Diterbitkan pada 30 Jun 2025, 18:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dengan peningkatan jumlah pengguna media sosial pada masa ini, tidak hairanlah apabila banyak orang menunjukkan minat untuk menceburi dunia digital sebagai pempengaruh. Daya tarikan sebagai seorang pempengaruh media sosial ini begitu kuat dan tidak dapat dinafikan lagi. Rata-rata mereka yang terlibat termasuklah dalam kalangan generasi muda seawal usia belasan tahun. Oleh itu, kita wajar memahami faktor yang mendorong kepada perubahan minat anak muda ini.

Jika diteliti dengan lebih lanjut, mereka yang hidup pada era generasi sebelum ini mempunyai misi yang lebih terarah kepada kecemerlangan akademik. Golongan yang berjaya menyambung pengajian pada peringkat pendidikan tinggi di menara gading akan disanjung tinggi dan dianggap hebat. Perspektif ini amat berbeza dengan generasi muda pada masa ini kerana menurut mereka, semakin kaya dan popular seseorang itu, maka semakin hebat dirinya apabila berhadapan dengan khalayak.

Pada era ini, ilmu dianggap sebagai pendamping dan bukannya sesuatu keutamaan yang perlu diburu oleh pelajar. Generasi muda juga berpendapat bahawa ilmu boleh ditimba secara percuma tanpa had masa. Maka itu, mereka tidak tergesa-gesa untuk melanjutkan pengajian kerana segelintir daripada mereka beranggapan bahawa memiliki ilmu semata-mata, tidak menjamin kelangsungan hidup mereka.

Seiring dengan itu, landskap dunia digital juga menyajikan pelbagai tarikan. Antaranya termasuklah peluang menjana pendapatan yang lebih tinggi, sama ada secara sampingan atau sepenuh masa. Selain itu, dunia glamor yang diimpikan oleh golongan muda dapat dicapai dengan mudahnya tanpa perlu melalui proses dan kerenah tertentu media tradisional.

Setelah mengamati isu ini, didapati bahawa teknik mudah mencipta kandungan yang menarik dan sensasi untuk tatapan pengguna media sosial menjadi satu daripada faktor yang menyebabkan golongan muda suka menceburi bidang ini. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa kepakaran dalam penyediaan kandungan sahaja tidak mencukupi untuk mereka bertahan dalam dunia digital. Sebaliknya, mereka juga perlu menjadi pengamal media sosial yang aktif untuk mengekalkan pengiktirafan dan sokongan yang sedia ada.

Pada hakikatnya, tidak banyak perbezaan antara dunia digital dengan media tradisional. Inti pati kandungannya ialah penarafan. Media tradisional memerlukan badan khas untuk mengukur penarafan, manakala dunia digital hanya memerlukan pengiktirafan daripada pengguna media sosial itu sendiri. Dalam bahasa mudahnya, semakin banyak tanda suka, maka semakin tinggi penarafan atau puncak populariti yang dicapai.

Walau bagaimanapun, dalam keghairahan mereka bersaing bagi mengekalkan kerelevanan masing-masing, sering kali kita mendengar berlakunya isu keterlanjuran kandungan yang berlebih-lebihan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial. Ketua Pengarah Universiti SEGi Subang Jaya, YBrs. Profesor Dr. Irene Tan dalam temu bual bersama-sama dengan pihak media tempatan ada mengulas tentang keperluan mewujudkan garis panduan yang jelas untuk golongan ini, dengan mengambil kira jumlah kandungan yang tidak berhemah acap kali dicipta dan dikongsi oleh mereka di media sosial.

“Kebebasan dan tanggungjawab dalam menggunakan media sosial diibaratkan sebagai duit syiling yang sama dengan dua bentuk wajah yang berbeza-beza. Dua elemen ini perlu datang dalam sebuah pakej yang seiring,” ujarnya.

Dr. Irene turut berkongsi mengenai inisiatif projek tanggungjawab sosial Universiti SEGi Kota Damansara yang mengadakan program penguasaan media sosial ‘Jom BRO’ secara percuma, khususnya untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan golongan B40 sekitar Lembah Klang pada 12 hingga 14 Februari 2025 yang lalu.

Konsep utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan dan ilmu berkaitan dengan media sosial serta menampilkan golongan pempengaruh dan tenaga pengajar yang berkemahiran. Antara modul yang digunakan selama tiga hari program itu termasuklah sesi perkongsian, pembelajaran teknik asas penggunaan kamera dan penciptaan kandungan kreatif. Peserta diberikan peluang untuk mencipta kandungan kreatif dalam aktiviti berkumpulan sebelum dipaparkan di dalam kelas. Kandungan tersebut seterusnya dikritik secara langsung oleh tenaga pengajar untuk tujuan penambahbaikan.

Dr. Irene juga menegaskan bahawa program seperti ini amat signifikan, lebih-lebih lagi apabila cita-cita serta minat anak muda pada zaman ini amat berbeza dan mula diterima serta disedari kepentingannya oleh masyarakat. Menurut beliau lagi, pertambahan pengguna media sosial yang mencecah peratusan tertinggi terutamanya dalam kalangan anak muda ini telah menjadi satu fenomena kebebasan tanpa had untuk mereka melakukan apa-apa sahaja, sama ada sebagai pengguna biasa, pempengaruh atau platform menjual produk dan perkhidmatan.

Kandungan media sosial boleh diumpamakan sebagai senjata. Serangan yang dilakukan dalam platform ini memberikan impak dua hala, yakni kepada penerima dan pencipta kandungan itu sendiri. Maka itu, masyarakat terutamanya ibu bapa dan golongan pendidik perlu bersama-sama mengasuh golongan muda ini untuk mencipta, memilih dan menapis kandungan yang bersesuaian sama ada melalui kaedah kurikulum atau pendekatan perbualan santai. Tentunya mereka juga mengetahui bahawa setiap perkara yang dikongsi di alam maya mempunyai potensi kesinambungan pada masa hadapan melalui kesan digital yang ditinggalkan.

Sejajar dengan hal itu, Rang Undang-undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini, menjanjikan ekosistem rangkaian yang lebih selamat dan lestari kepada pengguna. Namun begitu, penyelidikan yang lebih matang perlu dilakukan untuk memastikan setiap pendapat dan sudut pandang golongan muda turut didengari. Walaupun penyelidikan sudah dijalankan, usaha ini perlu dilakukan dengan lebih agresif untuk memastikan masyarakat dapat betul-betul memahami situasi yang dilalui oleh golongan muda tanpa menyekat kebebasan mereka.

Secara keseluruhannya, banyak faktor yang mempengaruhi anak muda untuk terlibat dalam dunia media sosial. Penguasaan digital mereka yang masih pada peringkat awal ini perlu dibimbing oleh golongan yang lebih arif seperti warga pendidik untuk meneliti perkara yang berkaitan dengan etika literasi media. Hal ini demikian kerana penguasaan media sosial bukan sekadar ilmu yang perlu kita dengar dan fahami semata-mata, tetapi merupakan ilmu bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia digital pada masa ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi