Oleh Avatar photo Rasoul Manan
31 Julai 2024, 15:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Kuala Lumpur – Dalam merenung sejarah peradaban dunia, wanita sentiasa memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan sesebuah keluarga, masyarakat dan negara meraih pelbagai kejayaan.

Sebagai contoh, Siti Khadijah sebagai isteri, sentiasa membantu dan menyokong Nabi Muhammad SAW dalam mengajar serta menyebarkan ajaran Islam biarpun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran yang penuh onak berduri dan berliku.

Demikian ucapan oleh YBrs Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Majlis Perasmian Penutup Seminar Aspirasi Wanita MADANI (ASWANI) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, tengah hari tadi.

Dalam ucapannya, beliau juga menyelitkan kisah Siti Hajar dan Maryam yang sentiasa diuji dalam kehidupan masing-masing, namun tidak pernah mengalah.

Begitu juga dengan tokoh-tokoh besar wanita seperti Margaret Thatcher (Perdana Menteri British), Indira Gandhi (India), Megawati Sukarnoputri (Indonesia) dan Hillary Clinton (Setiausaha Negara Amerika Syarikat) yang turut diuji sepanjang pentadbiran mereka.

“Keupayaan mereka sebagai pemimpin mengendalikan segala kendala yang menimpa harus menjadi aspirasi dan inspirasi kepada semua kerana tanpa hati yang kental dan semangat yang waja, sudah tentu sukar menjayakannya”

“Lantaran itu, setiap orang harus memecahkan stigma bahawa wanita tidak mampu memimpin tidak lagi relevan, malah nama-nama yang disebutkan tadi kehebatan mereka dengan pemimpin lelaki.”

Sebagai rekod, DBP telah merealisasikan aspirasi wanita dalam Malaysia MADANI apabila mengadakan ASWANI selama dua hari berturut-turut dengan menghimpunkan golongan wanita dari latar belakang profesional untuk berkongsi idea baharu dalam pentas bahasa dan sastera di DBP.

Seminar ASWANI yang bertemakan “Wanita Tunjang Aspirasi Malaysia MADANI” menampilkan pelbagai tokoh merentas bidang seperti Tokoh Bahasa, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim; Sasterawan Negara, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Dr. Norilmi Amilia Ismail, Pensyarah dari Universiti Sains Malaysia dan Prof. Dr. Haslinda Abdullah, Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia.

Dr. Hazami Jahari (tengah), Tuan Haji Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera) dan Puan Fauzilahyatun Mustafa (Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan) bersama-sama ahli panel forum dan hadirin yang mengikuti seminar ASWANI di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Selama dua hari, ASWANI memaparkan kehebatan serta potensi wanita yang begitu terserlah dalam pelbagai bidang dan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat.

Antaranya termasuklah perkongsian oleh Prof. Madya Dr. Nurul Huda dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berkongsi kisah wanita yang meredah samudera dalam skop sains dan teknologi.

Kisah pelibatan wanita atau peranan dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara turut dibentangkan oleh YBhg. Datuk Dr. Amin Senin, Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.

Terakhir pada hari ini, meliputi peranan wanita dalam skop undang-undang yang dibentangkan oleh Dr. Nik Salida Suhaila Nik Salleh dari Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.