Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIpoh – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Sekolah yang mempertaruhkan aplikasi pembelajaran Buku Teks Digital Interaktif (BTDI) “Cekap Baca” telah merangkul Anugerah Gangsa Terulung dalam Pertandingan i-MInD Pamer peringkat akhir. Anugerah ini membuktikan kemampuan DBP dalam aspek yang berkaitan dengan pendigitalan buku teks.
Terdahulu, dalam peringkat saringan dan separuh akhir Pertandingan i-MInD Pamer, aplikasi BTDI “Cekap Baca” telah merangkul pingat emas sekali gus melayakkan produk ini untuk dipertandingkan dalam Anugerah Terulung Peringkat Akhir.
Pertandingan i-MInD Pamer peringkat akhir antara acara yang berlangsung dalam Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik 2024 anjuran Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Pertandingan yang diadakan di Hotel Casuarina, Meru, Ipoh dari 23 hingga 25 September 2024 ini bertujuan untuk mengkomersialkan, mempromosikan dan memasyhurkan produk pendidikan.
Dalam persaingan ini, sebanyak 18 produk inovasi terbaik telah dipamerkan secara digital dan fizikal, iaitu melibatkan bahan buku dan bahan pengajaran yang telah diterbitkan secara individu atau berkumpulan oleh warga pendidik.
Bagi sesi penilaian, para peserta pameran diberi tempoh selama 15 minit untuk membentangkan dan mempromosikan kelebihan produk inovasi melalui pemaparan maklumat pada katalog, gegantung dan poster di reruai.
Aplikasi BTDI “Cekap Baca” merupakan aplikasi pembelajaran pertama oleh DBP yang mengintegrasikan teknologi dan kemahiran literasi dengan lebih menyeluruh.
Antara matlamat utama pembangunan aplikasi ini termasuklah untuk membudayakan amalan membaca melalui pendekatan digital dan menyebarluaskan bahan terbitan berbahasa Melayu dalam persekitaran digital selaras dengan teras Dasar Pendidikan Digital.
Kandungan pembelajaran aplikasi BTDI “Cekap Baca” yang berasaskan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) ini menekankan aspek bunyi, huruf, suku kata, perkataan dan ayat.
Persembahan kandungan aplikasi yang berorientasikan gabung jalin antara pembelajaran dengan elemen didik hibur dipaparkan melalui penerapan elemen interaktif seperti audio dan video, animasi 2D dan 3D, latihan interaktif, serta gamifikasi dan realiti maya (VR) sebagai pendekatan inovasi dalam usaha memperkaya sumber pendidikan.
Anugerah Terulung bagi katagori i-MInD Pamer 2024 ini disampaikan oleh Timbalan Rektor Kanan Pusat Kecemerlangan Akademik IPGM, Puan Anis Alisya Abdullah dalam Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik 2024 yang disempurnakan oleh Rektor IPGM, YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Rektor Dasar dan Kualiti IPGM, YBrs. Dr. Nazifah Sheikh Ismail, Pengarah IPGM Kampus Ipoh, YBrs. Dr. Yusminah Mohd Yusof dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Program Strategik, Penyelidikan dan Inovasi IPGM, YBrs. Dr. Rosmarina Ahmad Khariri.
Persaingan pada peringkat akhir ini memberikan pengalaman bermakna kepada barisan editor untuk menonjolkan kemampuan DBP sebagai satu daripada badan peneraju dalam pembangunan pendidikan yang berkualiti. Situasi ini sekali gus bertepatan dengan nilai teras Malaysia MADANI.