, malah berkemampuan untuk menyumbang secara tidak langsung terhadap pembangunan negara.

Hal itu diujarkan oleh Puan Adibah Omar, Ketua Eksekutif Perbadanan Kota Buku dalam sidang plenari bertajuk “Building National Reading Infrastructure: How Malaysia is Rewiring The Book Ecosystem Through Government-Industry Collaboration” bersempena dengan Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-35 yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt, pagi tadi.

“Buku akan sentiasa kekal relevan, tetapi perkara yang lebih penting ialah bagaimana kita mahu mencipta pembaca baharu dan membina infrastruktur dunia pembacaan yang boleh melibatkan ramai kelompok masyarakat”, jelasnya.

Melihat konteks bahawa bahan bacaan harus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia, maka bahan bacaan termasuklah penerbitan buku harus dilihat sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan negara.

Puan Adibah Omar, Ketua Eksekutif Perbadanan Kota Buku ketika memperkatakan tentang pentingnya kolaborasi antara kerajaan dengan pihak industri dalam ekosistem budaya membaca dan pengetahuan.

“Pengetahuan harus menjangkau sesiapa sahaja dan melampaui batasan geografi, pendapatan, bahasa dan keupayaan. Keadilan yang sama rata untuk masyarakat mendapatkan pengetahuan merupakan tanggungjawab bersama-sama antara pihak industri dengan kerajaan. Tugas kita sebenarnya bukannya hanya menyokong, tetapi turut membina infrastruktur budaya ini, ” katanya.

Menurutnya lagi, pengetahuan sebagai infrastruktur negara (knowledge as national infrastructure) harus meliputi empat perkara, iaitu infrastruktur institusi, infrastuktur digital, infrastruktur dasar dan infrastruktur pemasaran. Keempat-empat perkara ini juga merupakan kedinamikan yang boleh menghubungkan antara hasrat negara dengan pihak industri.

“Hal ini terbukti boleh dilakukan dengan pelaksanaan baucar buku MADANI yang melibatkan banyak kelompok masyarakat serta keterlibatan pihak industri,” jelasnya.

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi