29 September 2024, 16:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perlis – Pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) bersama-sama Unit Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM Cawangan Perlis menziarahi pasangan kembar dan anak yatim yang merupakan penerima manfaat Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) 2.0 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Perkara ini selaras dengan matlamat keempat Sustainable Development Goals (SDGs), iaitu Pendidikan Berkualiti yang bertujuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti, adil dan inklusif serta peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

Koordinator ZAWAF, Ustazah Nadiyah Hashim berkata,

Melalui kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat, kita dapat mencipta persekitaran yang menyokong perkembangan potensi individu tanpa mengira latar belakang mereka, sekaligus membantu negara mencapai matlamat pembangunan yang lebih luas.

Beliau yang hadir menyalurkan sumbangan bersama-sama Mohamad Ferhan Abdul Halim, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar serta beberapa staf Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis turut menekankan usaha untuk meningkatkan akses dan enrolmen pendidikan tinggi di Malaysia, terutama bagi kumpulan sasaran tertentu, menjadi langkah penting dalam mencapai pendidikan yang inklusif dan saksama.

Menurut Mohamad Ferhan, dengan menerapkan strategi yang menyokong penyediaan biasiswa, program sokongan akademik dan inisiatif lain, UiTM Cawangan Perlis dapat memastikan lebih ramai pelajar mendapat peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat tinggi.

Dalam sesi penyerahan sumbangan tersebut, rumah pertama yang diziarahi merupakan pasangan kembar Aina Maisara Suhaimi dan Alya Maisara Suhaimi yang tinggal bersama-sama kakaknya di rumah pusaka keluarga sejak berusia empat tahun lagi.

Manakala penerima kedua ialah Nur Illyana Batrisha Ahmad yang tinggal bersama-sama ibunya yang uzur selepas ayahnya meninggal dunia sejak beliau berusia 15 tahun lagi.

Nur Illyana Batrisha Ahmad Fadzlie ketika dilawati di kediaman beliau.

Turut disampaikan ialah bantuan wang tunai oleh pihak ZAWAF UiTM Cawangan Perlis bagi menyediakan keperluan awal sebelum hari pendaftaran bermula.

Sebagai catatan, program SULUNG memberikan penawaran pengecualian yuran universiti kepada individu pertama dalam kalangan keluarga B40 untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama untuk menyambung pengajian di universiti awam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.