Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPenulis ingin mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 pada 24 April 2025 yang lalu. Kepada yang berjaya, syabas diucapkan manakala bagi yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan atau tidak seperti diharapkan, ketahuilah bahawasanya SPM bukanlah penamat segala-galanya, sebaliknya merupakan lembaran baharu dalam kehidupan kita.

Akan tetapi, tahukah anda bahawa Penghibur No. 1 Asia, Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad (selepas ini disebut sebagai Sudirman) pernah menitipkan pesanan dan hala tuju selepas SPM kepada peminatnya pada masa itu, saudara Mohd. Azhar Md. Isa? Melalui lakaran yang dicoret oleh beliau dalam suratnya, Sudirman melukis carta ringkas tentang pilihan sama ada untuk meneruskan pengajian pada peringkat Diploma atau Tingkatan 6 selepas menduduki SPM.
Penulis merasakan bahawa carta alir itu kekal relevan sehingga ke hari ini. Kini terdapat penambahbaikan dalam bidang pendidikan di Malaysia yang memberikan kepada para pelajar lebih banyak pilihan dan peluang. Dalam lukisannya, Sudirman sendiri secara peribadi memilih Tingkatan 6 kerana akan membawa mereka terus ke peringkat Sarjana Muda yang pada anggapannya mempunyai prospek dan peluang lebih baik.

Kini, selain Tingkatan 6 dan Diploma, peluang sambung belajar yang lain adalah seperti Asasi, A-Level, Matrikulasi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Program Sijil. Satu lagi kad ucapan kiriman Sudirman kepada peminatnya yang bakal menduduki peperiksaan SPM berbunyi: “Nurmawati, You’re taking SPM this year isn’t it? Best of wishes & luck. Thank you for all your support for me. Now, is my turn.” Apresiasi yang ditunjukkan oleh Sudirman kepada para peminatnya merentasi kaum, jantina dan umur.
Tanggal 25 Mei 1954 lahirnya seorang seniman dari Temerloh, Pahang Darul Makmur, Malaysia bernama Sudirman atau mesra dikenali sebagai Sudir, Deman, Cok Man dan Sudi dalam kalangan ahli keluarga dan teman-temannya. Beliau ialah anak kepada Haji Arshad Haji Hassan dan Hajah Ramlah Dahalan dan merupakan anak bongsu daripada enam orang adik-beradik seibu sebapa dan anak keenam daripada lapan orang adik-beradik seayah, tetapi berlainan ibu. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Abu Bakar, Mentakab dan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar di Kuantan sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya (UM).
Meskipun bergelar bintang mega dan memenangi pertandingan Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1976, beliau tetap berjaya menghabiskan pelajarannya dan menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dengan Kepujian dari UM pada 1980, sekali gus mendapat jolokan sebagai The Singing Lawyer. Walakin bergelar graduan lulusan undang-undang dan merupakan seorang peguam bertauliah, tetapi beliau tidak memilih bidang tersebut sebagai kerjayanya.
Namun jelasnya, hal ini bukanlah alasan untuk beliau tidak mengutamakan pelajarannya walaupun minat utamanya ialah dunia seni hiburan. Di sebalik kepadatan jadual dalam bidang seni, beliau masih dapat membahagikan masa antara menyanyi dengan menyertai kelas tutorial di universiti. Sisi akademik Sudirman jarang-jarang ditonjolkan berbanding dengan sisi beliau yang lain sebagai seorang penghibur. Sudirman pernah menghasilkan Kertas Projek sewaktu beliau bergelar mahasiswa UM sebagai memenuhi sebahagian syarat graduasinya. Beliau telah menulis sebuah Kertas Projek bertajuk A Legal Study of Copyright Protection in Malaysia (1979/80) yang boleh didapati di Bahagian Latihan Ilmiah/Tesis/Disertasi, Tingkat 2, Perpustakaan Undang-undang Ahmad Ibrahim, UM.
Kertas Projek yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Inggeris ini memfokuskan satu kajian objektif tentang perlindungan hak cipta yang terdapat di bawah Akta Hak Cipta 1969 di Malaysia. Abstrak kajian tersebut menyatakan: “The purpose of this paper is to give an objective evaluation of the legal aspects of the Copyright protection afforded by the Copyright Act 1969 of Malaysia. The write shall confine its discussion to the study of substantive laws and the main concepts of the Act, as well as infringements of the Copyright, and remedies available thereto. Where necessary, comparisons with the English Copyright Act as well as the International Copyright Convention will be dealt with.”
Penulis berpendapat bahawa disebabkan kajian beliau menyentuh tentang hak cipta, maka Sudirman amat menitikberatkan soal berkenaan terhadap karya-karya yang telah beliau hasilkan. Hal ini terbukti dengan sikapnya yang sangat teliti dalam aspek hak cipta lagu, semakan lirik lagu, gambar-gambar yang dilakukan semasa sesi fotografi dan sebagainya. Menurut Sudirman juga, penguatkuasaan terhadap Akta Hak Cipta Malaysia 1969 (pada masa itu) perlu diperketat terutamanya dalam menjamin hak cipta sesebuah karya dan membanteras lanun cetak rompak berleluasa yang mampu melumpuhkan industri seni kerana mengaut keuntungan daripada karya asli dalam bidang sastera, muzikal dan rakaman suara. Hal ini menunjukkan tentang keintelektualan dan kepekaan Sudirman dalam membangunkan industri seni melalui penguatkuasaan undang-undang berkenaan hak cipta dan usaha membanteras cetak rompak.
Selain mengutamakan pelajaran, Sudirman juga amat menghormati dan mengenali guru-guru beliau biarpun setelah lama meninggalkan dunia persekolahan. “Guru…tak kira pada peringkat mana, tetap guru kita. Sedikit sebanyak hidup kita telah dicorakkannya.” Dalam tulisannya bertajuk “Mengenang Jasa Guru Kita,” beliau mencoretkan pengalaman ketika terserempak dengan mantan gurunya sewaktu di Tingkatan Satu, Encik T.T.L di sebuah kedai permainan. Beliau juga pernah mengirimkan kad ucapan ( tahun 1990) kepada mantan gurunya, Puan Siti Rafiah sempena Hari Guru dengan ucapan: “With Very Best Wishes for a heavy job. Much Respect from a-once-a-student.” Bersempena dengan sambutan Hari Guru ini, ucapkanlah terima kasih dan tanyalah khabar kepada guru-guru yang pernah dan sedang mengajar anda. Guru itu juga luas maksudnya, boleh jadi cikgu, pensyarah, ibu bapa, rakan-rakan, majikan atau sesiapa jua yang mengajar anda secara formal mahupun tidak formal, baik di dalam bilik darjah mahupun di jalanan.
Dewasa ini, kita dapat saksikan ramai selebriti mementingkan pendidikan biarpun bergelar anak seni pada masa sama. Perkembangan ini merupakan sesuatu yang sihat supaya bakat yang ada dapat disokong dan bergerak seiring dengan ilmu dipelajari. Selain menjadi contoh yang baik kepada masyarakat khususnya kanak-kanak dan remaja yang kadangkala menjadikan artis sebagai contoh ikutan mereka, hal ini juga mampu menepis pandangan segelintir pempengaruh yang merendah-rendahkan mereka yang ingin sambung belajar selepas SPM.
Seperkara lagi yang dapat kita pelajari daripada Sudirman termasuklah kesungguhan beliau dalam melakukan sesuatu perkara dan pekerjaan. Apabila beliau mengambil jurusan undang-undang, beliau berusaha sehabis mungkin sehingga menjadi graduan. Apabila beliau memasuki pertandingan Bintang RTM, beliau berusaha untuk memenanginya. Sehinggalah apabila beliau menyertai pertandingan nyanyian di London, beliau berazam tidak akan pulang ke Malaysia andai tidak memenanginya. Begitulah sekali semangat juang yang ada pada seorang Sudirman!
Penulis mengambil cakna tentang pembikinan sebuah filem dengan judul Sudi: Asia’s No. 1 Performer – Sudirman (Sudi Production Sdn. Bhd.) yang telah mendapat tawaran Dana Pembangunan Skrip daripada Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Dalam artikel “Dato’ Sudirman Haji Arshad: Penghibur Intelektual Warisan Negara” terbitan Dewan Masyarakat edisi April 2024, penulis pernah melontarkan cadangan supaya sebuah filem biopik atau teater muzikal yang memaparkan perjalanan hidup Sudirman mampu direalisasikan bagi mengilham inspirasi, motivasi dan menggambarkan kesungguhan insan yang tidak mengetepikan pelajaran dalam mencapai cita-citanya. Penulis berharap agar sisi Sudirman dari sudut akademik yang mengutamakan pelajaran biarpun kecenderungan minatnya terhadap seni persembahan turut diutamakan dalam plot cerita tersebut untuk memberikan impak dan dampak positif terutamanya kepada generasi muda masa ini dan akan datang.
Pesanan penulis kepada para pelajar yang sedang berkira-kira kursus yang ingin diambil sekiranya meneruskan pengajian selepas SPM untuk diisi dalam Sistem Unit Pusat Universiti (UPU) ialah pertama, pilihlah kursus yang diminati. Minat memainkan peranan sangat penting kerana sukar atau tidak subjek akan dipelajari itu kelak, minat untuk belajar dan mengetahui lebih lanjut akan mampu mengatasi kesukaran tersebut. Kedua, megnambil kursus bukan atas dasar paksaan. Mungkin anda tidak boleh memilih subjek yang ingin diambil ketika SPM atau memilih aliran mengikut kehendak orang lain, namun pengajian pada peringkat tertiari merupakan selangkah perjalanan ke laluan alam pekerjaan. Maka itu, pilihlah kursus disebabkan oleh minat dan bukannya paksaan kerana jika gagal, kemungkinan orang lain yang akan dipersalahkan pada kemudian hari.
Ketiga, jauhi kursus yang mana terdapat subjek yang tidak mencapai keputusan memberangsangkan ketika SPM. Sekiranya anda mempunyai keputusan yang lemah dalam subjek seperti Biologi, maka cita-cita untuk menjadi doktor bukanlah pilihan terbaik. Telitilah semula mata pelajaran yang mendapat keputusan bagus atau cemerlang dalam SPM, dan daripada keputusdan tersebut, anda boleh melihat kursus yang bersesuaian, sekali gus dapat menyerlahkan lagi potensi dan bakat dalam bidang tersebut. Keempat, buatlah pilihan yang terbaik kerana masa tidak akan terulang lagi.
Penulis berharap semoga dengan segala sikap mulia yang ada dalam diri Sudirman dapat dicontohi oleh kita terutamanya para pelajar dalam mencorakkan masa depan. Ternyata selepas pemergiannya pada tahun 1992, beliau telah meninggalkan kesan dan impak yang mendalam buat seluruh rakyat Malaysia seolah-olah negara kesirnaan sebutir permata bernilai di dasar lautan luas yang tidak mungkin berganti lagi. Namun begitu, khazanah warisan yang telah beliau hadiahkan kepada kita seperti karya dan titip pesanannya akan senantiasa terpahat jauh di sudut hati sanubari masyarakat majmuk di negara ini serta dihayati dan diingati buat selama-lamanya. Tahun 2025 juga genaplah 33 tahun pemergian penghibur kesayangan Malaysia ini. Al-Fatihah buat Sudirman Haji Arshad (25 Mei 1954 – 22 Februari 1992).
Dr. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Undang-undang, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia dan pernah menulis beberapa puisi, cerpen dan artikel yang tersiar dalam majalah Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Budaya dan Dewan Tamadun Islam. Selain bidang undang-undang, beliau turut menulis tentang isu semasa, tokoh, muzik dan filem.