Oleh Rasoul Manan
10 Jun 2023, 13:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  “Wartawan harus bebas tegur, kritik dan memberikan idea biarpun berbeza pandangan dalam membina serta menjadikan tatakelola pentadbiran lebih baik”.

Demikian kata-kata YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2023 sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2022 di Hotel Majestic, semalam.

Kemudahan media yang ada perlu dijadikan platform untuk mendidik anak bangsa dengan memupuk semangat membaca.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia (MWM) berucap mengingatkan wartawan bukan sekadar melapor malah lebih dari itu di Hotel Majestic, semalam.

Beliau berkata golongan wartawan juga berperanan sebagai pendidik dalam mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mempunyai minat terhadap membaca bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa.

Tambahnya, sesuatu isu yang berlaku dalam negara termasuk soal dasar dan tatakelola tidak dapat dicakna dengan baik tanpa minat membaca yang mendalam dan hal ini merupakan cabaran untuk merealisasikan makna Malaysia MADANI.

MWM adalah acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh
pengamal media Malaysia bertujuan meraikan karya kewartawanan terbaik sepanjang tahun 2022.

Tahun ini menyaksikan sebanyak 44 organisasi media bersaing untuk memenangi hadiah utama HKM 2022, iaitu pemenang emas dengan nilai wang hadiah RM
10 000.

Menurut Pengerusi MWM 2023, Datuk Dr. Chamil Wariya; “Tahun ini memperlihatkan
peningkatan penyertaan HKM berbanding dengan tahun sebelumnya, iaitu sebanyak 386 penyertaan berbanding 350 yang diterima tahun sebelumnya. Penyertaan tertinggi diterima daripada kategori Berita Video Terbaik dengan 57 penyertaan, disusuli Penulisan Rencana Cemerlang dengan 50 penyertaan dan Kewartawanan Foto Cemerlang, iaitu 38 penyertaan”.

Datuk Dr. Chamil Wariya, pengerusi MWM 2023 berucap menghargai para media di Hotel Majestic, semalam.

Penolong Pengarang Berita Harian Metro (HM), Yusmizal Dolah Aling, 41, merangkul hadiah utama, Hadiah Kajai menerusi siri laporannya bertajuk “Terima Kasih Laoshi”, “Hadiah Raya Paling Bermakna”, “Rohana Abdullah Kini Warga Malaysia’ dan “Sanjung Budi Laoshi”.

Pemenang Hadiah Kajai

Turut sama hadir Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil; Timbalan
Menteri Komunikasi dan Digital, YB Teo Nie Ching; dan Puan Liza Mustapha, Naib
Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PETRONAS.

Lebih 800 tetamu yang sebahagian besarnya komuniti pengamal media, pengamal komunikasi korporat dan perhubungan hadir mewarnai majlis tersebut. Majlis dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh artis terkemuka negara, iaitu Dayang Nurfaizah dan Haziq.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.