Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari membuka “pintu” kepada pihak luar untuk berkolaborasi dengan DBP dalam pelaksanaan pelbagai program ilmu dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan.
Perkara ini disampaikan kepada tetamu yang hadir dan penonton pelantar digital JendelaDBP serta media sosial DBP ketika beliau merasmikan Program Astaka Minda dan Pelancaran Buku Parasit di Tempat Kerja anjuran DBP Wilayah Timur (DBPWT) dengan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), di Dewan Auditorium JHEAT, pada pagi tadi.
Menurut Dr. Hazami, kerjasama seperti ini dapat melonjakkan produk yang diterbitkan oleh DBP. Tambah beliau;
“Menginjak usia 68 tahun tertubuhnya DBP, sudah pasti bahan yang diterbitkan oleh DBP sentiasa mengekalkan mutu dan akan memberikan impak kepada masyarakat.
“Sebagai contoh buku yang akan dibicarakan kelak, Parasit di Tempat Kerja merupakan buku yang bertepatan dengan penjawat awam.
“Kandungannya juga akan memberikan pengajaran kepada pembaca, malah buku ini turut diulas oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia yang baharu, usai mesyuarat di Putrajaya, baru-baru ini.”
Parasit di Tempat Kerja merupakan nukilan Prof. Dr. Ab Aziz Yusof, iaitu mantan Naib Canselor, Kolej Universiti Bestari (UCB) dan buku ini menjelaskan budaya di tempat kerja yang menghakis nilai-nilai murni dan penghasilan kerja yang produktif.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Timbalan Pengarah (Khidmat Pengurusan) JPINT, Puan Rosaini Sulong @ Jusoh; Timbalan Pengarah (Operasi) JPINT, Tuan Haji Mohd Zaini Mohd Nor; Timbalan Pengarah (Akademik) JPINT, Tuan Haji Sahari Anuar Ahmad; dan Pengarah DBPWT, Puan Ariza Che Ismail.