Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKredit foto: Khairul Azhar Baharuddin
Kuala Lumpur – YBhg. Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz menjelaskan bahawa konsep pengasingan kuasa merupakan elemen yang amat penting dalam pentadbiran di sesebuah negara untuk memastikan tidak berlakunya salah guna kuasa oleh pihak berkepentingan.
Perkara ini mampu menyebabkan seseorang itu menjadikannya sebagai alat untuk menghukum dan sekiranya tidak terkawal boleh mendatangkan perkara negatif kepada badan pentadbir, lantas melahirkan negara yang bersifat autokrasi dengan budaya rasuah yang bermaharajalela.
Beliau menjelaskan konsep tersebut dalam Bicara Buku Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia Edisi Ketiga bersempena dengan Syarahan Negarawan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua (YDP) Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pagi tadi.
Beliau turut menelusuri kandungan buku tersebut, iaitu sejarah awal Parlimen, konsep pengasingan kuasa, majlis perundangan dan hak serta kuasa Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan. Ujar beliau;
“Menyentuh tentang konsep pengasingan kuasa, penulis buku, iaitu Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menjelaskan susur galur tentang konsep ini apabila beliau melihat situasi di British pada zaman Mary 1 sehinggalah pada tahun 1974 selepas kajian yang dilakukan mengubah tiga konsep, yakni hak berbicara dan bercakap, kebebasan dan kuasa Parlimen tersebut.”
Oleh itu, beliau menegaskan bahawa buku ini harus dimiliki dan dibaca dari kulit ke kulit untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang konsep dan sejauh mana kuasa Parlimen dalam mengubal kuasa di sesebuah negara.
Menerusi buku ini, Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz juga menyatakan bahawa kuasa seorang Speaker sentiasa berevolusi sejak zaman merdeka hingga kini.
“Speaker adalah lambang kesaksamaan dan keadilan serta dianggap sebagai penjaga sebenar tradisi demokrasi berparlimen”
“Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan menyediakan peruntukan berkaitan Speaker, iaitu mengandungi beberapa perkara, termasuk syarat lantikan, kelayakan dan tugas.”
Sebelum berakhirnya majlis, sekali lagi Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz berharap agar orang ramai akan membaca naskhah tersebut supaya mengetahui dengan lebih jelas tentang konsep Parlimen dan pengasingan kuasa di negara ini.
Dalam sesi bicara buku tersebut, beliau telah berkongsi pentas dengan YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian.