Oleh Mubarak Ismail
17 Mei 2022, 08:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan ucapan “Selamat Menyambut Hari Guru” kepada seluruh warga pendidik dengan ucapan tahniah dan terima kasih kerana sentiasa memberikan komitmen dan dedikasi yang tinggi terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan bagi mendidik anak bangsa.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berjumlah RM21 000 kepada sebanyak 30 orang asnaf terpilih dengan masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Nurul Iman, Kampung Nesam untuk diagihkan oleh amilnya, iaitu Nasir Yahya.

“Jika hari ini murid ceria, gurulah penyerinya. Jika hari ini murid bijak membaca, menulis dan mengira, maka gurulah pembimbingnya dan jika hari ini murid lulus peperiksaan, maka guru juga yang paling gembira. Namun perlu juga diingati, jika suatu hari nanti generasi muda kita rendah sahsiahnya, maka guru jugalah yang akan ditanya. Sesungguhnya, gurulah pendorong utama dalam semua aspek, bukan hanya akademik semata-mata. Bahkan, keutuhan peribadi generasi muda yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa depan dicorakkan oleh guru-guru,” titah baginda lagi.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berharap agar sambutan Hari Guru pada tahun ini akan terus meniupkan roh dan semangat serta memperkukuh azam kepada semua warga pendidik untuk terus berbakti dalam sektor pendidikan serta meningkatkan kualiti diri dan kualiti pendidikan di negeri Perlis.

Selain itu, baginda turut menyeru seluruh warga pendidik agar terus mendokong dan memartabatkan Perlis sebagai sebuah negeri yang mendaulatkan ilmu.

Untuk rekod, tema ulang tahun Hari Guru yang disambut pada tahun ini ialah “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.