Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) beriltizam untuk terus menjadikan JendelaDBP sebagai wadah untuk pengantarabangsaan bahasa Melayu dalam membentuk identiti negara di persada dunia.
Sejak portal itu beroperasi pada Mei 2021 hingga 5 November 2024, sebanyak 10,275,425 statistik capaian pengguna direkodkan dan diakses oleh 172 buah negara di seluruh dunia, dengan Singapura sebagai negara kedua tertinggi yang mengaksesnya (98,579 capaian), diikuti oleh Indonesia (45,696 capaian), Amerika Syarikat (45,667) dan Brunei (31,497 capaian).
Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, JendelaDBP merupakan antara produk inovasi yang membuktikan bahawa DBP sentiasa berevolusi merakyatkan agenda memperkasakan bahasa, sastera dan persuratan Melayu agar bersifat terangkum kepada seluruh rakyat Malaysia.
Kata YBrs. Dr. Hazami,
JendelaDBP ini dibangunkan bagi menyebarluaskan pelbagai produk penerbitan, bahasa, sastera dan budaya dalam bentuk digital bersesuaian dengan perkembangan semasa.
Jelas beliau lagi,
Pencapaian JendelaDBP kini dilihat sebagai ‘tingkap’ yang boleh dipercayai oleh semua pihak dalam menjadi sumber rujukan untuk mendapatkan informasi, khususnya berkaitan dengan hal-hal kebahasaan, sastera dan persuratan Melayu.
DBP melaksanakan pelbagai usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Akta 213).
Dalam sambutan ulang tahun DBP ke-68 yang lalu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dr. Dato’ Anwar Ridhwan menyatakan harapan agar seluruh warga DBP dapat mengoptimumkan fungsi jentera sebagai nadi penggerak dalam mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa yang lebih ampuh sebagai wasilah tamadun negara.
DBP perlu menjadi pencetus dan penggerak bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai intelek, minda terbuka dan bersatu padu melalui bahan penerbitan dan program berkaitan dengan bahasa dan sastera Melayu yang dilaksanakan.
Untuk rekod, JendelaDBP merupakan pusat sehenti untuk kandungan digital DBP, yakni memaparkan berita dan artikel terkini meliputi bidang pendidikan, ekonomi, agama, sosial, budaya dan sastera.
Selain majalah, ruangan UjanaDBP turut memaparkan produk terbitan DBP dalam pelbagai format yang merangkumi buku bercetak dan buku dalam format EPUB, buku audio, majalah bercetak dan majalah dalam format PDF.
Di samping itu, TV DBP dan Radio DBP penstriman turut menampilkan rancangan khusus dalam pelbagai bidang untuk tontonan masyarakat. Antara lain, ruangan Peka Bahasa turut terkandung dalam JendelaDBP yang memaparkan dialek, istilah, ejaan Jawi, komik, mutiara kata, pantun, peribahasa, puisi dan tatabahasa dalam bentuk grafik. Ruangan ini bukan sahaja sesuai untuk masyarakat malahan boleh dijadikan rujukan oleh para pelajar.