Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) telah dimeterai di Dewan Seri Anggerik, Hotel Seri Malaysia, sebentar tadi.
Majlis menandatangani MoU ini disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam majlis berkenaan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hassan telah mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs Dr. Hazami Jahari bagi menandatangani MoU tersebut. Pihak FCoEE diwakili oleh YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.
Majlis MoU ini menyaksikan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk berkongsi dan saling bertukar maklumat yang diperlukan untuk menghasilkan bahan penerbitan dan menjalankan program yang berkaitan dengan dunia pendidikan.
Selain itu, pemeteraian MoU tersebut turut melihat ruang kerjasama lain pada masa akan datang yang berkemungkinan dapat dimajukan, diusahakan dan dipersetujui secara bersama.
FCoEE ditubuhkan sebagai pemegang taruh amanah dalam pembangunan serta perubahan gaya fikir melalui pendidikan serta perbincangan oleh Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Jawatankuasa Pelajaran.
Oleh itu, kerjasama antara DBP dengan FCoEE dilihat sesuai dengan ruang dan kapasiti yang sedia ada seperti aspek kepakaran dan kemahiran agar penyediaan kandungan dan pembangunan mengenai pendidikan dapat direalisasikan dengan sebaik-baiknya.
Majlis yang penuh bermakna ini turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Syukri Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg. Dato’ Yusran Shah Mohd Yusoff; mantan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat; serta Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Puan Sylee Riza Arif.