Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKredit foto: Khairul Azhar Baharuddin
Kuala Lumpur – “Setiap orang boleh menjadi ahli politik, namun untuk mendaki ke persada paling tinggi dalam karier politik, hanya terdapat sebilangan kecil dan begitu juga dengan ahli politik yang menumpahkan idea serta pengalaman sepanjang bergelar ‘Yang Berhormat’ dalam sebuah tinta amatlah jarang-jarang, namun berbeza daripada insan bernama Wan Junaidi Tuanku Jaafar.”
Demikianlah kata-kata YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir dalam Bicara Buku Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia Edisi Ketiga bersempena dengan Syarahan Negarawan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua (YDP) Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pagi tadi.
Beliau menyatakan bahawa karya Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi, harus dibaca dan menjadi panduan terutamanya kepada ahli politik, para pengkaji dan pelajar kerana buku tersebut disusun dengan hemat dan cermat. Ujarnya;
Tulisan Tun Pehin Sri ditulis dan disusun secara kronologi mengikut detik sejarah Parlimen dari tahun 1909 hingga kini lalu memudahkan para pembaca mengikuti evolusi Parlimen yang berlaku.
“Edisi ketiga ini, sama seperti edisi yang pertama dan kedua, namun dalam edisi ketiga banyak memberikan penjelasan pada persoalan yang berbangkit berhubung dengan kuasa Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN.”
Selain itu, Dato Dr. Jeniri Amir juga menyentuh gaya kepengarangan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam menghasilkan karya terbitan DBP tersebut, iaitu teknik yang dipaparkan dalam buku itu melalui pengalaman, tarikh, ilustrasi dan gambar-gambar yang ditampilkan.
Malahan, fakta yang diperoleh itu dikatakan bahawa dirujuk daripada sumber yang sahih, sekali gus menunjukkan usaha Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi sebagai seorang yang tekun dan berdedikasi dalam menyiapkan karya tersebut melalui usaha pencarian sumber yang tepat.
“Apabila kita membaca karya ini, ulasannya begitu mendalam, selain kupasan yang begitu kritis menyebabkan kita terpaku untuk membaca maklumat yang disampaikan sehingga habis dan sudah tentu melibatkan penelitian yang jitu ketika menulis, sehingga memungkinkan perkara tersebut tercapai,” ujar Dato Dr. Jeneri Amir ketika berbicara tentang karya tersebut.
Beliau juga menyimpulkan bahawa karya tersebut merupakan sebuah bentuk pendedahan, takrifan, penjelasan dan penerangan agar setiap bab atau kandungan yang disampaikan memuaskan hati para pembaca.
Dalam program pada pagi tadi, Dato Dr. Jeniri Amir juga mengulas tentang sebuah buku tulisan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaaffar, A Policeman, iaitu sebuah memoir yang menceritakan pengalaman Tun Pehin Sri sewaktu menyertai pasukan beruniform sehingga menjadi ahli Parlimen.
Menurut Dato Dr. Jeniri Amir, pengalaman mempertaruhkan nyawa dalam beberapa siri operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara di kawasan Sibu, Sarikei serta Kapit semasa berkhidmat bersama-sama pasukan Polis Hutan, menjadi bukti kesetiaan patriot itu semasa negara berada dalam tempoh sukar.
Beliau juga kemudiannya mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di University of Buckingham, England dan perjalanannya sebagai seorang wakil rakyat bermula pada tahun 1990 selepas memenangi kerusi Parlimen Batang Lupar dalam Pilihan Raya Umum Ke-8 yang dipertahankannya untuk tempoh dua penggal, sebelum berpindah ke Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum Ke-11.
Bicara Buku Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia Edisi Ketiga menampilkan tokoh seperti YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir, YBhg. Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian.