31 Julai 2024, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Kuala Lumpur – Pengerusi Yayasan Kepimpinan Wanita, YBhg. Datuk Dr. Hafsah Hashim berkongsi tentang pengalaman beliau selama 37 tahun dalam sektor awam telah memperlihatkan sisi kepimpinan wanita yang sentiasa memberikan komitmen terbaik dalam kerja biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Walaupun pelbagai rintangan berjaya diharungi, namun pemposisian wanita dalam pentadbiran negara masih lagi berada dalam kadar yang rendah.

Beliau mengulas demikian dalam Forum “Wanita Memimpin: Kendala dan Pemposisian dalam Pentadbiran Negara” sempena Seminar Aspirasi Wanita MADANI (ASWANI) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pagi tadi.

Saya sentiasa merenung dan bertanya mengapakah peranan wanita diperkecil? Walhal kaum wanitalah yang memiliki disiplin, etika dan integriti yang baik dalam pelbagai aspek.”

Dalam konteks kebolehupayaan mengurus, wanita lebih serius untuk menjalankan tugas atau menggalas amanah yang diberikan.

Oleh itu, perkara sebegini harus diselesaikan dengan segera kerana diskriminasi yang wujud menyebabkan kemajuan negara akan terbantut.

Dalam forum tersebut, YBhg. Datuk Dr. Hafsah Hashim menyelitkan sebuah kisah, iaitu pada tahun 2022 beliau telah diundang ke tiga buah negara di wilayah Afrika, iaitu Namibia, Uganda dan Tunisia.

Pemimpin di negara tersebut ialah wanita dan mereka meletakkan sasaran pada tahun 2030, iaitu negara mereka akan membangun dalam konteks populasi seiring dengan kemajuan yang bakal dinikmati.

Beliau turut mengulas tentang ketegasan ahli politik wanita dalam menyuarakan sesuatu pandangan atau isu yang berbangkit.

Bagi saya, suara ahli politik tidak kira parti seperti menikus dan perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana mereka merupakan tonggak dan pemimpin yang diangkat untuk memastikan segala polisi dan kemajuan sesuatu perkara itu berjaya dilakukan.

Sebelum mengakhiri pembentangannya, beliau menyatakan harapan agar pemposisian wanita dalam pentadbiran mesti diutamakan dan perkara itu akan terjadi apabila kita turut memiliki kecerdasan, iaitu kecergasan fizikal dan kesihatan mental yang baik.

Seminar ASWANI yang bertemakan “Wanita Tunjang Aspirasi Malaysia MADANI” menghimpunkan golongan wanita profesional untuk berkongsi pelbagai idea di pentas DBP dan telah berlangsung selama dua hari ini memaparkan kehebatan serta potensi wanita dalam pelbagai bidang yang mampu menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.