Diterbitkan pada 5 Mac 2025, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bersempena dengan Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-15 pada 3 Mac 2025, penulis telah diberi tanggungjawab untuk memberikan ucapan perbahasan berkaitan dengan cadangan usul menjunjung kasih kepada titah diraja Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Penulis memulakan wacana dengan mengimbau keperluan kita semua menghayati dan mendukung institusi raja-raja sebagai tonggak sistem pemerintahan negara. Keperluan itu timbul supaya semua kalangan warganegara pelbagai sektor dan peringkat menginsafi dan menghayati keunggulan sistem pemerintahan yang berteraskan Raja Berperlembagaan sejak negara kita mencapai kemerdekaan. Fakta yang sewajarnya difahami dan dihayati oleh semua pihak ialah bahawa institusi raja-raja bukan sekadar lambang negara, bahkan berperanan besar dalam ketiga-tiga bidang pemerintahan negara, iaitu penggubalan undang-undang, eksekutif dan kehakiman, menurut ketentuan-ketentuan yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 38.

Kewajaran dan rasional menjadikan institusi raja-raja sebagai bahagian teras pemerintahan negara merupakan kesinambungan sejarah yang panjang bagi negara ini dan Alam Melayu umumnya yang menaungi kewujudan entiti politik yang bernama Malaysia atau asalnya Persekutuan Tanah Melayu. Sistem pemerintahan beraja menjadi sistem dan struktur yang unggul sejak ribuan tahun silam, dengan merujuk kemunculan dan perkembangan kerajaan Melayu awal sejak awal Masihi seperti kerajaan Campa, Langkasuka, Kedah Tua dan Sriwijaya.

Pada ketika itu telah wujud sistem pemerintahan beraja yang dikenal dengan sistem kedatuan yang menaungi wilayah-wilayah di bawah jajahan takluknya. Apabila agama Islam sampai di Alam Melayu, sistem pemerintahan berteraskan raja itu mengalami pengubahsuaian dengan lunas-lunas Islam dan dikenal juga dengan nama sistem kesultanan, sebagaimana yang tersurat dalam sejarah perihal wujudnya Kesultanan Samudera Pasai, Kesultanan Melaka, Kesultanan Aceh, Kesultanan Patani, Kesultanan Banjar, Kesultanan Brunei, Kesultanan Demak, Kesultanan Johor-Riau-Lingga dan yang lain-lain.

Antara lunas yang mendasari pemerintahan beraja atau bersultan sesudah Islam menjadi paksi tamadun Alam Melayu termasuklah ketatanegaraan atau adab pemerintahan (statesmanship) dan penggubalan serta pelaksanaan undang-undang yang berteraskan syarak. Karya besar yang mewakili bidang ketatanegaraan atau adab pemerintahan antaranya termasuklah Tajus Salatin atau Mahkota Raja-raja yang memerikan lunas-lunas pemerintahan berasaskan agama, terutama tentang syarat-syarat, sifat-sifat dan amanah raja, menteri, penjawat awam dan juga rakyat jelata. Raja dalam pandangan sarwa atau pandangan alam sistem kesultanan dikiaskan dengan ungkapan “bayang-bayang atau bayangan Tuhan di muka bumi” (zilullah fil ardh), dengan pengertian bahawa raja (dan pada hakikatnya semua pemimpin) wajib melaksanakan pemerintahan dengan bersumberkan ketetapan Tuhan, khasnya dalam soal kebenaran dan keadilan.

Dalam bidang undang-undang pula, Hukum Kanun Melaka menjadi teks induk sejak abad ke-15 Masihi yang kemudian diterapkan dalam undang-undang beberapa kesultanan lain sesudah kesultanan Melaka. Peranan raja atau sultan dalam upaya mengetengahkan teks undang-undang sebagai satu daripada teras pemerintahan amat ketara kerana Hukum Kanun Melaka disusun dalam pemerintahan Sultan Muhammad Syah, iaitu sultan Melaka yang pertama dan undang-undang itu dilaksanakan dalam pemerintahan baginda dan sultan-sultan kemudiannya, iaitu Sultan Muzafar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alaudin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah. Teks undang-undang lain yang mewakili sistem pemerintahan beraja ialah Undang-undang 99 Perak bagi negeri Perak dan jajahan takluknya pada abad ke-19.

Dalam konteks yang lain, sistem pemerintahan beraja sejak zaman awal telah mengangkat tamadun besar di Alam Melayu dalam semua bidang kehidupan. Sebagaimana rakaman tentang sejarah keutuhan kerajaan Sriwijaya pada abad ketujuh Masihi oleh Pendeta Yi Jing dalam zaman Dinasti Tang di China, kerajaan Melayu telah mencapai kekuatan dalam sistem pemerintahan, adat istiadat, bahasa, ilmu dan perdagangan. Ming Shi, iaitu Sejarah Dinasti Ming pada abad ke-15 memperkukuh fakta kekuatan pemerintahan beraja dengan rakaman hubungan diplomatik yang terjalin antara Kesultanan Melayu Melaka dengan Dinasti Ming dalam bidang perdagangan dan kebudayaan. Hubungan dengan kuasa-kuasa asing lain, khasnya dari Barat disuratkan dalam pelbagai teks Melayu lama sebagai hubungan kuasa-kuasa itu dengan raja atau sultan negeri tertentu, sehingga terzahir pelbagai warkah dan perjanjian bertulis dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi antara kerajaan-kerajaan Melayu dengan kuasa-kuasa asing itu, termasuklah dalam bidang perdagangan antarabangsa.

Demikianlah sistem pemerintahan beraja sambung-sinambung hingga wujudnya negeri-negeri dalam konteks Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 yang telah pun ditetapkan kedudukan dan bidang kuasanya dan diabsahkan pula sebagai teras sistem pemerintahan negara merdeka sejak tahun 1957. Seyogialah kita semua menjadikan raja-raja sebagai “payung negara” yang sebenarnya, yang menaungi kita dalam semua aspek kehidupan bernegara. Kerangka pembinaan negara yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang kesemuanya dinaungi oleh raja sewajarnya dihormati dan dijelmakan pelaksanaannya dalam program negara, baik yang meliputi aspek ekonomi, pendidikan, sosial mahupun aspek lain.

Pancang-pancang kenegaraan yang menjadi asas pembinaan negara (nation building) hendaklah dipertahankan dan diperteguh sepanjang waktu, tanpa dipengaruhi oleh ideologi tertentu yang bercanggah dengan semangat Perlembagaan itu digubal untuk negara pada saat kemerdekaan tercapai. Kita tidak wajar mengizinkan pancang-pancang kenegaraan yang mewakili cita-cita pembentukan bangsa yang bersatu padu dan berjati diri menurut acuan sendiri dirobah atau dirobek hanya untuk kepentingan sempit mana-mana kelompok. Kita perlu senantiasa tenggang-menenggang dan bahu-membahu dalam mempertahankan dan merealisasikan semangat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan tafsiran dan penghayatan yang bersifat sepunya bagi seluruh warganegara Malaysia.

Antara pancang kenegaraan yang terkait secara langsung dengan fungsi YDPA sebagai raja yang mewakili Majlis Raja-Raja termasuklah fungsi yang berkaitan dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta hak-hak sah kaum lain. Perkara-perkara itu tidak sewajarnya dijadikan asas pertikaian atau konflik atas nama ideologi atau fahaman politik tertentu. Dasar demokrasi negara yang mengizinkan wujudnya ideologi yang berlainan tidak wajar dijadikan senjata untuk memusnahkan pancang-pancang kenegaraan yang penting dalam konteks pembinaan negara (nation building).

Sama-samalah kita hayati dan kita dukung peranan luhur YDPA sebagai wakil Raja-Raja Melayu untuk “memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa dipelihara”. Institusi Raja perlu senantiasa dihormati dan dinilai tinggi sebagai bahagian penting sistem pemerintahan dan kehidupan di negara ini, sebagai kesinambungan sejarah yang penting di negara ini dan di sebahagian rantau ini. Oleh itu, tidak wajar mana-mana pihak menyuarakan pernyataan yang mempertikaikan atau mencemarkan kemurnian institusi itu.

 Sosioekonomi

Titah diraja YDPA dalam istiadat pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-15 telah menggarap sisi-sisi holistik kehidupan di negara ini, yang meliputi sudut ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan prasarana. Dalam bidang ekonomi, ingatan baginda YDPA agar nikmat kemakmuran ekonomi yang tercapai sampai kepada semua kalangan rakyat, bukan hanya kepada kelompok tertentu amat penting dilaksanakan. Ingatan itu berkaitan rapat dengan gagasan keadilan sosial yang menjadi satu daripada syarat keutuhan dan kemampanan negara melalui program-program negara yang berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi. Penegasan perihal keadilan dalam menikmati kemajuan ekonomi negara sesungguhnya menjadi keprihatinan dan amanah baginda sebagai ketua negara, selaras dengan peranan raja sebagai payung negara yang menaungi kesejahteraan hidup seluruh rakyat baginda.

Titah oleh Ke Bawah Duli Tuanku secara langsung turut menyentuh prinsip penting yang ditekankan dalam syariat Islam seperti keadilan, kesaksamaan dan timbang rasa. Dalam al-Quran, banyak ayat yang menyebut perintah Allah SWT kepada manusia supaya sentiasa berlaku adil antara satu dengan yang lain walaupun berlainan agama dan kaum. Antaranya termasuklah firman Allah dalam surah al-Maidah, ayat 8:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Melalui ayat di atas, terdapat perintah Tuhan supaya manusia (apatah lagi kalangan pemimpin) berlaku adil serta tidak mengkhianati amanah. Imam al-Tabari menjelaskan bahawa setiap manusia ialah pemimpin bagi manusia yang lain sama ada dalam kalangan mereka sendiri atau musuh mereka. Oleh itu, serulah mereka untuk mengerjakan apa-apa yang diperintahkan oleh Allah ke atas mereka. Hal ini demikian kerana sikap berlaku adil dapat mendekatkan orang yang beriman kepada takwa. Dengan perkataan lain, keadilan dan ketakwaan mempunyai hubungan yang rapat antara satu dengan yang lain, khususnya dalam konteks kepemimpinan yang bertanggungjawab kepada seluruh rakyat.

Keadaan di negara kita hingga kini memperlihatkan fakta masih wujudnya kesenjangan atau jurang sosioekonomi antara kelompok-kelompok tertentu, khasnya antara kaum, antara penduduk bandar dengan luar bandar, antara jantina dan antara usia. Untuk mencapai gagasan dan cita-cita mewujudkan keadilan sosial yang meluas dan wajar, seyogia kerajaan melakukan penilaian kepada program-program pembangunan negara agar lunas keadilan dan kebersamaan dalam menikmati ekonomi negara dapat tercapai.

Program mengatasi kemiskinan, khususnya kemiskinan tegar, baik di luar bandar mahupun di bandar perlu direkayasakan agar himpitan kemiskinan tidak terus-menerus berlaku. Rencana meminimumkan dan menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum perlu terus-menerus dijadikan agenda utama. Pada masa yang sama, kedudukan ekonomi bumiputera yang masih pada tahap yang meresahkan perlu diatasi dengan pelaksanaan program-program berdampak besar.

Program-program yang selaras dengan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan perlu direkayasakan untuk mengambus jurang atau kesenjangan ekonomi antara bumiputera dengan bukan bumiputera, tentu tidak dengan menafikan hak bukan bumiputera, kerana Perkara 153 dengan jelas menyebut “kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera dan hak-hak sah kaum-kaum lain”. Dalam hal ini, kita sama sekali tidak memerlukan Robin Hood untuk mengambus jurang antara golongan yang kaya dengan golongan yang miskin. Yang sesungguhnya diperlukan ialah program dan pelaksanaan program secara berhikmah dengan berlandaskan lunas keadilan. Tidak akan wujud perpaduan dan keredaan hidup sebagai keluarga besar di negara ini selama kesenjangan sosioekonomi membelenggu rakyat.

Selain itu, dasar afirmatif dalam pelaksanaan ekonomi negara masih relevan dan memerlukan strategi pelaksanaan yang berkesan melalui tatakelola, integriti dan pembasmian kegiatan rasuah. Upaya memenuhi keperluan kaum-kaum yang ketinggalan menjadi kefarduan bagi pemerintah dan perjuangan golongan-golongan itu untuk memperoleh hak dan memenuhi keperluan mereka perlu diakui dan didukung. Gagasan asabiah positif yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun dalam adikaryanya Mukaddimah perlu diterima dan diterapkan dalam ikhtiar membasmi kemiskinan bagi kaum-kaum tertentu. Demikian jua halnya dengan pengagihan peruntukan kepada wilayah-wilayah di negara ini. Dalam sidang-sidang lalu, kerap ditimbulkan juga pengagihan yang masih belum memenuhi keperluan bagi wilayah dan negeri tertentu.

Dalam ikhtiar mengatasi pengangguran yang diakibatkan kurangnya peluang pekerjaan di pasaran dan untuk mengurangkan kebergantungan pada “makan gaji”, program besar-besaran dan intensif amat diperlukan dalam membentuk budaya hidup yang berteraskan keusahawanan. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensi-agensi kerajaan perlu menjadikan agenda membentuk usahawan negara sebagai keutamaan, khasnya agensi yang ditubuhkan untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat seperti Majlis Amanaah Rakyat (MARA), TEKUN Nasional, Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN). Kerajaan perlu melakukan penilaian keberkesanan semua agensi itu, selaras dengan matlamat penubuhannya. Di sisi itu, pembinaan sikap, semangat dan budaya keusahawanan perlu ditingkatkan dan diluaskan dalam sistem pendidikan, baik pada peringkat sekolah mahupun institusi pendidikan tinggi meskipun diakui bahawa program keusahawanan telah wujud dalam sektor pendidikan negara.

Langkah lain yang perlu direncanakan oleh kerajaan ialah rekayasa sektor pertanian sebagai sektor penting pembangunan ekonomi negara. Langkah pada satu waktu dahulu untuk mengutamakan sektor perindustrian sehingga mengurangkan perhatian kepada sektor pertanian telah memberikan dampak buruk kepada kehidupan rakyat. Isu keterjaminan makanan menjadi antara isu pokok yang menghimpit kehidupan rakyat.

Sektor pertanian perlu diberi nafas baharu dan dijadikan tunjang ekonomi negara di sisi penerusan program perindustrian. Langkah praktis seperti yang digariskan dalam Buku Hijau pada tahun 1974 oleh Almarhum Tun Abdul Razak Husin untuk menggalakkan rakyat bercucuk tanam bagi memperoleh bekalan makanan melalui pemanfaatan tanah seoptimumnya perlu direkayasakan. Kejayaan negara jiran seperti Thailand dalam bidang pertanian dapat dijadikan contoh, apatah lagi dengan pelbagai teknologi moden yang ada, usaha menggerakkan program bumi hijau dapat dilaksanakan dengan lebih praktis, tetapi memerlukan dorongan dan perancangan kerajaan.

Dalam pada itu, tindakan pengkhianatan oleh kalangan tertentu yang menangguk di air keruh perlu senantiasa dibanteras oleh kerajaan. Sebagai contoh, kajian MARDI mendapati ada pengilang yang mencampurkan beras tempatan dengan beras import sehingga negara seolah-olah kepupusan beras tempatan dan pengkhianat negara itu perlu dikenakan tindakan keras. Kegiatan menyorokkan barang keperluan, khasnya yang berkaitan dengan makanan dalam pasaran untuk memperoleh laba di atas angin atas sikap tamak haloba perlu dihapuskan. Barangkali kempen antisorok barang yang pernah digerakkan melalui media pada tahun 1980-an dapat dilaksanakan semula.

 Pendidikan, Bahasa dan Kebudayaan

Kita perlu juga menyampaikan ucapan menjunjung kasih kepada YDPA atas keprihatinan baginda kepada pendidikan negara. Pendidikan sebagai wasilah terpenting dalam pembentukan jati diri atau makna diri, semangat cinta dan setia akan tanah air, perpaduan dan kebersamaan cita-cita semua warganegara perlu senantiasa dipugar untuk memperteguh dasar dan sistemnya dan untuk memastikan kerelevanannya dalam pemenuhan keperluan negara.

Dasar dan sistem pendidikan negara telah melalui tempoh yang panjang, iaitu sebelum dan sesudah kemerdekaan. Era sesudah kemerdekaan telah melalui tempoh lebih enam dekad dan telah melalui fasa-fasa transformasi tertentu. Walau apa pun bentuk transformasi yang telah dilalui, pendidikan negara perlu berlandaskan falsafah yang selaras dengan cita-cita dan proses pembinaan negara.

Penyata Razak 1956 yang kemudian disemak dan diperkukuh oleh Penyata Rahman Talib 1960 menjadi asas falsafah dan kerangka sistem pendidikan yang memenuhi kehendak negara merdeka, kerana berasaskan kedua-dua penyata itulah wujudnya Akta Pendidikan 1961 yang kira-kira 30 tahun kemudian dipinda dan ditambah baik menjadi Akta Pendidikan 1996. Antara falsafah utama yang terkandung dalam kedua-dua penyata itu termasuklah upaya menjadikan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, secara beransur-ansur untuk tujuan perpaduan kebangsaan.

Sistem sekolah kebangsaan pada peringkat rendah dan menengah telah berjaya ditubuhkan dan sewajarnya menjadi sistem aliran perdana pendidikan negara. Langkah memperkasakan sekolah kebangsaan masih memerlukan perhatian dan perancangan yang khusus untuk menjadikannya sistem aliran perdana pendidikan negara.

Kita perlu belajar daripada kejayaan dan kegagalan dalam memenuhi peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara. Kita memang memerlukan bahasa-bahasa lain untuk proses pemerolehan ilmu tetapi tidak patut hingga mengurangkan atau meminggirkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hasrat itu dinyatakan dengan jelas dalam reformasi pendidikan yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1987/1988 (ketika YAB Perdana Menteri menjadi Menteri Pendidikan) namun kealpaan pemimpin pada waktu tertentu menggugat hasrat itu, seperti pelaksanaan program pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003-2011 yang menurut kajian badan-badan pendidikan dan Kementerian Pendidikan sendiri merupakan program yang gagal.

Maka mana-mana program yang tidak serasi dengan reformasi pendidikan itu perlu disemak semula, seperti program dwibahasa (DLP) yang membentuk polarisasi dalam kalangan murid dan pelajar. Model pelaksanaan di kebanyakan negara, khasnya negara maju dapat dijadikan teladan. Bahasa-bahasa asing diajarkan sebagai nilai tambah, sementara bahasa negara dinobatkan sebagai bahasa pengantar pendidikan yang utama. Khusus bagi sekolah vernakular, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu merancang pelaksanaan secara beransur-ansur bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, atau menetapkan beberapa mata pelajaran disampaikan dalam bahasa kebangsaan, untuk meningkatkan kemahiran bahasa Melayu murid di sekolah aliran berkenaan.

Pengakuan wakil-wakil persatuan pendidikan aliran vernakular tentang tidak setaranya penguasaan bahasa Melayu murid-murid aliran itu dengan penguasaan bahasa Melayu murid sekolah kebangsaan, sehingga mereka menolak penyelarasan sukatan pelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu untuk dilaksanakan pada tahun 2027 patut menjadi asas usaha KPM ke arah melaksanakan cadangan itu tadi.

Penulis juga ingin menarik perhatian kerajaan kepada ketetapan dalam Penyata Razak 1960 yang menegaskan penyelarasan empat aspek dalam pendidikan negara, yang kesemuanya berorientasikan citra kebangsaan. Empat aspek yang dimaksudkan ialah kurikulum yang seragam, bahan pengajaran yang seragam, latihan guru dan peperiksaan yang dikendalikan oleh badan berwewenang atau berautoriti. Mana-mana institusi pendidikan yang tidak memenuhi syarat-syarat itu tidak boleh diberi pengiktirafan sebagai institusi pendidikan kebangsaan, termasuklah dalam hal persijilan.

Bagi peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada peringkat pendidikan tinggi, sasaran tahun 1983 sebagai tahun permulaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama ilmu-ilmu tinggi yang ditetapkan oleh kerajaan tidak berhasil disebabkan oleh tidak tekalnya pelaksanaan dasar itu. Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan 13 tahun lebih awal daripada tahun sasaran itu, iaitu pada tahun 1970 telah membuktikan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi. Usaha beberapa buah institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun 1980-an dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, termasuklah dalam perkuliahan dan penerbitan berbahasa Melayu telah mula menampakkan hasil yang memberangsangkan, namun apabila berlaku arahan kerajaan pada tahun 1995 agar kursus-kursus kritikal seperti perubatan, undang-undang, kejuruteraan dan yang lain dikuliahkan dalam bahasa Inggeris, telah terhambat usaha IPT-IPT itu. Kini, bukan sahaja bahasa Melayu tidak menjadi bahasa utama penyampaian ilmu di IPT, terbitan ilmiah dalam bahasa Melayu pun merudum dengan nyatanya kerana kekurangan keperluan penggunanya, yang menyebabkan ahli-ahli akademik tidak terdorong untuk berkarya dalam bahasa Melayu.

Isu yang berkaitan secara langsung dengan hal itu ialah kebergantungan hampir semua IPT pada penarafan (ranking) yang ditetapkan oleh badan antarabangsa yang berat sebelah dalam konteks penggunaan bahasa. Kebanyakan jurnal yang dikategorikan sebagai jurnal berimpak tinggi untuk satu daripada prasyarat penarafan adalah dalam bahasa Inggeris dan amat kecil bilangan jurnal dalam bahasa Melayu yang dikategorikan sebagai jurnal berimpak tinggi.

Dalam hal ini, penulisan ilmiah dalam bahasa Melayu tidak mendapat tempat yang wajar dan adil dalam pengesahan dan kenaikan pangkat dalam jawatan bagi ahli-ahli akademik. Kesan negatif dalam jangka panjang ialah “kemandulan atau kegersangan” pustaka ilmiah dalam bahasa Melayu. Berkaitan dengan isu ini, penulis telah beberapa kali menimbulkan cadangan di dewan yang mulia ini agar kesepakatan diusahakan dengan IPT-IPT di negara-negara berbahasa Melayu untuk penubuhan pusat pengindeksan terbitan ilmiah berbahasa Melayu, sebagai satu daripada langkah pengiktirafan terbitan ilmiah dalam bahasa Melayu.

Dalam agenda pemerkayaan khazanah ilmu berbahasa Melayu, usaha menerbitkan tesis-tesis pada peringkat sarjana dan doktor falsafah IPT-IPT di negara-negara berbahasa Melayu, khususnya Malaysia dan Indonesia merupakan antara langkah yang dapat dilaksanakan melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) yang telah pun meluaskan bidang tugas yang mencakup penyelidikan dan penerbitan, selain aspek peristilahan. Kerjasama antara negara-negara pendukung MABBIM dalam bidang penyelidikan dan penerbitan tampaknya kurang nyata berbanding dengan kerjasama dalam penyelarasan istilah. Istilah tidak akan cukup bermakna jika tidak dimanfaatkan dalam penghasilan wacana ilmu. Dalam tempoh kepengerusian ASEAN pada tahun 2025, negara kita dapat memanfaatkan peranan itu untuk kerjasama yang konkrit dalam bidang pendidikan tinggi.

Dalam hal penghargaan ilmu-ilmu watan dan karya-karya besar tamadun negara, penulis ingin mengulang harapan agar usaha mengangkat manuskrip Melayu lama dalam pelbagai ranah ilmu dan genre dijadikan agenda negara. Puluhan ribu manuskrip Melayu lama yang tersebar di seluruh dunia tidak bererti apa-apa selain hanya untuk nostalgia dan kebanggaan jika tidak dianalisis kandungannya untuk diketengahkan sebagai ilmu watan yang dapat dipadukan dengan ilmu-ilmu sezaman.

Di Perpustakaan Negara Malaysia, terdapat lebih 5,000 judul manuskrip Melayu lama tetapi berdasarkan maklumat rasmi Kementerian Perpaduan, baru 19 judul yang dikerjakan kerana ketiadaan dana dan pakar. Dengan dijadikan agenda negara, skim latihan membina pakar penganalisis manuskrip Melayu lama yang terdiri daripada ahli bahasa, sastera, budaya, agama, sains, teknologi, perubatan dan lain-lain dapat dirancang dan dana untuk kerja analisis serta penerbitan karya-karya agung serta pelbagai bentuk terbitan turunan seperti adaptasi, animasi, skrip teater dan filem serta dokumentari dapat dilaksanakan.

Harapan besar lain yang ingin penulis kemukakan ialah usaha membentuk ahli ilmu yang lebih bersepadu dan mancadisiplin, sesuai dengan keperluan ahli ilmu mendepani isu-isu negara. Pengkhususan bidang penting, tetapi penguasaan bidang lain perlu diberi penegasan agar ahli ilmu dapat dimanfaatkan dengan lebih wajar dan berkesan. Tradisi ilmuwan sejak berabad-abad silam demikian sifatnya. Sebagai contoh, Ibnu Sina dikenal sebagai ahli perubatan namun beliau juga ahli falsafah, ahli pendidikan dan ahli persuratan. Tokoh pemikir pada zaman moden seperti Noam Chomsky yang asalnya ahli matematik kemudian menjadi ahli linguistik ternama dengan aliran transformasi generatif dan sejak lebih tiga dekad lalu menjadi pemikir isu antarabangsa, termasuklah isu Palestin. Di Alam Melayu pun muncul tokoh mancabidang, seperti Raja Ali Haji di Riau yang merupakan ahli sejarah, ahli bahasa dan ahli sastera yang terkenal dengan puisi dedaktik-estetiknya, iaitu “Gurindam 12”. Di negara kita, Pendeta Za’ba menjadi suri teladan dalam hal itu, kerana selain terkenal sebagai Bapa Ilmu Bahasa Melayu, beliau tersohor juga sebagai ahli agama, ekonomi, pendidikan dan kesusasteraan.

Kita memerlukan lebih banyak sosok seperti Za’ba. Dengan perancangan yang rapi dan komitmen yang tinggi dalam kalangan pemimpin IPT, insya-Allah IPT-IPT negara kita dapat melahirkan ilmuwan yang bersepadu. Berkaitan dengan hal itu juga, peranan ilmuwan yang menyempitkan diri di menara gading wajar diseimbangkan dengan peranannya sebagai sarjana awam, dengan pengertian sarjana yang terlibat dalam pengilmuan masyarakat dalam media yang lebih luas khalayaknya, selain khalayak akademik di IPT semata-mata. Sehubungan dengan itu, pengiktirafan yang wajar perlu diberikan kepada sumbangan sarjana awam yang mengilmukan masyarakat umum, selain pengiktirafan kepada sumbangan khas kepada kelompok sarjana.

Isu kebudayaan merupakan satu lagi isu kenegaraan yang masih memerlukan program-program penghargaan dan penghayatan yang terancang. Pada tahun 1971 telah dirumuskan Asas Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan tiga perkara utama, iaitu kebudayaan asal rantau ini, unsur-unsur kebudayaan lain yang wajar dan sesuai, serta Islam sebagai unsur penting. Pada tahun 2021 telah dihasilkan pula Dasar Kebudayaan Negara (DKK) yang merupakan penambahbaikan DKK 1971. Bidang kebudayaan dan kesenian yang kini digabungkan dengan aspek pelancongan memerlukan fokus dan perhatian yang lebih besar. Kurang berkesannya DKK 1971 yang dikaitkan dengan ketiadaan terjemahannya dalam bentuk akta perlu dijadikan iktibar agar DAKEN 2021 tidak mengalami nasib yang sama.

Negara memerlukan dasar kebudayaan yang jelas, utuh dan diterjemahkan dalam pelaksanaan yang berkesan. Globalisasi, dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan, dengan leluasanya alat-alat teknologi canggih, kian besar dan banyak cabaran kepada pemeliharaan dan pemuliharaan nilai-nilai kehidupan, budi bahasa dan adab sopan masyarakat di negara kita. Demikian juga halnya dengan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan tamadun di negara ini, yang dalam kategori warisan ketara dan kategori warisan tidak ketara, memerlukan perhatian dan tindakan yang lebih terancang dan bersepadu.

Akhir kata, penulis menyentuh tentang Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) yang masih bermasalah dalam bidang-bidang tertentu. Dalam hal ini, penulis ingin merujuk kepada DBK negara kita yang memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dengan tiada halangan pemelajaran dan penggunaan bahasa lain, kecuali bagi maksud rasmi (Perkara 152(1)). Perihal kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, rujukan hendaklah dibuat kepada Perkara 152(6) yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi pada peringkat persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Dengan demikian, tidak sewajarnya berlaku mesyuarat, perhimpunan dan urusan rasmi lain dalam bahasa asing. Demikian juga isu penggunaan bahasa di tempat awam perlu ditangani oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan melaksanakan Undang-undang Kecil Iklan yang menetapkan keutamaan bahasa Melayu pada papan iklan, papan perniagaan, papan arah dan yang lain.

Yang Berhormat Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Haji Awang bin Sariyan ialah Ahli Dewan Negara.

Disesuaikan daripada teks ucapan menjunjung kasih kepada titah diraja YDPA dalam istiadat pembukaan penggal keempat Majlis Parlimen Ke-15.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi