Oleh Pie Asyraf
Diterbitkan pada 27 Ogos 2024, 11:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Yong Peng – “Sewaktu saya menjadi guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu, saya juga menggunakan secara optimum pendekatan kaedah majalah dalam kelas dan natijahnya cukup besar kerana impaknya, anak-anak ini dapat ditingkatkan prestasinya dan kualitinya dalam aspek bahasa Melayu.”

Demikian kata-kata Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan dalam Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas (MDK) Kembali ke Sekolah dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Negeri Johor 2024 serta Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di Dewan Seri Gemilang, SK Seri Telok, Parit Yaani, semalam.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan bergambar bersama-sama hadirin semasa Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas (MDK) Kembali ke Sekolah dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Negeri Johor 2024 serta Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di Dewan Seri Gemilang, SK Seri Telok, Parit Yaani, Johor.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa Program MDK yang mula dilaksanakan sejak tahun 1989 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini dapat menggalakkan pembudayaan ilmu dalam kalangan murid.

Program MDK juga dilaksanakan sebagai satu bentuk sokongan pedagogi bagi membantu guru Bahasa Melayu untuk mempelbagaikan kaedah, teknik dan bahan pengajaran serta pembelajaran di sekolah.

Tuan Haji Azman menjelaskan bahawa Program MDK berupaya menggalakkan murid untuk berkarya menerusi bimbingan aktiviti berkumpulan dan simulasi yang dijalankan.

Hasil daripada program ini, murid digalakkan untuk menyerahkan karya dan karya yang terpilih akan disiarkan menerusi majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa.

Manakala Bengkel MDK untuk Guru memberikan pendedahan dan idea kepada guru untuk membimbing murid dengan menggunakan ilmu tambahan bermutu yang diperoleh daripada majalah terbitan DBP.

Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Bahagian Perkamusan DBP selaku pembimbing Bengkel MDK untuk Guru turut berkongsi kepada para peserta tentang pengalaman beliau mengendalikan aktiviti MDK bersama-sama pelopor MDK, Encik Azizul Rahman Abdul Rahman.

Selain itu, Tuan Haji Azman turut menyentuh pelaksanaan DMK yang bertujuan untuk menanam minat membaca dan seterusnya meningkatkan budaya serta amalan membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Usaha untuk memperkasakan budaya membaca dalam kalangan murid perlu digiatkan bagi melahirkan generasi MADANI yang berfikiran kreatif dan kritis serta cinta akan ilmu.

Ujar beliau, inisiatif Program MDK dan DMK ini signifikan dan sejajar dengan satu daripada fokus reformasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam bidang pendidikan, iaitu dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan bahawa kerjasama yang terbina antara sekolah dengan rakan strategik dapat membantu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program dan aktiviti di sekolah.

Program dua serangkai ini memperlihatkan pelaksanaan pelbagai aktivti dan pertandingan yang melibatkan murid prasekolah dan sekolah rendah dari seluruh negeri Johor dan telah berlangsung selama dua hari, iaitu pada 24 Ogos 2024 dan 26 Ogos 2024.

Antaranya termasuklah Program MDK: Dewan Pelajar, Bengkel MDK untuk Guru yang melibatkan hampir 200 orang murid sekolah rendah tahap dua dan 50 orang guru; Bengkel Pembaca Berita dan Wartawan Penyiaran; Pertandingan Baca Berita; serta Pertandingan Mewarna.

Program ini merupakan anjuran kerjasama antara DBP melalui DBP Wilayah Selatan, Bahagian Majalah, Akademi DBP dan Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja dengan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Telok selaku tuan rumah.

Aktiviti berkumpulan Program MDK menggalakkan komunikasi berkesan antara murid untuk melaksanakan sesuatu tugasan.

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung penyampaian wakaf buku daripada DBP kepada lima buah sekolah terpilih iaitu, SK Seri Telok, SJKC Yong Peng (2), Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Batu Pahat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading dan SMK (P) Temenggong Ibrahim.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Tuan Haji Md Johari Hasan sebagai wakil Ketua Pengarah DBP; Pengarah JPN Johor, Tuan Haji Mohd Hanafi Samad; Pengarah DBP Wilayah Selatan, Tuan Haji Mohd Riduwan Wahab; serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan, PPD Batu Pahat, Puan Mahidah Kosnan.

Kredit foto: Khairul Azhar Baharuddin

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi