Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Ujian Amali Sains bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 akan dilaksanakan pada 5 Disember hingga 7 Disember 2023.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa ujian tersebut melibatkan mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan.
Sebanyak 91,908 orang calon telah mendaftar bagi mata pelajaran Fizik, 93,135 orang calon bagi mata pelajaran Kimia, 72,841 orang calon bagi mata pelajaran Biologi dan 1784 orang calon bagi mata pelajaran Sains Tambahan.
Dalam kenyataan media pada pagi tadi, KPM menjelaskan bahawa jadual waktu peperiksaan boleh didapati menerusi laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP). lp.moe.gov.my
Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2023.
Sementara itu, KPM turut memberitahu bahawa pihaknya juga cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana, termasuklah musim banjir sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2023 berlangsung.
Maka itu, KPM sentiasa siapsiaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya, termasuklah bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
Jelas KPM,
Semua calon peperiksaan dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan disebabkan oleh bencana.
Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.
Berikutan itu, KPM sentiasa komited dalam memastikan peperiksaan SPM dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
KPM mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera.